Pengguguran menurut Hukum Islam
Umat Islam wajib memahami hukum terkait pengguguran, baik dari kalangan ahli perubatan mahupun masyarakat amnya. Bagi seorang Muslim, syariat Islam adalah sandaran bagi semua tindakannya. Keterikatan kepada syariat Islam adalah kewajipan seorang Muslim sebagai bentuk keimanannya kepada Allah Taala.
Allah berfirman, “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [TMQ An-Nisaa’ (4): 65]
“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka” [TMQ Al-Ahzaab (33): 36].
Abdurrahman al-Baghdadi (1998) dalam buku ‘Emansipasi, Adakah Ia Wujud dalam Islam?’ hlm. 127—128 menyatakan pengguguran boleh dilakukan sebelum atau selepas roh (nyawa) dihembuskan. Jika dilakukan selepas dihembuskan roh iaitu selepas empat bulan mengandung, maka semua ulama fiqh (fukaha) bersepakat bahawa ia adalah haram. Namun, ulama fiqh berbeza pendapat sekiranya pengguguran dilakukan sebelum dihembuskan roh. Ada yang membenarkan, ada yang melarang.
Ulama yang membenarkan pengguguran sebelum ditiupkan roh termasuklah Muhammad Ramli, dalam bukunya An-Nihayah, dengan alasan belum ada makhluk yang bernyawa. Ada juga yang memandangnya sebagai makruh dengan alasan janin sedang membesar. Manakala yang melarang menggugurkan kandungan sebelum ditiupkan roh termasuklah Ibnu Hajar dalam kitabnya At-Tuhfah dan Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin.
Malah, Mahmud Syaltut, bekas Canselor Universiti Al Azhar Mesir, berpendapat sejak sel sperma bertemu sel telur, pengguguran adalah haram kerana sudah ada kehidupan dalam rahim yang sedang mengalami tumbesaran dan persediaan untuk menjadi makhluk hidup baru yang dipanggil “manusia” yang mesti dihormati dan dilindungi. Semakin janin membesar, dosanya juga menjadi lebih besar apatah lagi jika bayi yang baru lahir itu dibuang atau dibunuh.
Pendapat yang disepakati oleh fuqaha iaitu haram menggugurkan kandungan selepas ditiup roh (empat bulan) adalah berdasarkan fakta bahawa tiupan roh itu berlaku selepas empat bulan mengandung.
Abdullah bin Mas’ud berkata bahwa Rasulullah SAW. telah bersabda, “Sesungguhnya setiap kamu terkumpul kejadiannya dalam perut ibumu selama 40 hari dalam bentuk ‘nuthfah’, kemudian dalam bentuk ‘alaqah’ selama itu pula, kemudian dalam bentuk ‘mudghah’ selama itu pula, kemudian ditiupkan roh kepadanya.” (HR Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ahmad, dan Tirmidzi).
Oleh kerana itu, pengguguran selepas empat bulan mengandung adalah haram kerana ia bermaksud membunuh makhluk bernyawa. Ini termasuk dalam kategori pembunuhan yang pengharamannya antara lain berdasarkan dalil syarak berikut.
Firman Allah SWT., “dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.” [TMQ Al-An’aam (6): 151].
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.” [TMQ Al-Israa’ (17): 31].
“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar.” [TMQ Al-Israa’ (17): 33].
“Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, – Dengan dosa apakah ia dibunuh?” [TMQ At-Takwiir (81): 8—9].
Berdasarkan dalil-dalil di atas, pengguguran adalah haram bagi kandungan yang masih hidup atau berusia empat bulan. Malah, dalam keadaan sedemikian bermakna pengguguran adalah jenayah pembunuhan yang diharamkan oleh Islam.
Manakala pendapat yang menyatakan bahawa pengguguran adalah dilarang sejak sel telur bertemu dengan sel sperma dengan alasan sudah ada kehidupan dalam rahim adalah pendapat yang lemah. Sebabnya, kehidupan sebenarnya bukan sahaja wujud selepas sel telur bertemu dengan sel sperma, malah di dalam sel sperma itu sendiri ada kehidupan, begitu juga di dalam sel telur, walaupun kedua-dua sel itu masih belum bertemu.
Kehidupan (al-hayah) menurut Ghanim Abduh dalam kitabnya Naqdh al-Isytirakiyah al-Marksiyah (1963) halaman 85, “Sesuatu yang ada pada organisme hidup. (Asy syai’ al qa’im fi al ka’in al-hayyi).”
Ciri-ciri kehidupan adalah adanya pertumbuhan, pergerakan, kerengsaan, keperluan nutrisi, pembiakan, dan sebagainya. Dengan pemahaman tentang kehidupan ini, dalam sel telur dan sel sperma (yang masih elok, belum rosak) sebenarnya ada kehidupan. Sekiranya tiada kehidupan dalam sel sperma dan sel telur, persenyawaan sel telur oleh sel sperma tidak akan dapat dilakukan. Jadi, kehidupan (al-hayah) sebenarnya terdapat dalam sel telur dan sel sperma sebelum persenyawaan berlaku, bukan sahaja selepas persenyawaan.
Berdasarkan penjelasan ini, pendapat yang mengharamkan pengguguran selepas bertemunya sel telur dan sel sperma dengan alasan kehidupan sudah wujud adalah pendapat yang lemah kerana tidak berdasarkan pemahaman yang betul tentang fakta berkenaan dengan erti kehidupan (al- hayah). Pendapat ini secara tersirat menyatakan bahawa sebelum sel telur dan sperma bertemu, bermakna tidak ada kehidupan dalam sel telur dan sperma.
Faktanya tidaklah demikian. Sekiranya pendapat ini diterima, semua aktiviti yang menghilangkan kehidupan adalah haram, termasuk ‘azl. Dalam aktiviti ‘azl terdapat usaha untuk mencegah berlakunya kehidupan, yang bermaksud kehidupan dalam sel sperma dan sel telur (sebelum bertemu). Malah Rasulullah saw membenarkan ‘azl. Ini bermakna pendapat yang menyatakan bahawa pengguguran adalah haram selepas bertemunya sel telur dan sperma dengan alasan kehidupan sudah wujud sebenarnya akan bercanggah dengan hadis-hadis yang membenarkan ‘azl.
Berkenaan Pengguguran Yang Dilakukan Sebelum Janin Berusia Empat Bulan
Adapun menggugurkan kandungan sebelum usia kandungan empat bulan, para fuqaha berbeza pendapat dalam masalah ini. Namun, menurut pendapat Abdul Qadim Zallum (1998) dan Abdurrahman al-Baghdadi (1998), hukum syarak yang lebih rajih (lebih kuat) adalah seperti berikut.
Jika pengguguran dilakukan selepas 40 hari atau 42 hari kehamilan dan pada awal pembentukan janin, ia adalah haram. Dalam kes ini, hukumnya sama seperti hukum melarang pengguguran selepas roh ditiupkan ke dalam janin. Manakala pengguguran kandungan yang berumur kurang daripada 40 hari adalah dibenarkan (jaiz) dan tidak ada salahnya. (Abdul Qadim Zallum, 1998, Beberapa Masalah Kontemporari dalam Pandangan Islam, halaman 45-56; Abdurrahman al-Baghdadi, 1998, Emansipasi, Adakah ia wujud dalam Islam?, halaman 129).
Dalil syarak yang menunjukkan bahawa pengguguran adalah haram jika kandungannya 40 hari atau 40 malam adalah hadis Rasulullah SAW. berikut, “Jika nutfah (bekuan darah) telah melewati 42 malam, lalu Allah mengutus malaikat kepadanya, lalu ia membentuk nutfah; Dia menjadikan pendengarannya, penglihatannya, kulitnya, dagingnya, dan tulangnya. Kemudian malaikat itu bertanya (kepada Allah), ‘Wahai Tuhanku, adakah dia (akan Engkau tentukan) menjadi lelaki atau perempuan?’ Maka kemudian Allah memberi keputusan.” (HR Muslim dari Ibnu Mas’ud ra.). Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW. bersabda, “(Jika nutfah telah berlalu) 40 malam…”
Hadis di atas menunjukkan bahawa permulaan penciptaan janin dan kemunculan anggota badannya adalah selepas 40 atau 42 malam. Maka, penganiayaan terhadapnya adalah penganiayaan terhadap janin yang sudah mempunyai tanda-tanda sebagai manusia yang terpelihara darahnya (ma’shumud-dam). Tindakan penganiayaan ini merupakan pembunuhan terhadapnya.
Berdasarkan penjelasan di atas, maka pihak ibu si janin, bapanya ataupun doktor, diharamkan menggugurkan kandungan ibu tersebut apabila kandungannya telah berumur 40 hari. Siapa saja dari mereka yang melakukan pengguguran kandungan, bermaksud telah melakukan dosa dan telah melakukan tindakan jenayah yang mewajibkan pembayaran diat bagi janin yang digugurkan, iaitu seorang hamba lelaki atau perempuan, atau satu per sepuluh diat manusia sempurna (10 ekor unta), sebagaimana telah diterangkan dalam hadis sahih dalam masalah tersebut.
Rasulullah SAW. bersabda, “Rasulullah SAW. memberi keputusan dalam masalah janin dari seorang wanita Bani Lihyan yang gugur dalam keadaan mati, dengan satu ghurrah, iaitu seorang hamba lelaki atau perempuan. (HR Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah ra.).
Manakala pengguguran janin yang berumur kurang daripada 40 hari adalah dibenarkan secara sah (jaiz) dan tidak ada salahnya. Ini kerana apa yang ada dalam kandungan masih belum menjadi janin kerana masih dalam peringkat menjadi nutfah (gumpalan darah), dan belum sampai ke fasa penciptaan yang menunjukkan ciri-ciri minima seorang manusia. Menggugurkan nutfah sebelum menjadi janin, dari segi hukum, boleh disamakan dengan ‘azl (coitus interruptus) yang bertujuan untuk mencegah kehamilan dan ini tidak dilarang dalam Islam (lihat Abdul Qadim Zallum, 1998).
Bagaimana Dengan Pengguguran disebabkan Alasan Perubatan?
Dalam sistem perundangan negara pada hari ni, sebahagian negara menetapkan undang-undang khusus terkait pengguguran bayi kerana alasan perubatan. Alasan perubatan yang dimaksudkan adalah kehamilan yang mengancam nyawa dan kesihatan ibu dan/atau keadaan kesihatan janin dengan kecacatan kongenital yang tidak dapat diperbaiki sehingga tidak memungkinkan hidup di luar kandungan.
Pada pandangan Islam, jika doktor yang dipercayai, dengan pemeriksaan yang teliti, mendapati kehadiran janin dalam perut ibu akan mengakibatkan kematian kedua-dua ibu dan janin dalam masa yang sama, dalam keadaan seperti ini, doktor dibenarkan melakukan pengguguran sama ada pada peringkat penciptaan janin, atau selepas roh dihembuskan ke dalamnya. Ini dilakukan dalam usaha menyelamatkan nyawa si ibu.
Menyelamatkan kehidupan adalah sesuatu yang diserukan oleh ajaran Islam, sesuai firman Allah SWT., “dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.” [TMQ Al-Maaidah (5): 32].
Selain itu, pengguguran dalam keadaan seperti ini dianggap sebagai rawatan perubatan. Rasulullah SAW. sendiri telah memerintahkan kaumnya untuk mendapatkan rawatan. Sabda Baginda, “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla, setiap kali Dia menciptakan penyakit, Dia juga menciptakan penawar. Maka, berubatlah kalian!” (HR Ahmad).
Kaedah fikih dalam masalah ini menyebutkan, “Idza ta’aradha mafsadatani ru’iya a’zhamuha dhararan birtikabi akhaffihima (Jika berkumpul dua mudarat (bahaya) dalam satu hukum, maka dipilih yang lebih ringan mudaratnya).” (Abdul Hamid Hakim, 1927, Mabadi’ Awaliyah fi Ushul al-Fiqh wa al-Qawa’id al-Fiqhiyah, halaman 35).
Berdasarkan kaedah ini, seorang wanita dibolehkan untuk menggugurkan kandungannya jika keberadaan kandungan itu akan mengancam nyawanya, walaupun hal itu bermaksud akan membunuh janinnya. Memang menggugurkan kandungan adalah suatu mafsadat, tetapi begitu juga jika hilangnya nyawa sang ibu jika dia tetap mempertahankan kandungannya. Walaubagaimanapun, tidak dinafikan bahawa pengguguran janin adalah kurang memudaratkan daripada menghilangkan nyawa ibu, atau membiarkan nyawa ibu terancam oleh kewujudan janin. (Abdurrahman al-Baghdadi, 1998).
Kemudian, bagaimana pula dengan janin yang secara perubatan diketahui cacat, bolehkah ia digugurkan? Menurut Syariah, hukumnya tetap haram. Ini kerana dalil-dalil umum yang melarang pengguguran adalah sangat jelas. Selagi tidak ada dalil-dalil syarak yang membenarkan (mengecualikan) dalil-dalil umum ini, maka hukum menggugurkan bayi cacat tetap haram. Dalam hal ini, kaedah usul menyatakan, “Al-‘aam yabqaa ‘ala ‘umuumihi maa lam yarid daliil al-takhshish (dalil-dalil umum tetap berlaku secara umum, selagi tidak ada dalil yang mengecualikan keumumannya).”
Namun, sekiranya kehadiran bayi cacat itu mengancam nyawa si ibu, dalam keadaan seperti ini, pengguguran dibolehkan mengikut syarak. Keadaan darurat membenarkan tindakan yang haram untuk mengekalkan kelangsungan hidup manusia. Hukum fiqh menyatakan, “Adh-dharuuratu tubiihu al-mahzhuuraat (Darurat menghalalkan perkara yang dilarang).”
Bagaimana dengan Pengguguran Bagi Mangsa Pemerkosaan?
Kebolehan menggugurkan kandungan sebagaimana termaktub dalam Pasal 118 PP 28/2024 adalah kehamilan yang disebabkan oleh jenayah pemerkosaan atau kejahatan seksual lainnya yang menyebabkan kehamilan sebagaimana dibuktikan dengan beberapa hal.
Sememangnya bukan perkara mudah untuk dihadapi apabila seorang wanita mengalami pemerkosaan dan kemudiannya hamil. Walau bagaimanapun, aturan Islam mengenai pengguguran yang dijelaskan sebelum ini masih berlaku. Bahawa dalam hal ini tidak ada dalil yang khusus maka ia tetap bersandarkan keumuman dalil. Ini bermakna, masih haram menggugurkan kandungan selepas kandungan melebihi 40 hari, melainkan ia membahayakan nyawa sang ibu.
Dalam hal ini, tetap berlaku kaedah usul yang menyebutkan, “Al-‘aam yabqaa ‘ala ‘umuumihi maa lam yarid daliil al-takhshish. (Dalil yang bersifat umum tetap berlaku dalam keumumannya, selama tidak terdapat dalil yang mengecualikan keumumannya).”
Penanganan Negara Islam Terkait Pengguguran
Islam adalah agama yang sempurna. Semua masalah manusia ada jawapannya dalam Islam. Fakta menunjukkan bahawa pengguguran bukan hanya masalah perubatan atau kesihatan awam, tetapi juga melibatkan masalah sosial yang timbul kerana manusia mengikut peradaban Barat.
Oleh sebab itu, penyelesaian mesti dijalankan secara menyeluruh dan mendasar. Maksudnya adalah dengan membuang peradaban Barat dengan memusnahkan segala nilai dan institusi Barat yang bertentangan dengan Islam, kemudian digantikan dengan tamadun Islam yang berperikemanusiaan dan adil.
Negara Islam (Khilafah) akan membenarkan pengguguran jika kandungan belum berusia 40 hari atas alasan ianya mengikut ketentuan syarak, seperti yang dijelaskan di atas. Pengguguran boleh dilakukan sekiranya berlaku darurat perubatan termasuk untuk menyelamatkan nyawa si ibu. Bagaimanapun, dalam kes ini, kerajaan akan memberikan kawalan yang ketat dalam menentukan kebolehan pengguguran dalam kes ini.
Dalam kes pengguguran bayi selain daripada kes di atas, Islam mengharamkannya kerana ia dianggap sama dengan pembunuhan. Pembunuhan janin dikenakan diat sepuluh ekor unta, iaitu sepersepuluh daripada pembunuhan orang dewasa. Jadi, pengguguran bukanlah penyelesaian untuk kehamilan yang tidak diingini atau kehamilan akibat pemerkosaan.
Di sisi lain, Islam mewajibkan negara untuk menjaga rakyatnya termasuk dalam masalah kesihatan ibu. Kerajaan berkewajipan menyediakan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan berkualiti yang berpatutan. Negara menjamin kesejahteraan setiap orang supaya tidak berlaku pengguguran atas sebab ekonomi. Ia juga menjamin keselamatan supaya tidak berlaku jenayah termasuk pemerkosaan.
Jika terjadinya pemerkosaan, negara akan menjamin kehidupan mangsa, termasuk apabila ia hamil. Negara juga akan menghukum pelaku pemerkosaan dengan hukuman seperti pelaku zina. Perzinaan merupakan dosa besar dalam Islam sehingga pelakunya akan mendapatkan hukuman rejam atau sebatan, bersesuaian dengan status pernikahan si pelaku zina.
Islam akan melaksanakan peraturan Islam dengan sempurna termasuk sistem sosial. Sistem ini akan mengatur hubungan antara lelaki dan perempuan dengan sangat terperinci, seperti melarang mendekati zina, melarang khalwat (berdua tanpa mahram), ikhtilat (percampuran lelaki dan perempuan), dan sebagainya.
Ini adalah bentuk Islam yang syumul dalam menyelesaikan masalah. Islam akan menyelesaikan semua masalah sepenuhnya sehingga ke akar umbinya. Wallahualam bissawab.
Sumber : Dipetik dari artikel asal bertajuk “Pemerintah Membolehkan Aborsi, Sudahkah Sesuai Syariat Islam?”, muslimahnewsid.