[Fikih] Adakah Haram Hukum Pilihan Raya dalam Demokrasi?
Soalan:
Telah diketahui bahawa hukum mengundi dalam pilihan raya (dalam sistem demokrasi) adalah haram. Namun, ada beberapa dalil yang menjadi rujukan dan atas sebab-sebab yang berikut memungkinkan untuk orang ramai mengundi dalam pilihan raya. Antara sebab-sebabnya adalah:
1- Dharar yang lebih ringan dari dua dharar (akhafu adh-dhararayn).
2- Dharurat memperbolehkan apa yang dilarang (adh-dharûrah tubîhu al-mahzhûrât).
Adakah kaedah-kaedah ini benar untuk sampai pada hukum syarie bahawa mengundi dalam pilihan raya (dalam sistem demokrasi) adalah mubah atau wajib demi kemaslahatan umat?
Jawapan:
Dalam Soal-Jawab pada 29/8/2010 seputar kaedah ahwanu asy-syarrayn wa akhafu adh-dhararayn (keburukan yang lebih ringan di antara dua keburukan dan mudarat yang lebih ringan di antara dua mudarat), di situ dinyatakan:
Kaedah ahwanu asy-syarrayn (keburukan yang lebih sedikit di antara dua keburukan) atau akhafu adh-dhararayn (mudarat yang lebih ringan di antara dua mudarat) adalah kaedah syar’iyyah menurut beberapa fuqaha’. Menurut sebahagian ulama, kaedah ini, kembali pada satu makna, iaitu kebolehan melakukan satu dari dua perbuatan yang diharamkan, yang lebih kecil keharamannya. Misalnya, jika orang mukallaf tidak mampu kecuali terpaksa melakukan salah satu keharaman itu dan dia tidak mungkin meninggalkan keduanya sekaligus. Sebab, hal itu terhalang, yakni di luar kemampuan dilihat dari semua aspek. Allah SWT berfirman:
لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ ٢٨٦
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (TMQ al-Baqarah [2]: 286).
Allah SWT juga berfirman:
فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ مَا ٱسۡتَطَعۡتُمۡ ١٦
“Bertakwalah kalian kepada Allah semampu kalian.” (TMQ at-Taghabun [64]: 16).
Ertinya, kaedah ini menurut pendapat sebahagian ulama, tidak diterapkan kecuali jika terhalang dari menahan diri dari dua keharaman itu. Ertinya, seseorang itu tidak mungkin meninggalkan dua keharaman itu sekaligus, kecuali dengan terjadinya keharaman yang lebih besar. Disebabkan itu, dharar yang lebih ringan diambil dari dua dharar tersebut. Para ulama tersebut tidak menjadikan penentuan dharar yang lebih ringan di antara dua dharar itu menurut hawa nafsu, tetapi menurut hukum-hukum syariah.
Di antara contoh yang disebutkan oleh para ulama untuk penerapan kaedah ini: Jika seorang ibu berada di dalam keadaan yang sukar untuk melahirkan dan tidak mampu menyelamatkan ibu dan bayi sekaligus, dan keadaan tersebut memerlukan keputusan yang cepat: menyelamatkan ibu (dan ini mengakibatkan kematian bayi) atau menyelamatkan bayi (dan ini akan mengakibatkan kematian si ibu). Jika keadaan ini dibiarkan dan tidak dikorbankan salah satu dari keduanya untuk menyelamatkan yang lainnya, atau membiarkan kehidupan salah satu dengan kematian yang lainnya, maka hal itu menyebabkan kematian keduanya. Dalam keadaan seperti ini dikatakan ahwanu asy-syarrayn (keburukan yang lebih sedikit di antara dua keburukan), atau aqallu al-harâmayn (keharaman yang lebih kecil di antara dua keharaman), atau akhafu al-mafsadatayn (mafsadat yang lebih ringan di antara dua mafsadat). Ertinya, yang menjadi keutamaan dalam situasi seperti ini adalah perbuatan menyelamatkan si ibu, meskipun perbuatan itu sendiri bererti membunuh yang lain (bayi).
Kaedah ini sudah pasti tidak diterapkan kepada seseorang yang dihadapkan pada dua perkara yang haram. Lalu dia melakukan yang lebih ringan di antara keduanya. Padahal dia mampu menahan diri dari keduanya sekaligus. Contohnya seperti orang yang mengatakan: Pilihlah si fulan, meski dia seorang sekular yang kafir atau faasid (rosak). Atau dikatakan: sokonglah si fulan dan jangan menyokong yang lainnya kerana yang pertama membantu kita, sementara yang kedua tidak membantu kita. Atau contoh-contoh lain yang seumpamanya.
Sudah pasti bukan begitu. Justeru yang perlu dikatakan di sini: Sungguh dua perkara yang dihadapkan di hadapan kita adalah haram. Jadi tidak boleh kita memilih seorang sekular dan tidak boleh mewakilkan atau mengangkat dia untuk mewakili umat Islam dalam berpendapat. Sebab, dia tidak berpegang dengan Islam. Selain itu, dia juga telah melakukan perbuatan-perbuatan yang diharamkan yang tidak diperbolehkan bagi orang yang mewakilkan untuk melakukan itu, seperti membuat hukum, meluluskan projek-projek yang diharamkan, menuntut dan menerima yang haram, dll. Secara ringkasnya, dia melarang yang makruf dan memerintahkan yang mungkar. Oleh kerana itu, tidak boleh memilih satu pun dari mereka berdua; kerana memilih salah satu antara keduanya, kedua-duanya adalah haram. Faktanya, membiarkan untuk memilih itu ada dalam kemampuannya.
Adapun adh-dharûrât tubîhu al-mahzhûrât aw al-muharramât (darurat itu memperbolehkan apa saja yang dilarang atau yang diharamkan) maka sebelumnya kami telah menjawab hal itu pada 26/1/2016. Di situ dinyatakan:
Sebahagian ulama memang mengambil kaedah “adh-dharûrât tubîhu al-mahzhûrât”. Mereka yang mengambil kaedah ini berdalil dengan dalil-dalil seperti berikut, firman Allah SWT:
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيۡكُمُ ٱلۡمَيۡتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحۡمَ ٱلۡخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ بِهِۦ لِغَيۡرِ ٱللَّهِۖ فَمَنِ ٱضۡطُرَّ غَيۡرَ بَاغٖ وَلَا عَادٖ فَلَآ إِثۡمَ عَلَيۡهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٌ ١٧٣
“Sungguh Allah hanya mengharamkan atas kalian bangkai, darah, daging babi dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Namun, siapa saja yang dalam keadaan terpaksa (memakannya), sementara dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa bagi dirinya. Sungguh Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (TMQ al-Baqarah [2]: 173).
فَمَنِ ٱضۡطُرَّ فِي مَخۡمَصَةٍ غَيۡرَ مُتَجَانِفٖ لِّإِثۡمٖ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٣
“Siapa saja yang terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sungguh Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (TMQ al-Maidah [5]: 3).
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيۡكُمُ ٱلۡمَيۡتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحۡمَ ٱلۡخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ لِغَيۡرِ ٱللَّهِ بِهِۦۖ فَمَنِ ٱضۡطُرَّ غَيۡرَ بَاغٖ وَلَا عَادٖ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ١١٥
“Sungguh Allah hanya mengharamkan atas kalian (memakan) bangkai, darah, daging babi dan apa sahaja yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah. Namun, siapa sahaja yang terpaksa memakannya tanpa berbuat aniaya dan tidak pula melampaui batas, maka sungguh Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (TMQ an-Nahl [16]: 115).
Orang yang meneliti kaedah ini akan memahami dengan jelas bahawa kaedah ini tidak benar. Dalil-dalil yang digunakan mereka yang mengambil kaedah ini tidak menunjukkan pada pendapat mereka. Paling jauh yang ditunjukkan oleh dalil-dalil itu adalah kebolehan pada saat keterpaksaan untuk memakan bangkai dan semisalnya disebabkan kelaparan. Dinyatakan:
فَمَنِ ٱضۡطُرَّ فِي مَخۡمَصَةٍ ٣
“Siapa saja yang terpaksa kerana kelaparan.” (TMQ al-Maidah [5]: 3).
Al-Makhmashah adalah kelaparan dan kelaparan itu dekat dengan kebinasaan. Pada saat itu seseorang boleh memakan yang haram. Keterpaksaan itu seperti yang jelas di dalam ayat tersebut dibatasi dengan kelaparan dan tidak lebih dari itu. Jadi lafaznya bukan bersifat umum atau mutlak sehingga madlûl (konotasi)-nya boleh menjangkau lebih dari itu. Lafaznya adalah muqayyad (dibatasi) dengan kelaparan.
Atas dasar itu, kaedah ini tidak benar untuk diterapkan berdasarkan keumuman seperti yang dinyatakan oleh mereka yang mengambil kaedah ini. Yang benar, sebagaimana ditunjukkan oleh dalil-dalil yang dijadikan sandaran oleh mereka yang mengambil kaedah ini, adalah bahawa ada rukhshah bagi seorang Muslim untuk memakan atau meminum apa yang diharamkan oleh Allah berupa makanan/minuman yang haram dalam keadaan terpaksa. Tidak menunjukkan selain itu. Rukhshah pada saat darurat pada keadaan-keadaan lain memerlukan dalil-dalil yang lain.
Penting disebutkan bahawa kaedah ini telah digunakan pada masa kini untuk menjadi tunggangan bagi menghalalkan semua yang diharamkan. Mereka menjadikan kata adh-dharûrât sebagai kata yang longgar, yang di bawahnya masuk banyak perkara sesuai dengan penafsiran mereka, yang menjadi pandangan mereka. Akibatnya, banyak orang terjatuh pada perkara yang haram atas nama adh-dharûrah! ([16 Rabiul Akhir 1437 H – 26 Januari 2016 M).
Perkara tersebut telah dirinci di dalam Soal-Jawab tersebut. Anda boleh merujuk jawapan terperinci di situ.
Jelas bahawa kaedah itu tidak tepat berlaku pada bolehnya pilihan raya dalam demokrasi saat ini dan tugas-tugasnya dalam pensyariatan hukum oleh manusia dan kepercayaan pada hukum kufur.
Begitu juga kami telah menjawab secara rinci pada 03 Februari 2016 dan pada 19 Jun 2022 tentang hukum terlibat dalam pilihan raya. Anda boleh merujuk pada Soal-Jawab tersebut. Semoga di dalamnya ada kecukupan.
WalLâh a’lam wa ahkam.
[Disarikan dari Soal-Jawab Syaikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah, 18 Zulqaedah 1445 H/26 Mei 2024 M]
Sumber:
https://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer-hizb/ameer-cmo-site/95755.html