Imam Mujahid
Penulis : Arief B. Iskandar
Mujahid rahimahullah adalah salah seorang imam muqri sekaligus imam mufassir terkemuka dari kalangan Taabi’iin. Nama lengkapnya adalah Mujahid bin Jabir al-Makky Abul Hajjad al-Makhzumy al-Muqry. Dia dilahirkan pada tahun 21 H (642 M) pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab RA . Menurut Imam adz-Dzahabi rahimahullah, Mujahid adalah seorang ulama besar Taabi’iin dalam bidang ilmu qiraa’ah (bacaan) dan tafsir. Dia adalah salah seorang murid senior Ibnu Abbas RA yang sangat terkenal sehingga menjadi rujukan ilmu tafsir pada zamannya.
Pada satu masa, Mujahid pernah mengakui bahawa dia menyemak pemahaman al-Qurannya kepada Ibnu Abbas sekitar 30 kali. Oleh kerana begitu mendalam pengetahuan Mujahid dalam bidang tafsir ini, dia pernah dicadangkan oleh Imam ats-Tsauri sebagai orang yang perlu dirujuk pengetahuan al-Qurannya. Imam ats-Tsauri berkata: “Ambillah ilmu tafsir al-Quran dari empat orang yang berikut iaitu: Said bin Jubair, Mujahid, Ikrimah dan adh-Dhahhak bin Mazahim.” [Al-Mufassiruun min at-Taabi’iin wa Thabaqaatihim, hlm. 141, Maktabah Syamilah].
Mujahid memang banyak menimba ilmu dan riwayat dari Ibnu Abbas RA sehingga sangat layak menjadi pakar dalam ilmu tafsir. Selain Ibnu Abbas RA, Mujahid berguru kepada sejumlah sahabat terkemuka lain seperti Abu Hurairah, Aisyah, Saad bin Abi Waqqash, Abdullah bin Amr, Abdullah bin Umar, Rafi’ bin Khadij, Jabir bin Abdillah, Abu Said al-Khudry, Ummu Hani’, Usaid bin Hudhair, dll.
Imam Mujahid mempunyai semangat yang tinggi dalam melakukan pengembaraan ilmiah untuk meraih ilmu. Tidaklah beliau mendengar sesuatu yang dikagumi melainkan beliau pasti akan mendatangi dan melihatnya. Tercatat bahawa beliau pernah melakukan rehlah ilmiah ke Hadramaut di negeri Yaman untuk mengunjungi telaga Barhut dan Babil. Beliau pernah berkunjung ke Mesir. Ulama yang meriwayatkan dari beliau di negeri tersebut cukup ramai. Beliau pernah juga menetap di Kufah dalam jangka waktu yang cukup lama. Bahkan beliau dikira sebagai ulama besar di Iraq saat itu.
Tafsir Mujahid sangat popular di kalangan para ulama dan pakar ilmu tafsir sejak zaman Imam al-Bukhari sehingga zaman Imam ath-Thabari. Bahkan tafsir beliau masih terus wujud dari zaman ke zaman hingga saat ini. Imam ath-Thabari termasuk ulama yang memberikan perhatian lebih terhadap tafsir Mujahid. Tentang Tafsir Mujahid ini, Imam an-Nawawi rahimahullah pernah berkata, “Jika datang kepadamu tafsir dari Mujahid maka itu sudah cukup bagimu.” [Al-Mufassiruun min at-Taabi’iin wa Thabqaqaatihim, hlm. 141, Maktabah Syamilah].
Qatadah dalam kesempatan lain pernah memuji Mujahid. Dia menyebut, “A’lamu man baqiya bi at-tafsiir Mujahid (Orang yang paling alim yang ada hari ini terkait tafsir al-Quran adalah Mujahid).”
Selain dikenal dengan keilmuannya yang amat layak, Mujahid juga dikenal dengan sifat integritinya di kalangan ulama. Misalnya, seperti kisah dari Salamah bin Kuhail. Dia menulis, “Aku tak pernah melihat seorang pun yang sikap mereka terhadap ilmunya hanya berharap redha Allah kecuali tiga orang. Mereka adalah Atha’ bin Abi Rabah, Thawus bin Kaisan dan Mujahid bin Jabir.”
Imam Mujahid juga mendapat banyak pujian dari kalangan ulama terkemuka lain. Ibnu Sa’ad rahimahullah,misalnya, dia berkata, “Mujahid adalah seorang yang tsiqah (terpercaya), faqih, berilmu dan banyak meriwayatkan hadis.”
Yahya bin Main dan Ibnu Hibban mengatakan, “Mujahid adalah seorang yang faqih, wara’, ahli ibadah dan kuat hafalannya.”
Al-Hafiz Ibnu Hajar juga berkata, “Dia seorang yang tsiqah, imam dalam tafsir dan ilmu agama.”
Khusaif bahkan mengatakan, “Mujahid adalah yang paling berilmu di bidang tafsir di antara mereka.”
Qatadah juga berkata, “Orang yang paling berilmu tentang tafsir saat ini adalah Mujahid.”
Imam Mujahid juga mempunyai banyak murid terkemuka. Di antaranya adalah Ikrimah, Thawus, Atha’, Amr bin Dinar, Abu Zubair, Al-Hakam bin Utaibah, Ibnu Abi Najih, Manshur bin al-Mu’tamir, Sulaiman bin Mihran al-A’masy, Ayyub as-Sikhtiyani, Qatadah bin Di’amah, Al-Fadhl bin Maimun, Bukair bin al-Ahnas, dan masih banyak yang lain.
Oleh sebab itu , tidak aneh jika Imam Syafie, Imam al-Bukhari dan sejumlah ulama besar lain banyak tertumpu kepada penafsiran al-Quran oleh Imam Mujahid [Al-Mufassiruun min at-Taabi’iin wa Thabaqaatihim, hlm. 141, Maktabah Syamilah].
Imam Mujahid terkenal dengan kata-katanya yang bernas. Dia, contohnya, pernah menyatakan, “Orang yang faqih adalah orang yang takut kepada Allah meskipun ilmunya sedikit. Adapun orang yang jahil adalah orang yang bermaksiat kepada Allah meskipun ilmunya banyak.”
Dia juga pun pernah berkata, “Siapa sahaja yang meninggikan dan memuji dirinya, maka rendahlah agamanya. Siapa sahaja yang merendahkan dirinya, maka dia telah memuliakan agamanya.”
Dia juga berkata, ”Orang yang mati pasti akan dikumpulkan bersama teman-temannya ketika di dunia. Jika dia dari golongan ahli zikir, maka dia akan dikumpulkan pula dengan golongan ahli zikir. Jika dia dari golongan orang yang lalai, maka dia akan dikumpulkan dengan golongan orang yang lalai pula.”
Mujahid juga pernah berkata, “Tidak akan mendapat ilmu orang yang pemalu dan orang yang sombong.”
Menurut beberapa orang sejarawan, Mujahid wafat tahun 100 Hijrah atau 102 Hijrah di Mekah pada usia 83 tahun. Beliau wafat dalam keadaan sujud. Demikian seperti yang ditulis oleh al-Zarikli dalam al-A’lam: Annahu maata wa huwa saajid [Sungguh Mujahid wafat dalam keadaan sujud].”
Ibnu al-Jauzi dalam Shafwah al-Shafwah juga memberikan kesaksian yang sama, “Mujahid wafat pada tahun 102 Hijrah pada hari Sabtu. Beliau wafat dalam keadaan bersujud.”
Sesungguhnya pengakhiran kehidupan yang sedemikian merupakan keutamaan yang besar bagi Imam Mujahid. Betapa tidak. Beliau meninggal di kota suci dalam keadaan sedang beribadah kepada Allah SWT. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan keampunanNya kepada beliau. Aamiin.
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.