Mencintai Rasulullah adalah Meneladaninya secara Keseluruhan
Penulis: Ustaz Yuana Ryan Tresna
Pada bulan Rabi’ul Awwal yang Istimewa ini, kaum muslim akan sentiasa memperingati momen kelahiran Nabi Muhammad saw. Kelahiran peribadi agung pembawa risalah Islam yang diutus oleh Allah SWT. untuk sekalian umat manusia. [lihat : QS Sabaa’ (34): 28] dan sebagai rahmat bagi semesta alam [lihat QS Al-Anbiyaa’ (21): 107]. Bentuk kecintaan pada Rasulullah adalah dengan mengikuti dan meneladani baginda sepenuhnya tanpa memilih mana yang sesuai dengan hawa nafsu manusia atau tidak.
Rasulullah adalah Sumber Kebaikan
Dalam surah Al-Anbiyaa:’ 107, Allah SWT. berfirman, “Dan tidaklah kami mengutus engkau (Muhammad) kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.” Lalu Al-Qadhi Iyadh mengutip penjelasan ayat tersebut sebagai berikut, “Dikatakan (kerahmatan Rasulullah) bagi seluruh makhluk. Buat orang mukmin, Rasulullah menjadi rahmat dengan hidayah; rahmat bagi orang munafik adalah berupa amannya mereka dari pembunuhan, dan rahmat bagi orang kafir pula adalah dengan ditundanya azab atas mereka (kerana umat-umat terdahulu, azab orang-orang yang kafir kepada Rasul-Nya dihukum secara langsung di dunia).” (Al-Qadhi ‘Iyadh, Asy-Syifa’ bi Ta’rifi Huquq al-Musthafa, hlm. 58).
Sebaliknya, realiti hari ini sungguh menyakitkan. Sesetengah orang mendakwa mewarisi rahmat Nabi, berkempen untuk rahmat Islam, tetapi mereka keras dan memusuhi sesama muslim, dan sebaliknya mereka berkasih sayang dengan orang kafir. Walhal, karakter umat Muhammad adalah keras terhadap orang kafir dan lemah lembut terhadap sesama orang Islam.
Dalam Al-Quran, tidak ada seorang nabi yang dipuji begitu tinggi, melebihi Nabi Muhammad saw. Dalam satu ayat, Nabi saw. disebut sebagai teladan yang baik (uswah hasanah), iaitu sebagai model teladan (role model) [lihat QS Al-Ahzaab (33): 29].
Dalam ayat yang lain, tanpa segan silu Allah SWT. menyebut baginda Rasulullah saw. sebagai manusia yang benar-benar hebat peribadinya [lihat QS Al-Qalam (68): 4]. Mungkin ada yang bertanya, dari mana keagungan itu dicapai oleh Rasulullah saw.?
Keterangan dalam surahAl-An’aam boleh menjadi kunci jawapannya. Dalam surah ini, telah diceritakan tentang nabi-nabi terdahulu, bermula dari Nabi Nuh, Ibrahim, Ya’qub, Yusuf dan lain-lain. Ringkasnya, terdapat 18 kisah nabi diceritakan dalam surah tersebut.
Pada ayat ke-90, setelah menceritakan perihal nabi-nabi tersebut, kemudian Allah SWT. menegaskan, “Mereka (Nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutilah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka.” [TMQ Al-An’aam (6): 90]
Para Nabi dan Rasul Allah itu adalah orang yang mendapat bimbingan dari Allah SWT. Firman-Nya, “maka turutilah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka.”. Jadi, baginda Rasul mewarisi kemuliaan dan keistimewaan nabi-nabi terdahulu sehingga membentuk himpunan keagungan yang benar-benar agung. (Al-Qadhi ‘Iyadh, Asy-Syifa’ bi Ta’rifi Huquq al-Musthafa, hlm. 60).
Bahkan, Imam al-Qadhi ‘Iyadh dalam kitabnya, Asy-Syifa, menyatakan ijmak bahawa haram hukumnya menghina Nabi Muhammad saw. dan orang yang melakukannya wajib dihukum mati. Hukum dan hukuman ini diambil dari ayat-ayat Al-Quran serta ijmak para sahabat Nabi.
Hak Nabi yang Perlu Ditunaikan oleh Umatnya
Ada banyak hak Nabi Muhammad saw. yang wajib ditunaikan oleh umatnya. Di antaranya adalah sebagai berikut.
1. Mencintai baginda saw. melebihi kecintaan kepada segala sesuatu.
Allah SWT. berfirman, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” [TMQ At-Taubah (9): 24]
Al-Qadhi Iyadh menyatakan, ayat ini cukup menjadi anjuran dan bimbingan serta hujah untuk mewajibkan mencintai baginda saw. dan kelayakan baginda untuk mendapatkan kecintaan tersebut. Ini kerana Allah SWT. menegur orang yang menjadikan harta, keluarga dan anaknya lebih dicintai dari Allah dan Rasul-Nya, serta mengancam mereka dengan firman-Nya, “maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya).” Kemudian di akhir ayat tersebut, Allah menamakan mereka sebagai orang fasik dan memberitahukan bahawa orang tersebut termasuk dalam kalangan mereka yang sesat dan tidak mendapat petunjuk Allah.
Rasulullah saw. juga bersabda, “Tidak beriman salah seorang di antara kalian sehingga aku lebih dia cintai daripada bapanya, anaknya dan seluruh manusia.” (HR Al-Bukhari).
2. Membuktikan kecintaannya.
Al-Qadhi ‘Iyadh berkata, “Ketahuilah, barangsiapa mencintai sesuatu, pasti dia akan mengutamakannya dan berusaha untuk meneladaninya. Jika tidak demikian, bermaksud kecintaannya tidak dianggap benar, hanya pengakuan belaka. Orang yang benar pengakuan cintanya kepada Rasulullah saw. adalah orang yang menampakkan tanda (bukti) kecintaan tersebut pada dirinya. Tanda cinta kepada Rasulullah adalah dengan meneladani baginda, mengamalkan sunnahnya, mengikuti semua ucapan dan perbuatannya, melaksanakan segala perintah dan menjauhi larangannya, serta menghiasi diri dengan adab-adab yang telah baginda (contohkan), baik dalam keadaan susah mahupun senang, dalam keadaan lapang mahupun sempit.” (Al-Qadhi Iyadh, Asy-Syifa bi Ta’rifi Huquq al-Mushthafa, Juz 2, hlm. 24)
Pembuktian cinta kepada Rasulullah itu meliputi beberapa hal:
- Pertama, membenarkan seluruh berita Rasulullah saw.. Apa pun yang diberitakan oleh baginda, sama ada mengikut logik akal ataupun tidak, dapat disaksikan oleh pancaindera ataupun tidak, wajib diyakini kebenarannya. Sebab, ucapan Rasulullah saw. adalah wahyu dari Allah Taala.
“Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” [TMQ An-Najm (53): 3—4]
- Kedua, mentaati Rasulullah saw. dengan mengamalkan perintahnya dan meninggalkan larangannya. Wajib bagi umat manusia mentaati Rasulullah saw. Banyak ayat Al-Quran yang menegaskan kewajipan ini. Allah SWT. berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah, dan janganlah kamu batalkan (pahala) amal-amal kamu! [TMQ Muhammad (47): 33].
Rasulullah saw. juga bersabda bahawa ketaatan kepada Rasulullah akan menyebabkan seseorang masuk ke syurga-Nya. “Setiap umatku akan masuk syurga, kecuali yang enggan.” Mereka bertanya, “Siapa yang enggan, wahai Rasulullah?” Baginda berkata, “Siapa yang taat kepadaku, akan masuk syurga, dan siapa yang tidak taat kepadaku, dialah yang enggan.” (HR Bukhari).
- Ketiga, menjadikan Rasulullah saw. sebagai hakim dan pasrah pada keputusannya. Menelaah pembahasan Imam Ibnu Atha’illah dalam Kitab At-Tanwir fi Isqath at-Tadbir hlm. 31-32, memberikan penjelasan tentang kemestian untuk pasrah pada semua ketentuan Allah dan Rasul-Nya. Allah SWT. berfirman, “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [TMQ An-Nisaa’ (4): 65]
Beberapa poin penting dari surah An-Nisaa’: 65 adalah sebagai berikut. (1) Wajibnya berhukum (bertahkim) kepada Rasulullah saw. dalam perkara yang diperselisihkan. (2) Wajibnya melenyapkan keberatan (haraj) dalam hati, maksudnya ada kesediaan untuk bertahkim kepada Rasulullah secara zahir dan batin. (3) Berserah diri (taslim) sepenuhnya pada semua perkara, bukan pada perkara yang sedang diperselisihkan saja.
Jadi, tidak ada ruang lagi bagi manusia untuk menentang ketetapan dan hukum Allah dan Rasul-Nya yang ditetapkan kepada manusia. Jangankan menentang, ada keberatan pun tidak boleh. Jangankan keberatan, tidak pasrah pada semua urusan pun tidak boleh.
Mengikuti Sunnahnya dalam Politik dan Pemerintahan
Salah satu hadis yang terkandung pesanan penting terkait membuktikan kecintaan terhadap Rasulullah saw. adalah hadis dari Anas bin Malik ra., Rasulullah saw. bersabda, “Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sungguh dia telah mencintaiku; dan siapa saja yang mencintaiku, maka dia bersamaku menjadi penghuni syurga.” (HR At-Tirmidzi, Ath-Thabarani).
Perkataan “sunnah” pada hadis di atas bermaksud ‘jalan hidup Rasul’ atau minhaj kenabian. Sunnah Rasulullah mencakup semua ajarannya, bermula dari bab ibadah sehinggalah ke bab politik pemerintahan. Rasulullah berwasiat bahawa sistem pemerintahan yang perlu diikuti adalah yang merujuk pada sunnah Rasulullah dan contoh para khalifah pengganti baginda dari Khulafa ur-Rasyidin.
Dalam sebuah riwayat disebutkan dari Abu Najih al-Irbadh bin Sariah ra., dia berkata, “Rasulullah saw. memberikan kami nasihat yang membuat hati kami bergetar dan air mata kami bercucuran. Maka kami berkata, ‘Ya Rasulullah, ini seakan-akan merupakan nasihat perpisahan, maka berilah kami wasiat.’
Rasulullah saw. bersabda, ‘Saya wasiatkan kalian untuk bertakwa kepada Allah SWT., tunduk dan patuh kepada pemimpin kalian meskipun yang memimpin kalian adalah seorang budak. Itu kerana di antara kalian ada yang hidup (setelah ini) akan menyaksikan banyaknya perselisihan. Hendaklah kalian berpegang teguh terhadap sunnahku dan sunah Khulafa ur-Rasyidin yang mendapatkan petunjuk, gigitlah dengan geraham. Hendaklah kalian menghindari bid’ah kerana semua perkara bid’ah adalah sesat.’” (HR Abu Dawud dan Tirmidzi).
Hadis di atas adalah hadis politik yang sangat penting dan agung. Rasulullah saw. mewasiatkan beberapa perkara. (1) bertakwa kepada Allah; (2) patuh dan taat kepada pemimpin dalam pemerintahan Islam, bagaimanapun keadaannya; (3) setelah zaman kenabian akan ada banyak perselisihan; (4) perintah mengikuti sunnah Nabi Muhammad saw. dan sunah Khulafa ur-Rasyidin yang mendapat petunjuk (dalam hal pemerintahan); (5) perintah berpegang teguh pada sunnah bagaikan menggigit sesuatu dengan gigi geraham; dan (6) larangan perilaku bid’ah kerana bid’ah adalah kesesatan.
Baginda saw. memerintahkan umatnya untuk mentaati para pemimpin kerana di dalamnya terdapat maslahat yang besar, selagi mana para pemimpin itu berpegang teguh dengan Islam, menyerukan Kitabullah, bagaimanapun keadaan mereka dalam hal diri mereka sendiri, keagamaan dan akhlak mereka, dan tidak dipatahkan tongkat atas mereka. Namun, jika tampak dari mereka kemungkaran maka mereka diperingatkan dan diingatkan.” (Al-Nawawi, Syarh an-Nawawi ‘ala Muslim, juz 4, hlm. 422).
Seterusnya adalah penjelasan agar kita mengikuti sunnah Khulafa ur-Rasyidin. Lafaz al-khulafa’ adalah jamak dari kata khalifah. Istilah khalifah itu sendiri jelas sinonim dengan “kepimpinan siyasah”, sedangkan istilah sunnah adalah “metode/minhaj”, menunjukkan adanya sunnah (minhaj) para khalifah (pada kalangan sahabat) berkaitan dengan kepimpinan, yang diperjelaskan dalam hadis lainnya.
Rasulullah saw. dan Khulafa ur-Rasyidin yang menegakkan minhaj pemerintahan dalam Islam, sebagaimana ditunjukkan dalam hadis, “Selanjutnya akan ada kembali Khilafah yang mengikuti minhaj kenabian.” (HR Ahmad).
Khalifah Umar bin Abdul Aziz menegaskan, “Rasulullah SAW. dan para ululamri setelahnya (Khulafa ur-Rasyidin) telah menggariskan adanya sunnah, iaitu sikap berpegang teguh pada Kitabullah dan menyempurnakan ketaatan kepada Allah, menegakkan kekuatan (asas kehidupan) di atas Deen Allah, tidak boleh ada seorang pun dari makhluk-Nya yang boleh mengubahnya, tidak boleh pula menggantikannya (dengan sunnah selainnya) dan tidak dilihat sedikit pun apa pun yang menyelisihi sunnah tersebut; siapa saja yang mengambil petunjuk darinya, maka dia menjadi orang yang diberi petunjuk; siapa saja yang mencari kemenangan dengannya, maka dia akan diberikan; dan siapa saja yang meninggalkannya dengan mengikuti selain jalan orang-orang beriman, maka Allah akan menyerahkan dirinya pada apa yang dia jadikan tempat bergantung (selain Allah), dan menyeretnya ke dalam Jahannam, dan ia adalah seburuk-buruknya tempat kembali.” (Al-Ajurri al-Baghdadi, Asy-Syari’ah, juz I, hlm. 40)
Penutup
Inilah makna mencintai Nabi saw., iaitu dengan mencintai syariatnya secara keseluruhan. Mencintai syariatnya terwujud dengan menghidupkan sunnahnya dengan mengusahakan tegaknya Islam secara keseluruhan dalam kehidupan. Kecintaan itulah yang akan menghantarkan seorang muslim berada di barisan pejuang yang memperjuangkan tegaknya kehidupan Islam.
Nilai apa pun yang keadaannya menggantikan Al-Quran dan Sunnah, hakikatnya adalah “jalan” baru selain syariat Allah. Kata Imam Ibnu Katsir, ia adalah jalan menuju kerugian, kehancuran dan kebinasaan. Bahkan, usai baginda Nabi saw. menyampaikan Khutbah Wada’, turunlah firman Allah SWT., “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” [TMQ Al-Maaidah (5): 3].