[Hadits Shiyam] Wajib Menyibukkan Diri dengan Politik Serantau dan Antarabangsa sebagaimana Wajib Berjihad
Allah SWT berfirman, “Alif Lam Mim. Telah dikalahkan bangsa Romawi di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam beberapa tahun (lagi). Bagi Allahlah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan pada hari (kemenangan bangsa Romawi) itu bergembiralah orang-orang beriman.” (TMQ Ar-Rum [30]: 1–3).
Diriwayatkan dari Nabi SAW, beliau bersabda, “Barang siapa yang pada pagi hari (bangun) dan tidak terlintas (dalam benaknya) kepedulian terhadap urusan kaum muslim, maka dia bukan termasuk golongan mereka (kaum muslim).”
Diriwayatkan oleh Ibnu Majah dari Abi Umamah bahawa ada seorang lelaki, pada saat melontarkan jamrah pertama, dia mengajukan pertanyaan kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, jihad apa yang paling utama?” Rasulullah diam (tidak berkata apa-apa). Pada saat lontaran jamrah kedua, lelaki itu mengulang pertanyaannya, tetapi Rasulullah tetap diam (tidak berkata apa-apa).
Setelah lontaran jamrah ‘aqabah (yang ketiga), kaki Rasulullah menginjak sanggurdi ketika hendak menaiki tunggangannya. Beliau berkata, “Di mana orang yang bertanya tadi?” Dijawab, “Saya, wahai Rasulullah.” Sabda Rasul, “(iaitu) melontarkan kalimat hak di hadapan penguasa yang zalim atau amir yang zalim.”
Dalam riwayat Abu Daud, dari Abi Sa’id dengan sanad marfu’, “Jihad yang paling utama adalah (melontarkan) kalimat yang adil (yakni Islam) di hadapan penguasa zalim.”
Nas-nas tersebut menunjukkan kewajipan untuk menyibukkan diri dalam berpolitik. Ibnu Abi Hathim daripada Ibnu Syihab menafsirkan ayat di atas seraya berkata, “Telah sampai kepada kami berita bahawa kaum musyrikin telah berpolemik dengan kaum muslim, sementara mereka masih tinggal di kota Mekah dan Rasulullah SAW belum pergi berhijrah. Mereka (kaum musyrikin) berkata, ‘Orang-orang Romawi telah bersaksi bahawa mereka adalah ahli kitab dan mereka telah dikalahkan oleh orang-orang Majusi. Sementara itu, kalian mengira bahawa kalian akan mampu mengalahkan kami dengan (senjata) kitab yang diturunkan kepada Nabi kalian. Bagaimana boleh Majusi dikalahkan oleh Romawi yang ahli kitab.’ Maka kami (kaum muslim) akan mengalahkanmu, sebagaimana Romawi mengalahkan Parsi.”
Turunlah firman Allah SWT, “Alif Lam Mim. Telah dikalahkan bangsa Romawi.” (TMQ Ar-Rum [30]: 1–2).
Ini menunjukkan bahawa kaum muslim di kota Mekah, sebelum berdirinya negara Islam (di Madinah), mereka telah berpolemik dengan orang-orang kafir mengenai berbagai berita antarabangsa dan informasi tentang hubungan antarabangsa.
Diriwayatkan bahawa Abu Bakar melakukan taruhan dengan orang-orang musyrik bahawa Romawi akan mengalahkan (Parsi). Berita ini sampai kepada Rasulullah SAW, dan Rasulullah pun menyetujuinya (dengan taqrir), seraya menegaskan bahawa dirinya pun turut mengambil bahagian di pihak Abu Bakar dalam pertaruhan tersebut. Ini juga petunjuk lain bahawa mengetahui situasi berbagai negara saat ini, serta hubungan mereka antara satu dengan yang lainnya adalah perkara yang biasa dibicarakan oleh kaum muslim (saat itu) dan Rasulullah SAW menegaskannya.
Tambahan pula, bahawa dakwah Islam yang diemban umat ini ke seluruh penjuru dunia tidak akan mudah dilakukan, kecuali dengan mengetahui politik pemerintah negeri-negeri tersebut. Dengan kata lain, umat Islam hendaklah mengetahui politik antarabangsa yang tengah berlangsung.
Ini bererti bahawa mengetahui politik antarabangsa secara umum dan politik masing-masing negara yang bangsanya ingin kita dakwahi atau melawan tipu daya mereka terhadap kita adalah fardhu kifayah bagi kaum muslim. Ini kerana mengemban dakwah adalah fardhu.
Melawan tipu daya musuh-musuh umat juga fardhu. Semua itu tidak mungkin tercapai, melainkan dengan mengetahui politik antarabangsa dan politik serantau (regional), di mana kita melakukan interaksi dengan mereka dalam rangka menyerukan dakwah Islam terhadap bangsa-bangsa tersebut atau untuk melawan tipu daya mereka.
Terdapat kaedah syarak, “Suatu kewajipan tidak akan sempurna (terlaksana), kecuali dengan (menjalankan) sesuatu, maka sesuatu itu (hukumnya) wajib.”
Jadi, menyibukkan diri dengan politik antarabangsa adalah kewajipan atas kaum muslim. Tatkala kaum muslim dibebankan dengan kewajipan mengemban dakwah Islam kepada seluruh umat manusia, dalam masa yang sama mereka diwajibkan pula untuk selalu berinteraksi dengan dunia antarabangsa. Interaksi yang dijalankan mestilah dibalut kesedaran dalam rangka memahami keadaan dan masalah-masalah (antarabangsa), serta memahami keinginan berbagai bangsa dan negara-negara. Kaum muslim juga perlu mencermati aktiviti-aktiviti politik yang sedang berlangsung di dunia, terutama strategi politik berbagai negara (besar) dan uslub (teknik operasi) penerapan strategi tersebut. Juga mempelajari tatacara hubungan mereka satu dengan yang lainnya yang ditampakkan sebagai manuver politik yang dilakukan negara-negara tersebut.
Berdasarkan hal ini maka kaum muslim wajib memahami hakikat daripada konstelasi politik dunia Islam yang menjadi sebahagian daripada konstelasi politik antarabangsa. Dengan demikian, kaum muslim akan mampu menyusun dan menjelaskan langkah-langkah praktikal penegakan negara mereka di tengah-tengah hiruk pikuk (politik) antarabangsa, serta dalam rangka memperkuat pengembanan dakwah mereka ke penjuru dunia. Dari sini maka fardhu kifayah bagi kaum muslim untuk mengetahui secara sempurna konstelasi politik antarabangsa. Ini dibersamai dengan mengetahui secara rinci perkara-perkara yang berhubungan dengan konstelasi politik antarabangsa sehari-hari, yakni dengan jalan mengikuti perkembangan secara berterusan, memberi perhatian, dan peduli dengan keadaan politik antarabangsa (terutama terhadap manuver negara-negara tertentu yang sangat memengaruhi peta politik antarabangsa) yang senantiasa disebut-sebut dalam peta politik antarabangsa.
Oleh kerana itu, fardhu kifayah atas kaum muslim untuk menyibukkan diri dalam politik antarabangsa. Jika umat ini melalaikan diri dari perhatiannya terhadap politik antarabangsa, tidak mahu ambil tahu terhadap politik antarabangsa mahupun serantau, mereka semuanya berdosa, sebagaimana halnya jika kaum muslim seluruhnya melalaikan jihad. Ini kerana dua perkara tersebut wajib dilakukan. Ini dilihat dari sisi politik antarabangsa.
Adapun dari sisi politik serantau, maka yang dimaksudkan di sini adalah menyibukkan diri dengan perkara-perkara kaum muslim secara umum dan memberi perhatian terhadap keadaan kaum muslim, terutama perlakuan pemerintah atau penguasa terhadap mereka. Ini adalah perkara yang telah diwajibkan Allah SWT atas mereka. Oleh kerana itu, haram bagi mereka melalaikannya. Apalagi Rasulullah SAW mendorong untuk memberi perhatian terhadap keadaan kaum muslim dan menganggap bahawa siapa saja yang tidak memedulikan keadaan kaum muslim, bererti ia tidak termasuk golongan kaum muslim.
Rasulullah SAW telah menyampaikan anjuran untuk mengawasi para penguasa yang menjadi pengatur urusan kaum muslim dan memberi perhatian terhadap tindak tanduknya dalam mengatur urusan rakyatnya. Beliau juga menjadikan aktiviti melontarkan kalimat yang hak di hadapan penguasa zalim sebagai bagian dari jihad yang paling utama. Ini bererti, menyibukkan diri dengan keadaan dan perkara (yang dihadapi) kaum muslim dan memberi perhatian terhadapnya merupakan sesuatu yang wajar dilakukan umat.
Terdapat hadis syarif, “Barang siapa melihat penguasa yang zalim melanggar janji Allah, menghalalkan yang Allah haramkan, berperilaku dosa, dan melakukan permusuhan terhadap hamba-hamba Allah, lalu (yang menyaksikan itu) tidak melakukan perubahan, baik dengan ucapan mahupun perbuatan, maka Allah berhak memasukkannya ke dalam (neraka).”
Yang dimaksud melakukan perubahan dengan ucapan mahupun perbuatan adalah menyibukkan diri dengan aktiviti politik serantau. Dari sini jelas bahawa statusnya wajib untuk menyibukkan diri dalam politik serantau.
Dengan demikian jelaslah bahawa berpolitik adalah fardhu kifayah atas kaum muslim, baik politik serantau mahupun politik antarabangsa. Sebabnya, politik itu adalah (bagaimana) mengatur dan memelihara urusan-urusan umat, baik di dalam mahupun luar negeri. Jadi, wajib atas kaum muslim–tidak terkecuali orang-orang yang bertakwa dan berperilaku baik–untuk menyibukkan dirinya dalam politik antarabangsa dan politik serantau. Tanpa aktiviti tersebut, tidak mungkin kita melawan tipu daya (negara-negara) kafir dan tidak mungkin mengembangkan dakwah ke seluruh penjuru dunia.
Sumber: Hadits Shiyam