[Kenyataan Media] Persidangan Dalam Talian (Online) Muslimah Antarabangsa Anjuran Bahagian Muslimah di Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir, dengan Kerjasama Muslimah Hizbut Tahrir di Seluruh Dunia
Satu tahun telah berlalu sejak bermulanya operasi ‘Taufan Al-Aqsa’ dan peperangan sengit yang berlaku di Gaza. Semenjak 7 Oktober tahun lepas, rakyat Gaza telah melalui ujian yang sangat berat, mereka hidup dalam penuh kesakitan, penyeksaan dan tragedi yang tidak terkira banyaknya: pengusiran, pembunuhan dan kebuluran… mayat kanak-kanak dan wanita yang bertaburan dikumpulkan di dalam beg dan masih ramai yang terkorban di bawah runtuhan bangunan, sukar untuk dikeluarkan, menambah lagi kepedihan dan kesedihan kerana ahli keluarga tidak dapat menghormati dan menguburkan mereka dengan baik. Kekejaman genosid ini telah dilakukan oleh entiti keganasan dan disaksikan oleh seluruh dunia yang turut bersubahat dan membisu.
Namun, di sebalik tragedi dan kedukaan perang ini, ia juga dipenuhi dengan pengajaran dan renungan yang disampaikan oleh kumpulan yang beriman, sabar, dan tabah yang berdiri teguh menentang tipu daya musuh dan pengkhianatan para penguasa dan mereka yang mengaku sebagai kawan. Kumpulan kecil ini, tidak terpengaruh dengan mereka yang meninggalkan mereka, tetap tabah, tidak pernah putus harapan terhadap kemenangan yang dijanjikan oleh Sang Pencipta langit dan bumi. Di sebalik teriakan, rayuan dan seruan meminta pertolongan daripada penduduk Gaza, maklum balas telah mendedahkan berbagai pengkhianatan pemerintah Islam yang kekal di atas takhta mereka, pekak, bisu dan buta terhadap jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh entiti penjenayah ini terhadap rakyat Gaza dan Palestin secara amnya. Para penguasa ini mengabdikan diri untuk menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada entiti penjenayah ini, menormalkan hubungan dengannya dan mengukuhkan kewujudannya.
Peperangan ini juga telah membuka topeng para ulama, mendedahkan kebenaran yang disembunyikan oleh si penipu. Ia telah membuka mata kita tentang apa sebenarnya yang berlaku. Konflik di Palestin telah menjadi semakin jelas: perjuangan antara kebenaran dan kebathilan di antara kaum Muslim di Palestin dan entiti Yahudi yang telah menjajah dan merampas tanah umat Islam. Rakyat Palestin, khususnya Gaza sedang memanggil ummah ini. Jadi, bagaimanakah tindak balas ummah? Jawapannya adalah, lemah! Mereka melakukan beberapa demonstrasi dan protes, atau memboikot beberapa produk atau institusi pro-entiti tersebut dan menghantar makanan beserta pakaian sebagai bantuan! Walaupun dengan jelas puak pengganas tersebut melakukan jenayah perang satu demi satu, walaupun berulang kali rakyat Palestin merayu, meminta pertolongan, walaupun berulang kali kita melihat peristiwa yang menyayat hati, pengkhianatan para pemimpin beserta kebisuan global, namun umat dan tentera Muslim tetap tidak bergerak. Diam membisu tanpa bertindak masih lagi menjadi tindak balas mereka terhadap isu Palestin!
Semua ini menimbulkan persoalan tentang sebab-sebab yang menghalang pengakhiran genosid ini dan pembebasan Palestin. Apakah ada penyelesaian asas di mana isu ini boleh diselesaikan secara tuntas? Persoalan ini, dan persoalan lainnya akan diajukan serta dijawab semasa Persidangan Dalam Talian (Online) Muslimah Antarabangsa yang dianjurkan oleh Bahagian Muslimah di Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir, dengan kerjasama Muslimah Hizbut Tahrir di seluruh dunia, yang mengangkat tajuk: “Pembebasan Palestin: Cabaran dan Khabar Gembira” yang akan berlangsung pada hari Sabtu, 5 Oktober 2024. Persidangan ini akan menggariskan jalan yang benar untuk menyelesaikan isu ini dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan umat Islam.
Persidangan ini juga akan membincangkan perkara utama terkait isu Palestin dan menyediakan ubat (penyelesaian) yang diperlukan untuk menghentikan kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Palestin khususnya dan kaum Muslim secara amnya, kerana ia adalah masalah seluruh ummah dan bukan isu nasional yang terikat dengan sempadan buatan yang dicipta oleh kuasa penjajah. Para pembentang dari Palestin, Tunisia, Syria, Lubnan, Indonesia dan Amerika juga akan turut mengambil bahagian dalam persidangan ini. Persidangan ini akan mengungkap serta mendedahkan mereka yang menghalang pengakhiran genosid, menjelaskan sebab-sebab yang menghalang pembebasan Palestin dan membincangkan peranan institusi antarabangsa dan keputusan mereka dalam konspirasi menentang perjuangan Palestin. Tambahan lagi, ia juga akan membawa isu peranan jahat media massa dalam mengelirukan dan menyembunyikan kebenaran, menggambarkannya sebagai isu kebangsaan atau etnik, untuk memesongkan umat Islam dari jalan yang benar yang mesti mereka ikuti untuk menyelesaikan permasalahan ini secara tuntas.
Persidangan ini akan turut membincangkan peranan umat Islam dalam mencapai penyelesaian sebenar yang berpunca dari akidah serta mengungkap bahawa penyelesaian yang diberikan oleh pihak musuh dan penjajah hanyalah senjata yang digunakan untuk melawan kebangkitan umat Islam dan mengalihkan mereka dari jalan kebenaran. Penyelesaian separa dan sementara ini diberikan hanya untuk mendiamkan umat Islam. dan menghalang mereka dari melakukan peranan mereka yang sebenarnya. Persidangan ini juga akan mengupas halangan yang menyebabkan kesukaran umat untuk menerapkan hukum Syariah demi membebaskan Palestin dan akan menjelaskan mengapa tentera Muslim kekal di berek mereka tanpa menyahut tangisan pertolongan rakyat Palestin.
Di samping itu, persidangan ini akan membongkar usaha-usaha yang dilakukan bertujuan untuk melebarkan jurang antara umat Islam dengan pasukan tenteranya dengan menggambarkan tentera sebagai tidak berkuasa, tunduk kepada rejim dan tidak mampu memberikan sokongan atau kemenangan. Dakwaan dan tuduhan ini akan disangkal dengan memetik contoh individu yang ikhlas dalam tentera yang mengorbankan nyawa mereka demi agama mereka dan kemenangannya, menggariskan peranan kesedaran dan pendapat umum dalam mendorong ramai orang yang ikhlas dalam tentera untuk bertindak.
Tambahan lagi, ia juga akan mendedahkan akar masalah dimana umat Islam meletakkan beban pembebasan tanah suci itu hanya pada rakyat Palestin, serta mengaburkan perbincangan terkait peranan sebenar umat Islam dan ketenteraan mereka yang lengkap bersenjata.
Persidangan ini juga akan mengetengahkan peranan setiap Muslim dalam menyelesaikan isu ini, dengan tumpuan khusus kepada wanita Muslim dan tindakan yang mesti mereka ambil untuk menamatkan genosid dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan terhadap saudara kita di Gaza dan Palestin secara amnya. Ia akan menekankan tanggungjawab mereka untuk bekerjasama dengan umat Islam untuk membebaskannya. Persidangan ini akan menegaskan janji kemenangan dan kekuasaan Allah, mengingatkan kita bahawa kesenangan akan datang selepas kesusahan dan kemenangan itu datang selepas ujian. Ia juga akan menegaskan tentang kehebatan umat ini, yang mampu mencapai kemenangan InsyaAllah.
Kami berdoa agar persidangan ini akan menerangi jalan kebenaran yang mesti diambil oleh umat Islam untuk mendapatkan semula kewibawaan, kepimpinan dan mencapai pembebasan Palestin daripada cengkaman musuh dan kaum kufar. Sebagaimana firman Allah SWT.:
﴿وَلَيَنْصُرَنَّ اللهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ﴾
“…dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” [TMQ Al-Hajj (22): 40].
Sertai kami, dalam persidangan global ini melalui pautan Zoom:
https://us06web.zoom.us/j/81685047416
Persidangan ini akan diadakan dalam bahasa Arab.
Bahagian Muslimah di Pejabat Media Pusat
Hizbut Tahrir