Renungan Nafsiyah: Adakah Kita Umat Yang Boleh Kembali Bersinar Lagi?
Apa yang terlintas di fikiran apabila kita bertanya, siapakah peneraju dunia dalam bidang sains dan teknologi? Pasti AS menjengah ke ruang fikiran dalam aspek kemajuan ketenteraan, ekonomi dan teknologi.
Mari kita lihat kembali bagaimana keadaan umat Islam semasa Islam menaungi dunia, umat Islam “mencerahkan“ Eropah dengan penemuan, kemajuan, pengetahuan, dan banyak lagi yang tidak terkira. Perkara ini sering ditiadakan dalam buku sejarah barat tentang apa yang diberikan oleh umat Islam kepada Eropah. Barat mencuri ilmu kita dan mengaitkannya dengan pengetahuan mereka sendiri tanpa mengiktiraf kemajuan umat Islam. Ini bukan perkara baru kerana sejarah berulang sebagaimana yang kita lihat hari ini. Hari ini, Barat mencuri sumber dari Iraq, Afghanistan, dan Somalia, namun ini cuma sebahagian kecil dari banyak lagi.
Kita sangka kita tahu tentang sejarah kegemilangan kita, atau sekurang-kurangnya sebahagian daripadanya, tanpa memahami betapa luas dan hebatnya sejarah kita yang sebenarnya. Ummah ini pernah memiliki negara terkemuka dengan tamadun terbesar dalam sejarah yang berkembang selama berabad-abad, dalam pelbagai aspek… Kita menjadi tamadun terbesar dalam sejarah peradaban manusia dengan jumlah ketenteraan terbesar. Sempadan wilayah kita melangkau sampai ke China di Timur, Lautan Atlantik di Barat dan Selatan Perancis di Utara, serta mengjangkau ke hutan-hutan Afrika di Selatan. Belum lagi kita membicarakan tentang asas pembangunan sains dan teknologi.
Abu al Baraka al Bagdadi menemui hukum gerakan, lima abad sebelum Newton. Bukunya yang tersedia di perpustakaan-perpustakaan Eropah, diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan Perancis pada zaman Newton. Al Biruni adalah orang yang menemukan graviti bumi, dan menjelaskan gerhana matahari dan bulan; beliau juga yang meletakkan asas untuk mengukur bumi dalam hemisfera. Beliau menerangkan bahawa bumi adalah bulat dan menentukan latitud dan longitud bumi. Beliau juga menyatakan bahawa kelajuan cahaya adalah jauh lebih pantas daripada kelajuan bunyi serta menerangkan tentang kelajuan putaran bumi. Semua ini berlaku jauh sebelum Newton! Ibn Sina pula menemukan bahawa cacing penyebab schistosomiasis dan meningitis.
Mungkin anda boleh tanyakan, siapakah orang pertama yang menemui bandul jam? Al Yonus Al Masri tetapi Barat mengaitkan penemuan itu kepada Galileo pada abad ke-17. Abu Bakar Al Razi pula adalah orang yang mencipta benang pembedahan yang boleh larut dan memungkinkan untuk kegunaan pembedahan dalaman; yang kemudiannya tersebar ke seluruh dunia. Al Khwarizmi menemui algoritma yang membuka jalan kepada penciptaan komputer/komputer riba, pengetahuan pemprograman (programming), iPhone, dan sebagainya. Jangan lupa juga pada Ibnu al Haytham, orang yang meletakkan teori refleksi dan menjawab soalan paling penting tentang optik iaitu “Bagaimana kita melihat?” Al Jazari mencipta pam air untuk menarik air secara mekanikal yang meningkatkan pertanian dalam pancarongga negara (Khilafah), malah beliau juga menemui teori bahawa gerakan dalam bentuk putaran (circular) boleh menjana kuasa.
Sejarawan Perancis, Debar, berkata, “Kami orang Eropah berhutang kepada orang Arab dalam mencapai keselesaan dalam kehidupan seharian kami, orang Islam adalah orang yang mengajar kami tentang kebersihan badan kami,” dia juga menyatakan bahawa perpustakaan Qurtaba (Cordoba) dahulu mempunyai 400,000 buku. Qurtaba pernah mempunyai 50 buah hospital, iaitu ketika 700 tahun sebelum Paris mula mengenal tentang sebuah hospital. Orang Islam adalah orang yang menemui salutan gula untuk ubat pahit supaya pesakit dapat memakannya. Orang Islam juga merupakan orang yang biasa mensterilkan peralatan pembedahan sebelum menjalankan pembedahan, orang Islam jugalah yang menjadi orang pertama yang menggunakan hospital bergerak sementara, dan lain-lain.
Kita pernah menjadi bangsa yang buta huruf. Apakah yang membuatkan kita sebagai ummah mampu mencapai tamadun yang hebat dalam tempoh yang singkat? Apakah faktor yang datang dalam kehidupan ummah yang membawa perubahan dan menyedarkan kita? IA ADALAH ISLAM! Sistem pemerintahan Islam memberikan kita ilmu, kekuatan, akhlak yang baik, pasukan tentera yang paling kuat dan terbaik, teknologi, maruah, dan kesedaran. Sebab-sebab ini hanyalah sebahagian daripada mengapa begitu banyak bangsa memandang tinggi kepada kita. Malah orang Kristian yang hidup di bawah daulah (Khilafah) akan berjuang bersama-sama orang Islam menentang pasukan salib, SubhanAllah. Mengatakan ia sekadar sebuah negara yang gemilang adalah suatu kenyataan yang meremehkan bahkan tidak mencukupi.
Islam adalah agama keilmuan, agama kekuatan, agama budi pekerti, agama dengan tamadun yang lengkap. Semuanya telah diambil daripada kita apabila kita kehilangan perisai kita; iaitu Khilafah. Islam menjadi tidak dikenali lagi selepas Khilafah hancur dan kini kita berada dalam keadaan sengsara, kehancuran tanpa belas kasihan, dijarah, dihina di tangan kuffar di seluruh dunia. Maka, satu-satunya cara Islam akan kembali dikenali adalah dengan menerapkannya melalui Khilafah `ala Minhaj Nubuwwah.
Salah satu tugas negara dalam Islam ialah menjaga kesejahteraan rakyat; ia mesti menyediakan ubat-ubatan dan hospital kepada orang awam. Oleh itu, Khalifah mesti menyediakan kepada setiap individu rakyatnya dengan perkhidmatan kesihatan, ubat-ubatan dan institusi perubatan (hospital). Umat Islam dan semua manusia yang hidup di bawah pemerintahan daulah (Khilafah): mendapat hak penjagaan kesihatan yang mana dunia tidak pernah menyaksikan hal seumpama itu, dan tidak akan menyaksikan sesuatu seperti itu lagi kecuali di bawah naungannya dan sekembali penegakannya. Inilah yang pernah dicapai Islam melalui doktrinnya yang rasional (akidah) dan dasar perundangan yang teguh (syariah), menyebarkan kebahagiaan dan kepuasan dalam hati orang-orang yang memeluknya dan mengikuti petunjuk Pencipta (Allah SWT) mereka. Islam telah mempesonakan dunia dengan tahap penjagaan manusia yang tiada tandingan serta unik, yang bersumber daripada ketentuan yang adil (ahkam shar’iyah) yang diturunkan Allah SWT sebagai rahmat kepada seluruh umat manusia; ia tidak membezakan antara kaya dan miskin, atau antara pemerintah dan rakyat, malah setiap orang takut kepada Allah dan berusaha mencari keredhaan-Nya kerana takut akan azab-Nya.
(كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ)
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” [TMQ Surah Aali Imran 3: 110].
Kita benar-benar umat terbaik. Oleh itu marilah kita kembalikan maruah kita, persepsi terhadap kita sebagai umat Islam. Maka, sahutlah seruan ini dan bergabunglah dengan para pejuang untuk menegakkan Khilafah dengan metode kenabian, agar kita semua dapat menikmati kembali kemuliaannya, dengan pertolongan dan dukungan daripada Allah SWT.
Sumber: Ummah Voice Podcast