[Ath-Thariq] Tatacara Beraktiviti untuk Mewujudkan Daulah Islam (Bahagian 2/3)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
- Tahapan Kedua Dakwah Rasulullah:
Tahapan kedua ini dimulai dengan adanya perintah Allah SWT kepada Rasul-Nya untuk menyerukan dakwah Islam kepada masyarakat kafir. Dakwah yang tidak dilakukan secara fardhiyah (individu), tetapi secara jama’iyah (kelompok) dan dengan adanya perintah untuk menampakkan kelompok, jemaah, atau partinya. Hal itu terjadi tiga tahun setelah diutusnya Rasulullah SAW. Allah SWT berfirman,
وَاَنْذِرْ عَشِيْرَتَكَ الْاَقْرَبِيْنَ ۙ
وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ ۚ
“Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat, dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang beriman.” (TMQ Asy-Syuara: 214—215).
وَاِنَّمَآ اَنَا۠ نَذِيْرٌ مُّبِيْنٌ
“dan katakanlah bahawa sesungguhnya aku hanya pemberi peringatan yang jelas.” (TMQ Al-Ankabut: 50).
dan Dia SWT berfirman,
فَاصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَاَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِيْنَ
“Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik.” (TMQ Al-Hijr: 94).
Setelah kedua-dua ayat ini turun, Rasulullah memulakan tahapan berinteraksi dengan masyarakat (al-tafa’ul ma’a al-mujtama’). Ketika Rasulullah SAW mula menyeru kaumnya kepada Islam dan hal itu dilakukan dengan terang-terangan sebagaimana yang diperintahkan Allah SWT kepadanya, kaumnya belum menjauhi dan belum menolaknya hingga beliau menyebut-nyebut dan mencela Tuhan mereka. Ketika Rasulullah SAW melakukan hal itu, mereka memusatkan perhatian pada beliau, memerangi dan bersatu padu untuk melawan dan memusuhinya.
Pada tahapan ini berlangsung perang pemikiran, konflik antara idea-idea Islam dengan idea dan pemahaman kufur, dan berlangsung pula perjuangan politik. Rasulullah SAW membongkar kerosakan dan kejahatan para pemuka Quraisy. Rasulullah sering kali mencela mereka kerana menyembah berhala, benda yang tidak dapat memberikan manfaat ataupun mudarat, seraya membacakan kepada mereka,
اِنَّكُمْ وَمَا تَعْبُدُوْنَ مِنْ دُوْنِ اللّٰهِ حَصَبُ جَهَنَّمَۗ اَنْتُمْ لَهَا وٰرِدُوْنَ
“Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah adalah umpan Jahanam, kamu pasti masuk ke dalamnya.” (TMQ Al-Anbiya: 98).
Kaum Quraisy pun mula menyakiti Rasulullah SAW dan menyeksa para sahabatnya, terutama kaum duafa di antara mereka seperti keluarga Yasir, Bilal, dan sebagainya. Penyeksaan demi penyeksaan datang silih berganti. Kaum muslim berani maju menjadi korban dan syuhada, sedangkan kaum Quraisy tetap dalam pembangkangan dan kekufuran mereka.
Tahapan berinteraksi dengan masyarakat Quraisy yang kafir ini sampai pada keadaan membatu (ketidaktoleransi). Ucapan Rasulullah SAW pun tidak dipedulikan lagi (dianggap angin lalu), atau malah mendapatkan reaksi berupa lemparan kayu atau kantung penuh batu.
Ketika keadaan makin genting menimpa kaum muslim, Rasulullah pun mulai mencari tanah yang lebih subur bagi dakwahnya dan kaum yang sedia melindungi dakwah dan anggota jemaahnya, serta sedia menolong agama-Nya. Inilah yang disebut dengan mencari perlindungan dan pertolongan (thalab al-himayah wa an-nushrah).
Rasulullah SAW berulang kali berusaha meminta pertolongan, tetapi beliau gagal dalam hal itu lebih dari sepuluh kali. Beliau malah menerima sambutan yang paling buruk dan penolakan yang paling menyakitkan. Tiada satu kabilah pun yang mahu menolongnya, kecuali Bani Amir bin Sha’sha’ah yang memberikan syarat pada beliau agar merekalah yang berkuasa kelak. Rasulullah SAW pun menjawab bahawa kekuasaan (autoriti) itu hanya milik Allah semata, yang ditetapkan berdasar apa yang Dia inginkan.
Keadaan itu terus berlangsung hingga Allah menggembirakan Rasul-Nya dengan kehadiran jemaah (ar-rahtu: jemaah yang berjumlah 3–10 orang) Aus dan Khazraj dalam rangka memberikan baiat kepada beliau yang dikenal sebagai Baiat Aqabah Pertama atau Baiat an-Nisa. Di bukit Aqabah ini jemaah Aus dan Khazraj bersumpah setia pada Rasulullah SAW. Mereka, berjumlah dua belas orang lelaki, bersumpah setia untuk tidak mempersekutukan Allah, berbuat zina, mencuri, dan tidak melakukan hal yang serupa itu.
Baiat ini disebut juga Baiat an-Nisa kerana kata/formula (al-shigat) ini digunakan Rasulullah dalam membaiat kaum wanita. Peristiwa tersebut terjadi sebelum disyariatkannya jihad yang menggunakan kelengkapan fizikal. Rasulullah SAW mengutus Mush’ab bin Umair bersama jemaah yang telah beriman itu ke kota Madinah, tidak lain adalah untuk mengajarkan Islam kepada mereka dan menyeru manusia kepadanya.
Saad bin Mu’adz dan As’ad bin Zararah menyambut seruan itu sehingga tersebarlah Islam di Madinah. Kemudian terjadilah Baiat Aqabah Kedua atau terakhir yang dikenali pula dengan Baiat al-Harb (sumpah setia untuk berperang), yang mana jemaah Aus dan Khazraj yang berjumlah 73 orang lelaki dan 2 orang wanita bersumpah setia pada Rasulullah SAW. Mereka sedia memerangi manusia berkulit merah dan hitam (orang kafir-pen.) dan berjanji untuk melindungi beliau SAW jika berhijrah ke Madinah.
- Marhalah Ketiga:
Dalam tahapan ini, Rasulullah SAW berhijrah ke Kota Madinah dan menyemai benih negara Islam yang bersedia untuk menceburkan diri ke dalam kancah peperangan dan mengukuhkan berbagai tatanan negara teragung, demi kelangsungan agama termulia sepanjang sejarahnya.
Inilah metode yang dijalani Rasulullah SAW dengan tiga tahapan dakwahnya yang begitu jelas. Sejak dimulainya seruan kepada ideologi yang diwahyukan Allah SWT padanya hingga berjayanya Rasulullah SAW—dengan bimbingan Allah SWT—mendirikan negara Islam. Negara inilah yang menerapkan Islam di dalam kota Madinah dan mengembannya dengan jihad ke seluruh Jazirah Arab dan semua penjuru dunia.
Berdasarkan hal ini, kaum muslim wajib berusaha untuk menegakkan Daulah Islam dalam rangka membangkitkan umat Islam dengan hanya menggunakan metode yang dijalani Rasulullah SAW sendiri. Hal itu boleh dilakukan secara sempurna dengan mempelajari sejarah nabi yang suci dan memahami hukum-hukum syarak yang termaktub dalam Al-Quran dan sunnah secara teliti dan mendalam. Dengan demikian, umat mampu memperoleh kesedaran yang benar yang dapat membawa pada aktiviti yang produktif, yakni aktiviti yang dapat meraih redha Allah SWT dan membawa kaum muslim pada kebangkitan.
Dengan mempelajari metode Rasulullah SAW secara teliti dan mendalam, baik yang bersumberkan sirah Nabi ataupun hadisnya yang suci serta ayat-ayat yang mulia, yang berkaitan dengan tatacara aktiviti menegakkan Daulah ini, kami dapat menyimpulkan beberapa hal sebagai berikut:
Sesungguhnya aktiviti untuk menegakkan negara Islam itu bukanlah aktiviti yang dilakukan oleh individu (al-‘amal al-fardiy), tetapi merupakan aktiviti yang dilakukan oleh kelompok (al-‘amal al-jama’iy). Rasulullah SAW memiliki jemaah yang telah dididik olehnya pada tahapan pertama, dan menerjunkan jemaah ke dalam arena pertempuran pemikiran dan konflik politik—setelah tsaqafah dan akidah mereka kuat dan sempurna—pada tahapan dakwah kedua. Dengan demikian, aktiviti tersebut mesti dilakukan oleh jemaah atau parti, bukan orang per individu. Allah SWT telah berfirman dalam kitab-Nya yang mulia,
وَمَآ اٰتٰىكُمُ الرَّسُوْلُ فَخُذُوْهُ وَمَا نَهٰىكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوْاۚ وَاتَّقُوا اللّٰهَ ۗاِنَّ اللّٰهَ شَدِيْدُ الْعِقَابِۘ
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah; dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.” (TMQ Al-Hasyr: 7).
Berdasar ayat tersebut, maka mengkuti langkah Rasulullah SAW dalam tatacara menegakkan negara Islam menjadi sebuah kewajipan pada kaum muslim yang sedang berusaha menegakkan negara Islam.
[Bersambung ke bahagian 3/3]
Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)