[Afkar] Belajar Islam Mesti Mendalam
Oleh: Ustaz Yuana Ryan Tresna
Tsaqâfah Islam adalah berbagai pengetahuan (ma’ârif) Islam. Keberadaan akidah Islam adalah sebab (asas) dalam pembahasannya. Pengetahuan tersebut boleh mengandungi topik akidah Islam, seperti ilmu tauhid; boleh juga berupa pengetahuan yang berpijak pada akidah Islam, seperti fiqh, tafsir dan hadis; boleh juga /berupa pengetahuan yang terkait dengan pemahaman yang terpancar dari akidah Islam, yakni berbagai pengetahuan yang menjadi syarat ijtihad dalam Islam, seperti ilmu bahasa Arab, musthalah hadits dan ushul fiqh. Semuanya termasuk tsaqâfah Islam. Ini kerana akidah Islam menjadi asas dalam pembahasannya.[1]
Sumber rujukan tsaqâfah Islam adalah al-Quran dan al-Hadis. Akidah Islam mewajibkan kita merujuk pada keduanya dan terikat dengan keduanya. Al-Quran memerintahkan umat Islam agar mengambil apa sahaja yang telah dibawa oleh Rasulullah saw. (Lihat: QS al-Hasyr [59]: 7). Mengambil apa sahaja yang dibawa oleh Rasul saw. tidak mungkin kecuali setelah difahami dan dipelajari. Untuk mengetahui dan memahami apa sahaja yang dibawa Rasul semestinya dengan memahami al-Quran dan as-Sunnah. Dari situ akan muncul berbagai macam pengetahuan Islam. Pada akhirnya tsaqafah Islam memiliki disiplin ilmu tertentu, iaitu al-Quran, as-Sunnah, bahasa, sharf, nahwu, balaghah, tafsir, hadis, mushthalah hadits, ushul fiqh, tauhid dan lain-lain yang termasuk dalam pengetahuan-pengetahuan Islam.[2]
Kewajipan Mempelajari Tsaqâfah Islam
Mempelajari tsaqâfah Islam atau mempelajari ilmu-ilmu Islam merupakan satu kewajipan. Dasar kewajipan tersebut adalah ayat al-Quran dan al-Hadis yang jumlahnya sangat banyak. Di antaranya firman Allah SWT:
قُلۡ هَلۡ يَسۡتَوِي ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ ٩
Katakanlah, “Apakah sama orang-orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang-orang yang tidak mengetahui (tidak berilmu)?’ Sebenarnya hanya orang yang berakal sihat yang dapat menerima pelajaran.” (TMQ az-Zumar [39]: 9).
Terkait ayat di atas, Ibnu Allan al-Makki mengatakan, “Maksudnya, tidak sama kedua golongan tersebut. Pertanyaan ini disebut pertanyaan pengingkaran. Ertinya adalah mengingkari.”[3]
Ayat di atas berbentuk pertanyaan, tetapi maksudnya adalah pernyataan, yakni bahawa kedua golongan tersebut tidak sama. Ini sama dengan mengingkari kesamaan. Ayat ini menunjukkan keutamaan ahli ilmu dan mempelajari ilmu.
Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman:
يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَٰتٖۚ ١١
“Allah akan mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu di antara kalian beberapa darjat.” (TMQ al-Mujadilah [58]: 11).
Ibnu Allan menjelaskan ayat di atas, “Yarfa’ilLâh alladzîna âmanû minkum, yakni dengan ketaatan mereka kepada Rasulullah saw.; walladzîna ûtû al-‘ilma darjât, yakni Allah meninggikan darjat para ulama secara khusus kerana mereka menggabungkan ilmu dan amal.”[4]
Adapun dalil as-Sunnah di antaranya sabda Rasulullah saw.:
وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقاً يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْماً،سَهَّلَ الله لَهُ طَرِيقاً إِلَى الجَنَّةِ
“Siapa sahaja yang meniti suatu jalan untuk mencari ilmu, Allah pasti memudahkan bagi dia jalan ke syurga.” (HR Muslim)
Maksud ilmu dalam hadis di atas adalah ilmu yang dapat mendekatkan seseorang kepada Allah SWT. Ibnu Allan berkata, “Maksudnya, ilmu yang mendekatkan kepada Allah.”[5]
Oleh kerana itu, ilmu yang bermanfaat dan dapat mengantarkan ke syurga adalah ilmu yang membuat pemiliknya semakin dekat dan takut kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman:
إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَٰٓؤُاْۗ ٢٨
“Sungguh yang takut kepada Allah di antara para hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu (ulama).” (TMQ Fathir [35]: 28).
Dalam konteks inilah Imam al-Ghazali mengatakan, “Ketahuilah bahawa ilmu yang tidak menjauhkan kamu dari maksiat dan tidak mendorong kamu untuk beribadah pada hari ini tidak akan dapat menjauhkan kamu dari api neraka esok hari.”[6]
Banyak riwayat yang menunjukkan bahawa kebaikan ada pada ilmu. Orang yang mendapat ilmu bererti mendapat kebaikan. Sebaliknya, orang yang terhalang dari ilmu bererti terhalang dari kebaikan. Misalnya sabda Rasulullah saw.:
مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْراً يُفَقِّهْهُ في الدِّينِ
“Orang yang akan dikehendaki kebaikan oleh Allah akan diberikan pemahaman agama.” (HR Muttafaq ‘alaih)
Dari hadis di atas dapat difahami bahawa orang yang tidak belajar memahami kaedah-kaedah ilmu agama Islam dan cabang-cabang yang berkaitan dengannya bererti dia telah terhalang dari kebaikan.
Orang yang tidak tahu ilmu agama tidak akan disebut berilmu atau pencari ilmu. Dia layak disebut sebagai orang yang tidak mendapat kebaikan. Dari situ terdapat keterangan yang jelas tentang keutamaan ulama berbanding orang biasa, juga keutamaan belajar ilmu agama berbanding ilmu-ilmu lain.[7]
Belajar Sebelum Memimpin
Islam mendorong umatnya agar mempelajari ilmu Islam sejak kecil. Ada sebuah pesanan indah yang disampaikan oleh Saidina Umar bin al-Khattab ra. Beliau pernah berpesan:
تَفَقَّهُوا قَبْلَ أَنْ تُسَوَّدُوا
“Belajarlah kalian sebelum kalian diangkat menjadi pemimpin.”[8]
Pesanan ini diabadikan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Shahîh-nya. Lalu beliau menambahkan:
وَبَعْدَ أَنْ تُسَوَّدُوا وَقَدْ تَعَلَّمَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي كِبَرِ سِنِّهِمْ
“Juga setelah diangkat menjadi pemimpin. Dahulu, para Sahabat Nabi saw. pun belajar di usia tua.”[9]
Maksudnya, belajarlah ilmu-ilmu Islam, baik sebelum mahupun setelah menjadi pemimpin. Maksud dari pesanan Saidina Umar adalah belajarlah sebelum disibukkan dengan urusan kepemimpinan. Sebab, orang yang disibukkan dengan urusan kepemimpinan akan semakin sukar untuk meluangkan waktu untuk belajar ilmu agama. Adapun maksud Imam al-Bukhari adalah belajarlah meskipun sudah menjadi pemimpin. Jangan segan untuk datang ke majlis ilmu meskipun sudah menjadi pemimpin. Demikian juga jika sudah tidak lagi menjadi pemimpin, janganlah merasa malu untuk kembali ke majlis ilmu.
Al-Hafizh Ibnu Hajar al-Asqalani berkata, “Maksud al-Bukhari menambahkan pesan ‘dan setelah menjadi pemimpin’ adalah untuk menjelaskan bahawa ucapan Umar tidak boleh difahami sebaliknya. Dia khuatir jika ada orang yang memahami bahawa menjadi pemimpin bererti berhenti dari belajar ilmu agama. Jadi yang dimaksud Umar hanyalah kepemimpinan berpeluang besar menjadi sebab penghalang dari belajar ilmu agama. Sebab, seorang pemimpin boleh jadi merasa malu (disebabkan kedudukannya) untuk duduk di majlis ilmu.”[10]
Abu Ubaid dalam kitabnya, Gharîb al-Hadîts, mentafsirkan ucapan Umar ra. dengan menyatakan, “Maknanya adalah belajarlah ilmu agama ketika kamu masih kecil (muda) sebelum kamu menjadi pemimpin, kemudian kamu merasa wibawa (disebabkan kedudukanmu itu) menghalangimu belajar dari orang yang berada di bawahmu sehingga kamu pun terus menjadi orang bodoh selamanya.”[11]
Mesti Mendalam
Tsaqâfah Islam mesti dipelajari secara mandalam supaya kita dapat memahami hakikatnya dengan pemahaman yang benar. Sebabnya, tsaqâfah Islam bersifat fikriyyah (pemikiran), mendalam, mengakar serta memerlukan kesabaran dan keteguhan dalam mempelajarinya.[12]
Mengkaji tsaqâfah Islam merupakan aktiviti berfikir yang memerlukan pengerahan seluruh usaha (pemikiran). Hal itu memerlukan pemahaman yang menyeluruh, juga memerlukan pemahaman tentang faktanya serta kaitannya dengan berbagai informasi yang dapat memberikan pemahaman terhadap fakta tersebut. Oleh sebab itu, prosesnya mesti dengan cara talaqqiy[an] fikriy[an] (pemikiran yang disampaikan melalui perjumpaan).
Seseorang yang mempelajari tsaqâfah Islam hendaklah meyakini apa yang sedang dia pelajari agar dia dapat mengamalkannya. Dia juga hendaklah bersifat praktikal dalam rangka memecahkan permasalahan kehidupan.
Inilah metode Islam dalam mempelajari tsaqâfah Islam, iaitu belajar dengan mendalam dalam pembahasan, meyakini apa yang dipelajari, serta mengambilnya secara praktikal untuk diterapkan dalam kancah kehidupan.
Ketika metode ini dijalankan dalam proses pembelajaran, maka seorang Muslim yang memiliki tsaqâfah Islam berdasarkan metode tersebut akan mendalam pemikirannya, peka perasaannya dan mampu memecahkan segala permasalahan kehidupan. Metode ini mampu menjadikan seorang Muslim berjalan menuju kesempurnaan dengan penuh ketaatan dan kepasrahan.
Kerana itu saat dia terjun ke dalam pertualangan kehidupan dalam keadaan (mempunyai) bekal dengan sebaik-baiknya perbekalan, iaitu pemikiran yang cemerlang, takwa dan pengetahuan yang dapat menuntaskan segala permasalahan kehidupan.[13]
Tidak Boleh Lalai
Al-Hafizh al-Mundziri dalam At-Targhîb wa at-Tarhîb dalam Kitâb al-‘Ilm Bâb at-Tarhîb min Katm al-‘Ilm, juga Al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawâ’id Kitâb al-‘Ilm Bâb Ta’lîm Man Lâ Ya’lam,[14] menyebutkan hadis riwayat Imam ath-Thabarani dari Alqamah bin Saad bin Abdurrahman bin Abza, dari ayahnya, dari datuknya, tentang celaan bagi kaum yang meninggalkan aktiviti mengajarkan ilmu. Hadis yang sangat panjang tersebut menceritakan celaan Rasulullah saw. kepada kaum Asy’ariyyun yang tidak memahamkan (mengajarkan) orang di sekitarnya, tidak mengingatkan mereka, tidak menyuruh kepada yang makruf, dan tidak mencegah kemungkaran.
Al-‘Allamah Musthafa az-Zarqa dalam kitabnya Al-Madkhal al-Fiqh al-‘Aam, ketika mengomentari hadis tersebut, mengatakan bahawa sikap yang tegas atas kelalaian dari aktiviti mengajar dan mempelajari ilmu merupakan kejahatan sosial (jaraimah ijtima’iyyah). Pelakunya layak mendapatkan hukuman di dunia. Ini merupakan sikap yang belum pernah ada jika dibandingkan dalam Sejarah, baik di zaman sebelum Nabi saw. mahupun setelahnya.
Termasuk dalam perbuatan kemungkaran dan berhak mendapatkan hukuman ta’zîr atasnya adalah sikap mengabaikan kewajipan-kewajipan agama. Di antaranya adalah mengajarkan dan mempelajari ilmu. Jika orang berilmu sudah melalaikan kewajipan mengajarkan ilmu dan orang bodoh sudah lalai dari mempelajari ilmu syarie yang wajib dipelajari, maka keduanya berhak mendapatkan hukuman ta’zîr kerana kelalaian tersebut.[15]
Bahkan Imam an-Nawawi dalam kitabnya Riyazdh ash-Shâlihîn membuat sebuah bab “Keutamaân Ilmu: Belajar dan Mengajarkan-nya”. Ibnu Allan menjelaskan dalam kitabnya, Dalîl al-Fâlihîn, bahawa yang dimaksud ilmu di sini adalah ilmu agama (al-ilm al-syar’i), iaitu hadis, tafsir, fiqh dan alat-alatnya. Allah SWT berfirman:
وَقُل رَّبِّ زِدۡنِي عِلۡمٗا ١١٤
Katakanlah (wahai Muhammad), “Tuhanku, tambahkanlah ilmu kepadaku.” (TMQ Thaha [20]: 114).
Ayat ini termasuk dalil terbesar yang menunjukkan keutamaan ilmu, belajar dan mengajarkannya. Sebab, Rasulullah saw. tidak pernah diperintahkan meminta tambahan kepada Tuhannya kecuali tambahan ilmu.
Abu Hurairah berkata: Rasulullah saw. selalu berdoa:
اللَّهُمَّ انْفَعْ نِي بِمَا عَلَّمْتَ ني وَعَلِّمْنِي مَا يَنْفَعُ نِي وَزِدْنِي عِلْمًا
“Ya Allah, jadikanlah ilmu yang Engkau ajarkan kepadaku bermanfaat bagiku. Ajarkanlah kepadaku ilmu yang bermanfaat bagiku. Tambahkanlah kepadaku ilmu.” (HR Ibnu Majah)
Alhasil, jika ada pernyataan “mempelajari agama itu tidak perlu mendalam”, maka dapat dipastikan itu adalah pernyataan bodoh dan membodohi serta kebodohan yang abadi. Pernyataan tersebut hendaklah tertolak dengan sendirinya.
WalLâhu a’lam bi ash-shawwaab.
Catatan kaki:
[1] Lihat Taqiyyuddin al-Nabhani, al-Syakhshiyyah al-Islamiyyah, juz I, hlm. 265.
[2] Lihat Taqiyyuddin al-Nabhani, hlm. 265.
[3] Lihat Muhammad bin Allan al-Shidiqi al-Makki, Dalil al-Falihin li Thuruq Riyadh al-Shalihin, juz 4, hlm. 130.
[4] Lihat Muhammad bin Allan, juz 4, hlm. 130.
[5] Lihat Muhammad bin Allan, juz 4, hlm. 160.
[6] Lihat Abu Hamid al-Ghazali, Ayyuha al-Walad, hlm. 40.
[7] Lihat Ibnu Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, juz 2, hlm. 150.
[8] Lihat Ibnu Hajar al-Asqalani, juz 2, hlm. 151.
[9] Lihat Ibnu Hajar al-Asqalani, juz 2, hlm. 151.
[10] Lihat Ibnu Hajar al-Asqalani, juz 2, hlm. 151.
[11] Lihat Ibnu Hajar al-Asqalani, juz 2, hlm. 151.
[12] Lihat Taqiyyuddin al-Nabhani, hlm. 266
[13] Lihat Taqiyyuddin al-Nabhani, hlm. 269.
[14] Lihat al-Mundziri, al-Targhib wa al-Tarhib, juz 1, hlm. 86; al-Haitsami, Majma’ al-Zawa’id, juz 1, hlm. 64. al-Suyuthi menyebutkannya dalam al-Durr al-Mantsur fi Tafsir al-Qur’an bi al-Ma’tsur, juz 2, hlm. 301.
[15] Lihat Musthafa al-Zarqa, al-Madkhal al-Fiqh al-‘Amm, juz 2, hlm. 641.