[Hadits Shiyam] Keterikatan pada Hukum-Hukum Syarak, Merealisasikan Autoriti Hukum Syarak dan Menentukan Standard Perbuatan dalam Kehidupan (Bahagian 1/3)
Tidak diragukan lagi bahawa keterikatan pada hukum-hukum syarak akan mampu mewujudkan autoriti hukum syarak dan mampu menentukan standard perbuatan dalam kehidupan. Terwujudnya autoriti hukum syarak akan menjamin kestabilan masyarakat, serta menjamin ketenteraman hidup, hak-hak, dan kepentingan manusia (anggota masyarakat).
Negara-negara maju penganut fahaman materialisme, seperti Eropah dan Amerika, senantiasa berjuang demi tegaknya autoriti perundangan (legal authority) dan menjadikannya sebagai tujuan paling tinggi. Untuk merealisasikan hal tersebut, mereka memberikan pengorbanan yang paling maksima.
Autoriti perundangan mampu menjadikan seseorang tidak akan melanggar undang-undang dari segi material perundangan itu sendiri. Sebabnya, individu tersebut akan tunduk terhadap undang-undang dan tingkah lakunya disandarkan sesuai dengan undang-undang. Interaksi antara individu juga menjadi begitu mudah yang diraih dengan sedikit jerih payah dan pengorbanan.
Autoriti perundangan akan menjadikan negara sebagai “penjaga” kepentingan rakyat, bukan sebagai pemerintah autoritarian ke atas mereka. Sebabnya, autoriti perundangan bukan di tangan pemerintah, melainkan hanya di tangan undang-undang. Bukan undang-undang pemerintah yang mengatur rakyat, melainkan sumber undang-undang. Bahkan, kekuasaan pemerintah itu sendiri tunduk di bawah autoriti undang-undang.
Inilah yang terjadi di Barat. Di dalam diri mereka hanya ada kekuatan moral yang mereka akui kehormatannya. Dengan demikian, mereka bangga dan hormat terhadap autoriti perundangan tersebut.
Adapun autoriti hukum syarak bagi kaum muslim telah memiliki kekuatan moral, bahkan lebih dari itu telah melampaui kekuatan tersebut. Mereka telah memiliki kekuatan ruh (yang dibangun dengan adanya kesedaran terhadap hubungan manusia dengan Allah). Itulah hukum syarak sebagai hukum Allah yang disampaikan melalui wahyu.
Lebih daripada perasaan mulia mereka lantaran memiliki Islam serta rasa kebanggaan mereka atas dunia dengan memeluk Islam, kaum muslim memiliki rasa takut terhadap azab jahannam kalau menyimpang daripada Islam. Oleh sebab itu, mereka senantiasa berharap mendapatkan syurga dan kenikmatannya. Ini dilakukan dengan cara mengikuti dan terikat dengan ajaran Islam. Bahkan di antara mereka berharap lebih dari sekadar itu, iaitu memperoleh redha Allah Taala.
Oleh kerana itu, autoriti hukum syarak akan menjadikan seorang muslim terikat dengan undang-undang dengan dorongan akidahnya. Dia akan mengambil sikap sebagai pengawal keterikatan terhadap hukum tersebut dengan dorongan akidahnya.
Seorang muslim akan mendisiplinkan perbuatannya dengan keterikatan tersebut dan menjadikan dirinya sebagai pengawas bagi orang lain agar meletakkan standard tingkah laku mereka sesuai dengan undang-undang tersebut.
Firman Allah SWT, “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar.” (TMQ Ali Imran: 110).
Maknanya, dia menjadi pengawal keterikatan kepada hukum syarak. Begitu pula, autoriti hukum syarak tidak akan menjadikan interaksi antara individu sedemikian mudah. Tambahan pula ia boleh dijamin dengan mudah bahawa tidak akan ada percanggahan dalam beragam interaksi di antara manusia. Selanjutnya dengan mudah dapat dijamin tidak akan jatuh dalam percanggahan selagi autoriti hukum syarak masih terpatri pada diri (individu-individu) tersebut.
Di samping semua itu, kekuasaan pemerintah sebagai penjaga urusannya, bukan sebagai kekuatan diktator yang mencengkam mereka. Ini kerana sandaran utama bagi manusia bukanlah pemerintah, melainkan semata-mata hukum syarak. Hukum syaraklah yang menjadi sandaran rakyat sekaligus pemerintah. Sementara itu, pemerintah hanyalah sebagai pemelihara yang mengurusi urusan-urusan rakyatnya dengan hukum syarak. Oleh kerana itulah, syarak menyebutnya dengan ra’iyan (pemelihara), “Al imamu ra’in (Imam adalah pemelihara/pemimpin).”
Al-Quran sebenarnya telah mengukuhkan autoriti hukum syarak dengan menolak keimanan orang-orang yang tidak mengambil hukum syarak. Mereka tidak menjadikan autoriti hukum syarak sebagai kekuatan yang berlaku dalam interaksi di antara individu.
Firman Allah SWT, “Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan. Kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (TMQ An Nisa’: 65).
Bahkan itu pun belum cukup. Di samping menghukumi dengan syarak, juga disyaratkan tidak ada sedikit pun rasa berat dalam dirinya serta secara mutlak menerimanya.
Ini adalah gambaran yang paling jelas untuk mendorong terealisasinya autoriti hukum syarak. Di samping itu, Al-Quran memerintahkan agar autoriti hukum syarak diterapkan dalam berbagai interaksi antara pemerintah dengan rakyatnya.
Firman Allah SWT, “Hai orang-orang yang beriman taatilah Allah, taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (TMQ An Nisa’: 59).
Apabila rakyat dan pemerintah bersengketa dalam persoalan tertentu, maka Al-Quran memerintahkan agar mereka mengembalikannya kepada hukum syarak dan itu menjadi tanda keimanan.
Allah menyatakan, “Farudduhu ilallah war Rasuli (Maka kembalikanlah persoalan itu kepada Allah dan Rasul).” Kemudian dilanjutkan dengan pernyataan-Nya, “Dzalika khairu wa ahsanu ta’wila (Yang demikian itu lebih utama dan lebih baik akibatnya).” Ini membuktikan adanya penekanan (stressing) serta keperluan untuk mengembalikan persoalan tersebut kepada hukum syarak.
Ini merupakan dorongan yang amat jelas demi terealisasinya autoriti hukum syarak. Dengan ini semua, akan tampak betapa pentingnya merealisasikan autoriti hukum syarak dalam pandangan Islam.
Adapun penetapan standard aktiviti (miqyasul amal) dalam kehidupan seseorang ditentukan oleh gambaran hidupnya. Dengan gambaran hidup yang dilukiskan, manusia akan melaksanakan suatu perbuatan sesuai gambarannya. Ini kerana gambaran inilah yang akan menetapkan pandangan hidupnya. Dengan demikian, dia akan memandang kehidupan dengan satu pandangan yang khas sesuai dengan gambarannya tentang kehidupan.
Dalam pandangan seorang muslim, kehidupan bukanlah manfaat. Kalau dia memandangnya sebagai manfaat, konsekuensinya dia akan mengehadkan pandangan hidupnya dengan manfaat. Tentu juga bukan kemaslahatan. Kalau dia memandangnya sebagai kemaslahatan, dia akan mengehadkan pandangan hidupnya dengan kemaslahatan tersebut. Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah sarana untuk ke akhirat. Manusia hanya akan mengharungi kehidupan dunia untuk beribadah kepada Allah Taala.
Allah SWT berfirman, “Mereka bergembira dengan kehidupan di dunia ini dan tidaklah kehidupan dunia ini (dibanding dengan) kehidupan akhirat, melainkan hanyalah kesenangan (yang sedikit).” (TMQ Ar-Ra’d: 26).
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia, kecuali untuk beribadah kepada-Ku.” (TMQ Adz-Dzariyat: 56).
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi.”(TMQ Al-Baqarah: 77).
“Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) akhirat hanyalah sedikit.” (TMQ At-Taubah: 38).
Oleh kerana itu, gambaran kehidupan dunia ini adalah perhiasan (kenikmatan). Jika diukur dengan kehidupan akhirat, kenikmatan dunia hanyalah kecil. Dunia bukanlah tujuan. Kemanfaatan serta kemaslahatan juga bukan tujuan kehidupan, melainkan hanya perkara yang mesti ada dalam kehidupan. Tujuan seorang muslim semata-mata hanya akhirat. Kehidupan dunia hanyalah jalan menuju akhirat.
Allah SWT berfirman, “Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah senda gurau dan permainan. Sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya seandainya mereka mengetahui.” (TMQ Al-‘Ankabut: 64).
Maksudnya, akhirat adalah kehidupan yang hakiki. Dari sini, maka perkara-perkara duniawi tidaklah tepat menjadi standard perbuatan serta pandangan hidup. Sesungguhnya, standard perbuatan hanyalah halal dan haram. Jika halal, kita akan melakukannya. Sebaliknya jika haram, kita akan meninggalkannya.
Firman Allah SWT, “Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada Hari Kemudian dan mereka tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya.” (TMQ At Taubah: 29).
Mengharamkan sesuatu yang dihalalkan Allah dan Rasul-Nya bertentangan dengan keimanan. Perbuatan tersebut dikategorikan sebagai tindakan jenayah sehingga pelakunya pun layak diperangi. Ini membuktikan betapa pentingnya masalah halal dan haram tersebut.
Halal adalah apa yang dihalalkan Allah. Sedangkan haram adalah apa yang diharamkan oleh Allah.
Rasulullah SAW bersabda, “Apa saja yang dihalalkan Allah dalam Kitab-Nya adalah halal. Dan apa yang diharamkan-Nya adalah haram.”
Diriwayatkan dari Salman al Farisi, dia berkata, “Rasulullah ditanya tentang mentega, keju, dan fira‘ (kulit binatang yang berbulu). Beliau menjawab, ‘Yang halal adalah apa yang dihalalkan Allah dalam kitab-Nya dan yang haram adalah apa yang diharamkan Allah dalam kitab-Nya.’”
Demikian pula yang halal adalah apa saja yang dihalalkan Rasulullah SAW dalam Sunnahnya. Sedangkan yang haram adalah apa yang diharamkan Rasulullah SAW dalam Sunnahnya.
Sumber: Hadits Shiyam