[Hadits Shiyam] Rezeki Berada di Tangan Allah (Bahagian 2/2)
Kepemilikan adalah penguasaan atas sesuatu dengan berbagai cara yang dibolehkan syarak untuk menguasai harta tersebut. Jika hal tersebut dilakukan, harta itu akan menjadi miliknya. Namun, jika hal tersebut tidak dilakukan, harta itu tidak akan menjadi miliknya.
Adapun rezeki adalah segala sesuatu yang sampai kepada manusia, sama ada ia sampai kepada mereka melalui kaedah yang dibenarkan syarak ataupun tidak, ia tetap rezeki.
Ini kerana rezeki boleh jadi halal, boleh jadi juga haram. Semuanya tetap bernama rezeki. Harta yang diperolehi daripada berjudi, mencuri, merompak dan lain-lain, juga disebut sebagai rezeki. Dari sini jelaslah bahawa rezeki adalah apa yang dikuasai oleh manusia, sama ada dengan hasil usahanya ataupun tidak, sama ada miliknya atau bukan.
Sementara itu terdapat perbezaan antara keadaan yang mampu mendatangkan rezeki dengan penyebab yang pasti mendatangkan rezeki. Keadaan yang mampu mendatangkan rezeki adalah keadaan yang dapat mendatangkan rezeki, tetapi datangnya rezeki tidak dapat dipastikan. Kadang-kadang keadaan tersebut sudah dilakukan, tetapi rezeki tidak datang. Mungkin juga rezeki datang tanpa melalui keadaan yang biasanya mampu mendatangkan rezeki.
Sebagai contoh, seorang pekerja telah bekerja keras selama sebulan penuh. Bagaimanapun, sejam selepas menerima gaji, ternyata gajinya dicuri, hilang, atau disekat sebelum menerima gaji kerana dikenakan denda atau banyak berhutang. Contoh tersebut menunjukkan bahawa keadaan yang biasanya mampu mendatangkan rezeki, tetapi akhirnya rezeki itu tidak diperolehinya.
Contoh lainnya adalah orang yang menerima harta warisan yang sangat banyak, sedangkan dia tidak pernah berusaha, tidak pernah pula memikirkannya. Bahkan dia tidak pernah membayangkannya sedikit pun. Dia tidak pernah melalui keadaan yang biasanya mampu mendatangkan rezeki.
Semua ini menunjukkan bahawa keadaan-keadaan yang dianggap mampu menjadi penyebab datangnya rezeki (secara pasti), ternyata hanyalah keadaan, bukan penyebab. Alasannya adalah, banyak fenomena yang menunjukkan keadaan tersebut sudah dilakukan, tetapi tetap saja rezekinya tidak dapat diraih. Kadang-kala, rezeki datang secara tiba-tiba tanpa melalui keadaan yang biasanya mampu mendatangkan rezeki.
Seandainya keadaan itu menjadi penyebab, maka rezekinya pasti dapat diraih. Ini kerana sudah menjadi sesuatu yang pasti jika penyebab itu tidak muncul, rezeki juga tidak akan datang. Ini kerana, sebab selalu terkait secara pasti dengan musabab. Musabab tidak akan dihasilkan tanpa didahului oleh sebab. Dengan demikian, jelaslah bahawa keadaan-keadaan yang dianggap mampu menjadi penyebab datangnya rezeki, kemudian dia berusaha untuk melakukannya agar rezeki dapat diraih dan pada saat yang sama dia meyakini bahawa usahanya itu pasti mendatangkan rezeki, ternyata perkara itu adalah keadaan (al-hal) saja, yang mungkin dapat mendatangkan rezeki, tetapi bukanlah penyebab pasti yang mendatangkan rezeki.
Islam datang dengan mendorong manusia secara langsung untuk berusaha meraih rezeki dengan menjalani keadaan (al-hal) tadi. Namun, disertai dengan keyakinan bahawa keadaan tersebut bukanlah penyebab datangnya rezeki. Sebabnya, rezeki ada di tangan Allah SWT saja, bukan kerana dia melalui keadaan tersebut.
Allah SWT berfirman, “Dialah Yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya.” [TMQ Al-Mulk (67): 15]
Sabda Rasulullah SAW, “Tidak akan memberatkan bagi siapa saja yang bekerja keras.”
“Sesungguhnya (harta) orang-orang kaya yang warisannya dibahagi-bahagikan kepadamu itu lebih baik daripada (hartamu) yang digunakan untuk mencukupi manusia sekadarnya saja.”
“Sebaik-baik pemberian adalah (harta) yang benar-benar (berasal) dari orang kaya.”
“Benar, harta yang baik/layak diperuntukkan bagi orang-orang yang baik/layak (pula).”
Ditegaskan pula bahawa Rasulullah SAW pernah memberi makan keluarganya dengan cara meminjam wang dari orang Yahudi, baginda juga menggadaikan baju besinya. Semuanya menunjukkan wajibnya berusaha untuk memperoleh rezeki.
Allah SWT mewajibkan para lelaki untuk bekerja dan diharamkan untuk berdiam diri (menganggur) dan tidak bekerja dalam rangka untuk meraih rezeki. Walaupun demikian, perlu diingat bahawa tatkala seseorang bekerja, dia perlu menganggapnya sebagai keadaan saja dari berbagai keadaan yang biasanya mampu mendatangkan rezeki. Jadi bukan sebagai sebab (yang pasti) menghasilkan rezeki.
Bekerja itu adalah jawapan kita terhadap perintah Allah SWT, disertai keyakinan bahawa rezeki itu ada di tangan Allah SWT sahaja. Allah Yang Maha Memberi Rezeki. Hal ini telah dijelaskan dalam berbagai nas yang menisbahkan dan menyandarkan rezeki hanya kepada Allah Taala. Tidak ada nas yang menyandarkan dan menisbahkan rezeki selain kepada Allah Taala.
Dengan demikian, kaum muslim wajib berusaha untuk meraih rezeki dengan bersungguh-sungguh. Juga memberi perhatian terhadap setiap keadaan yang memungkinkannya mampu untuk mendatangkan rezeki, walaupun tetap perlu disertai dengan keyakinan bahawa rezeki itu ada di tangan Allah sahaja, kerana Dialah Yang Maha Memberi Rezeki.
Firman Allah SWT, “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah, Dialah Maha Pemberi Rezeki, Yang Mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh.” [TMQ Adz-Dzariyat (51): 56–58]
Sumber: Hadits Shiyam