[Hadits Shiyam] Berpolitik sebagai Kewajipan bagi Umat Islam
Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa pada pagi hari dan perhatiannya kepada selain Allah, maka Allah akan berlepas diri daripada orang itu. Dan barang siapa pada pagi hari tidak memperhatikan kepentingan umat Islam, maka tidak termasuk golongan mereka (umat Islam).”
“Bani Israel dahulu dipimpin oleh para nabi.Tatkala seorang nabi wafat, maka diganti dengan nabi baru. Sesungguhnya tidak ada nabi setelahku, tetapi akan ada para khalifah yang jumlahnya banyak (ertinya, para khalifah akan memimpin kalian–penj.).”
“Nanti akan muncul di antara kalian berbagai tingkah laku pemimpin (tindakan mereka) ada yang kalian anggap baik dan ada yang kalian pandang salah. Siapa saja yang menolak tindakan salah mereka (minima dalam hati), maka dia bebas (daripada dosa). Siapa saja yang ingkar, dia juga selamat (daripada dosa). Namun, siapa saja di antara kalian yang merasa rela, bahkan mengikuti (perbuatan-perbuatan yang salah itu), maka dia telah berdosa.” Para sahabat bertanya, “Apakah tidak lebih baik mereka itu diperangi saja, ya Rasulullah?” Nabi menjawab, “Tidak, selama mereka menegakkan solat (hukum-hukum Islam).”
“Penghulu syuhada adalah Hamzah dan seseorang yang berdiri di hadapan pemimpin yang zalim lalu menasihatinya, kemudian dia dibunuhnya.”
Daripada Ubadah bin Shamit, “Rasulullah mengajak kami (untuk membaiatnya), lalu kami berbaiat kepada beliau (lalu beliau mengajarkan kepada kami bagaimana kami perlu berbaiat). Kemudian, kami berbaiat kepadanya untuk setia mendengarkan dan mentaati perintahnya, baik dalam keadaan yang kami senangi atau tidak kami sukai, pada saat sulit mahupun lapang. Juga agar kami tidak merebut kekuasaan daripada seorang pemimpin, kecuali kalau melihat kekufuran secara terang-terangan yang dapat dibuktikan berdasarkan keterangan daripada Allah.”
Hadis-hadis ini menjelaskan bahawa berpolitik adalah fardhu. Politik menurut bahasa adalah pemeliharaan (pengurusan) kepentingan. Dalam kamus dikatakan, “Sustu ar ra’iyata siyasatan, ai amartuha wa nahaituha, ai ra’itu syu’unaha bil awamir wan nawahi.” (Aku memimpin rakyat dengan sungguh-sungguh, iaitu aku memerintah dan melarangnya, atau aku mengurusi urusan-urusan mereka dengan perintah dan larangan-larangan tertentu).
Memperhatikan (mempedulikan) umat Islam adalah kepedulian terhadap kepentingan-kepentingan mereka. Kepedulian terhadap kepentingan mereka ertinya mengurusi kepentingan mereka, serta mengetahui apa yang dilakukan pemimpin terhadap rakyatnya. Mengingkari (kejahatan) pemimpin termasuk berpolitik dan peduli terhadap kepentingan umat Islam, menasihati pemimpin yang zalim adalah juga bentuk kepedulian terhadap kepentingan umat Islam, memperbaiki autoriti pemerintah (yang tidak islami), iaitu memeranginya merupakan kepedulian terhadap kepentingan umat Islam dan mengurusi persoalan-persoalan mereka.
Hadis-hadis di atas menunjukkan adanya tuntutan yang tegas, yakni Allah SWT telah menuntut umat Islam dengan tuntutan yang tegas agar peduli terhadap kepentingan umat Islam, iaitu agar mereka berpolitik. Ini bermakna bahawa berpolitik itu hukumnya fardhu bagi umat Islam.
Menyibukkan diri dalam politik, yakni memperhatikan kepentingan umat Islam adalah dengan cara menolak tindakan penganiayaan pemimpin serta penindasan musuh terhadap mereka. Oleh kerana itu, hadis ini tidak hanya berisi penolakan terhadap penganiayaan yang dilakukan oleh pemimpin saja, melainkan juga mencakupi kedua-duanya. Hadis, “Barang siapa yang tidak memperhatikan umat Islam.” berbentuk umum.
Kata Yahtamma (memperhatikan) bermakna memimpin umat Islam. Adapun kata “al muslimin” itu sendiri adalah umum kerana ia berbentuk jamak (banyak) yang disertai dengan alif dan lam. Itu bermakna perhatian tersebut tertuju kepada umat Islam secara umum, serta kepada apa saja yang terkait dengan umat Islam.
Ada hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah, dia berkata, “Aku mendatangi Nabi SAW, lalu aku berkata, ‘Aku membaiatmu berdasarkan Islam.’ Maka beliau mensyaratkan agar aku memberi nasihat kepada semua muslim.”
Lafaz An Nushhu (nasihat) dalam hadis itu berbentuk umum. Termasuk di dalamnya adalah menolak tindakan zalim pemimpin dan kezaliman musuh (Islam) terhadap umat Islam. Hal itu bermakna menyibukkan diri berpolitik dalam negeri untuk mengetahui kebijakan atau dasar yang dilaksanakan oleh pemimpin terhadap rakyatnya dalam rangka memperbaiki tindakan-tindakan mereka.
Di samping itu, ia juga bermakna menyibukkan diri dalam berpolitik luar negeri untuk mengetahui strategi-strategi makar (tipu daya) negara-negara kafir terhadap umat Islam. Ini dilakukan dalam rangka mendedahkannya kepada mereka, serta berusaha mewaspadainya dan menolak ancamannya.
Berdasarkan hal tersebut, hal yang fardhu tidak hanya menyibukkan diri dalam berpolitik dalam negeri saja, melainkan juga berkait dengan berpolitik luar negeri. Sebabnya, yang wajib itu adalah menyibukkan diri dalam berpolitik secara mutlak, baik berupa politik dalam negeri mahupun luar negeri. Oleh kerana aktiviti-aktiviti pemimpin bersama-sama dengan negara-negara lain adalah sebahagian daripada politik luar negeri, maka salah satu aktiviti berpolitik luar negeri itu adalah membetulkan atau memuhasabah aktiviti pemimpin yang dilakukan bersama dengan negara-negara lain.
Kaedah syarak menyatakan, “Ma la yatimmu al wajibu illa bihi fahuwa wajibun. Apa-apa yang menyebabkan tidak sempurnanya suatu kewajipan, kecuali dengannya, maka ia menjadi wajib.”
Kaedah syarak ini menjelaskan bahawa menelaah secara mendalam aktiviti-aktiviti negara, serta pemeliharaan kepentingan umat yang dilakukan oleh negara dalam hal pemerintahan dan hubungan luar negeri hukumnya wajib. Sebabnya, tidak mungkin dapat berusaha menyibukkan diri berpolitik dalam negeri, yakni memperbaiki tindakan-tindakan pemimpin, melainkan dengan mengetahui tindakan-tindakan yang mereka lakukan.
Apabila tidak mengetahui kepentingan atau intipati tindakan-tindakan pemimpin ini, nescaya tidak mungkin dapat memperbaiki atau memuhasabah tindakan-tindakan mereka, yakni tidak mungkin mampu menyibukkan diri berpolitik dalam negeri. Oleh kerana itu, menelaah secara mendalam aktiviti-aktiviti negara adalah wajib, sama persis seperti wajibnya berpolitik itu sendiri. Ini kerana tidak mungkin aktiviti menyibukkan diri dalam berpolitik tersebut sempurna, baik berhubungan dengan politik dalam dan luar negeri, kecuali setelah adanya telaah mendalam ini.
Sebagai contoh, ketika negara membuka hospital di sebuah bandar besar dan hanya menyediakan seorang doktor, lalu mengumumkan pembukaan hospital tersebut. Ini tidak cukup hanya mengetahui bahawa pemimpin itu telah membuka hospital, melainkan juga hendaklah difahami apakah dia membuka hospital itu untuk provokasi atau dia memang benar-benar membuka untuk merawati para pesakit yang memerlukan.
Contoh lain, negara mengadakan perjanjian perdagangan atau kesepakatan dengan negara lain. Kemudian, negara tersebut mengumumkan bahawa telah melakukan perjanjian perdagangan untuk memperuntukkan komoditi perdagangan atau untuk menjamin keperluan-keperluan, ataupun perjanjian budaya untuk meningkatkan kualiti pendidikan. Dengan demikian, naskah perjanjiannya hendaklah difahami sehingga diketahui seperti apakah perjanjian-perjanjian tersebut bagi kepentingan umat Islam atau sebaliknya merugikan kepentingan mereka.
Juga tidak cukup hanya mengetahui secara umum saja tanpa mengetahui apa yang sepatutnya diketahui, seperti apakah menguntungkan umat Islam atau sebaliknya merugikan kepentingan mereka? Apakah sesuai dengan hukum-hukum syarak atau bertentangan dengan hukum-hukum tersebut?
Oleh kerana itu, yang dimaksud mengetahui tindakan-tindakan yang dilakukan oleh pemimpin adalah bukan mengetahuinya secara umum atau secara global. Melainkan wajib mengetahui secara terperinci segala sesuatu yang diperlukan untuk memahami duduk sesuatu perkara dan aktiviti yang dilakukannya sehingga memungkinkan untuk menghukuminya (benar dan salahnya).
Mengikuti perkembangan dunia secara terus-menerus dengan penuh kesedaran terhadap keadaannya, dengan memahami masalah-masalahnya, mengetahui motivasi-motivasi negara dan bangsa di dunia, mengikuti tingkah laku politik yang berlangsung di dunia, mengamati strategi politik berupa teknik operasi serta bentuk-bentuk interaksi antara negara, juga maneuver-maneuver politiknya yang berlangsung pada negara-negara tersebut semuanya adalah fardhu bagi umat Islam. Ini adalah satu bentuk realisasi kaedah yang disebutkan di atas, “Ma la yatimmu al wajibu illa bihi fahuwa wajibun.”
Umat Islam bertanggungjawab melaksanakan dakwah ke seluruh dunia. Metodenya adalah jihad sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia hingga mereka menyatakan bahawa tiada yang berhak disembah, selain Allah dan Muhammad adalah utusan-Nya.”
Umat Islam juga wajib melindungi negara Islam daripada serangan musuh. Sabda Rasulullah SAW, “Setiap muslim wajib (menjaga) setiap perbatasan Islam, maka jangan sekalipun diserahkan kepada yang lain.”
Ketika Quraisy menyerang Madinah dalam perang Uhud dan perang Ahzab, Nabi SAW telah keluar (Madinah) untuk memerangi mereka di Uhud. Beliau juga telah membuat parit di sekeliling Madinah semasa perang Khandak. Kemudian, beliau memerangi mereka dari sebalik parit tersebut sehingga mampu memukul mundur musuh dari Madinah.
Mengemban dakwah ke seluruh dunia serta mengusir musuh dari negeri Islam kini tidak akan mungkin terlaksana, melainkan dengan memahami hakikat kedudukan antarabangsa dan perincian hubungannya dengan pemahaman yang sesempurna mungkin. Sebabnya, tidak mungkin akan dapat sempurna memahaminya, melainkan dengan mengetahuinya secara terperinci.
Demikian juga tidak mungkin akan mengemban dakwah serta mengusir musuh pada saat ini, kecuali dengan mengikuti terus-menerus kedudukan antarabangsa di dunia. Perlu juga diketahui apa yang berpengaruh secara langsung di sana atau berusaha untuk mempengaruhinya, disertai dengan mengikuti situasi atau keadaan negara-negara tetangga yang mencakup butiran serta bahagian-bahagiannya secara terus menerus dan sempurna. Untuk mencapainya, maka perlu mengikuti perkembangan dunia. Oleh sebab itu, mengikuti perkembangan dunia adalah fardhu bagi umat Islam.
Kini, banyak berdiri badan-badan, serta aktiviti-aktiviti yang dimaksudkan untuk mempengaruhi kedudukan antarabangsa, seperti Persatuan Bangsa-Bangsa (PBB), atau organisasi-organisasi serantau seperti Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Pakta Warsaw, Pan Arabisme, dan Organisasi Negara-negara Afrika. Begitu juga seperti negara-negara pemveto, serta negara-negara non-blok (GNB). Banyak pernyataan-pernyataan politik bermunculan yang bertujuan untuk mempengaruhi pandangan dunia antarabangsa (international opinion), seperti slogan perdamaian dunia, pelucutan senjata, dan sebagainya. Hukum mengetahui gerakan-gerakan, tindakan-tindakan, serta pernyataan-pernyataan ini sama hukumnya dengan mengetahui butiran perkara yang terkait dengan kedudukan antarabangsa. Sebabnya, semuanya tadi merupakan sebahagian dari kedudukan antarabangsa tersebut. Dengan demikian, mengetahui semua hal tadi adalah fardhu. Kefardhuannya bukan hanya bagi negara, melainkan juga bagi umat. Hanya saja, hal itu bagi umat adalah fardhu kifayah, sedangkan bagi pemimpin adalah fardhu ain.
Sumber: Hadits Shiyam