Judi Menghancurkan Keluarga
Oleh: Dedeh Wahidah Achmad
Mangsa judi online terus meningkat. Masalah turunannya malah lebih mengerikan. Keluarga juga turut dihantui bayangan ancaman yang ditimbulkannya.
Kegiatan maksiat ini terus menempias ke seluruh anggota keluarga, tidak terkecuali anak-anak, yang sepatutnya tumbuh dalam suasana kondusif untuk membina keimanannya serta menjaga mereka agar tetap dalam ketaatan sesuai dengan fitrahnya sebagai hamba Allah. Lalu, bagaimana dengan masa depan mereka jika masalah ini terus berlarutan?
Waktu yang sepatutnya mereka gunakan untuk menimba ilmu, untuk membentuk diri mereka menjadi individu yang berkebolehan, disia-siakan dalam permainan judi. Pengaruhnya juga sangat merosakkan. Mereka menjadi anti-sosial dan tidak suka bergaul dengan rakan-rakan. Bahkan dengan keluarga sendiri juga sangat jarang berinteraksi. Mereka lebih selesa dengan gajet mereka. Berkemungkinan perkembangan fizikal mereka juga terganggu kerana pergerakan yang minimum. Kekalahan dalam permainan judi akan membuat mereka lebih sensitif dan sukar mengawal kemarahan. Sebaliknya pula, pengalaman menang dalam permainan judi akan melahirkan sikap ingin mendapatkan kejayaan dengan usaha yang sedikit. Mereka juga malas bersusah-payah dalam hidup. Untuk kanak-kanak yang sudah ketagih, ia boleh mencetuskan tingkah laku jenayah. Terdapat banyak kes di mana remaja mencuri untuk membeli slot perjudian.
Kesan perjudian juga mengancam integriti keluarga, daripada konflik antara suami isteri, keganasan rumah tangga, sehinggalah kes perceraian yang terus meningkat.
Mengapa Judi Online Terus Marak?
Keharaman judi semestinya sudah menjadi perkara yang jelas bagi seorang Muslim. Banyak nas yang menjelaskan keharamannya. Contohnya adalah firman Allah SWT dalam surah Al-Maaidah ayat 90-91.
Timbul persoalan, mengapakah perbuatan maksiat ini terus berlaku di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam? Adakah kaki judi ini tidak mengetahui bahaya dan kerosakan yang akan menimpa mereka jika mereka terus berjudi? Jawapan kepada soalan ini adalah penting untuk merumuskan apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk menghentikan kerosakan yang disebabkan oleh judi online ini.
Tonggak Penegak Syariah Lemah, Maksiat Bermaharajalela
Maksiat adalah perbuatan melanggar hukum syariat. Lawan dari ketaatan. Boleh jadi para pelakunya sudah mengetahui ketentuan yang sudah ditetapkan. Namun, mereka lebih memilih untuk melakukan perkara yang bertentangan, yang diharamkan oleh Allah SWT. Sebaliknya, perkara wajib justeru mereka tinggalkan.
Terdapat tiga tonggak yang akan menentukan pelaksanaan pematuhan syariah. Jika ketiga-tiga tonggak ini wujud dan kukuh maka syariah akan terlaksana dengan sempurna. Sebaliknya, pelaksanaannya menjadi sukar apabila tiang-tiang ini lemah, apatah lagi lenyap.
Tiga tonggak tersebut adalah, Pertama, ketakwaan individu. Ketakwaan dibangun atas dasar keimanan. Iman yang kuat akan melahirkan rasa takut untuk melakukan pelanggaran terhadap syariah. Orang bertakwa bukanlah manusia yang tidak pernah salah. Namun, dia adalah orang yang segera bertaubat ketika melakukan kesilapan. Dia betul-betul menyesal dan berkomitmen untuk tidak mengulangi dosanya.
Berbeza dengan pelaku judi online. Kebanyakannya bukanlah pemula. Tidak sedikit di antara mereka yang sudah berada pada tahap ketagihan. Begitulah realiti perjudian. Yang menang akan membuat dirinya terus melakukan judi. Yang gagal pasti ingin tahu dan akan terus berjudi dengan harapan suatu hari nanti mereka akan berjaya. Tidak ada perasaan putus asa atau penyesalan dalam diri mereka.
Orang yang bertakwa sentiasa mengaitkan perbuatan dengan akibatnya. Apabila mereka memahami bahawa berjudi adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT, mereka juga menyedari bahawa azab-Nya akan menjadi balasan mereka [Lihat, sebagai contoh, Surah an-Nisaa’ (9): 14].
Kelemahan iman inilah yang menyebabkan kaki judi terus melakukan maksiat. Mereka tidak terpengaruh dengan bahaya di dunia apatah lagi hukuman di akhirat. Ia mungkin tidak terlintas di fikiran mereka. Pemisahan agama dalam kehidupan telah menghakis keimanan. Inilah yang menyebabkan hati mereka tidak terkesan dengan segala ancaman dan azab. Kepercayaannya tidak memberi kesan kepada ketaatan.
Kedua, keprihatinan masyarakat untuk melakukan amar makruf nahi mungkar. Allah SWT telah memberikan gelaran khayru ummah kepada umat Islam [Surah Ali-Imraan (3): 110]. Umat Islam mempunyai ciri-ciri yang telah menjadi identiti dirinya. Merekalah orang-orang yang sentiasa menyeru manusia ke jalan Islam serta mengajak pada kebaikan dan mencegah kemungkaran yang merebak di tengah masyarakat. Gelaran tersebut sekarang hampir hilang. Budaya amar makruf nahi mungkar bukan aktiviti yang menjadi pilihan. Perilaku individualistik dan serba bebas justeru menjadi anutan. Masyarakat semakin mengabaikan dan tidak peka terhadap maksiat yang bermaharajalela. Bahaya dan kerosakan judi tidak dianggap sebagai ancaman ketika perkara itu tidak menimpa mereka. Apatah lagi jika mereka justeru mendapatkan keuntungan ‘palsu’ dari aktiviti perjudian.
Keadaan ini berbeza dengan masyarakat Muslim yang sebenarnya. Mereka akan terus melakukan amar makruf nahi mungkar walau apapun risikonya. Masyarakat seperti ini memahami hadis yang diriwayatkan dari Umi Salamah RA yang pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Jika maksiat telah melanda umatku secara merata, pasti Allah akan meratakan azab kepada mereka.” Saya (Umi Salamah RA) bertanya, “Ya Rasulullah, tidakkah di antara mereka saat itu masih ada orang-orang yang baik?” Rasul menjawab, “Ya.” Saya (Ummu Salamah RA) bertanya lagi, “Apa yang mereka lakukan?” Rasulullah menjawab, “Azab itu menimpa kepada mereka sebagaimana yang menimpa manusia (pada umumnya), tetapi (di akhirat nanti orang yang baik yang tidak ikut maksiat) akan mendapat maghfirah dan redha dari Allah.” (HR Ahmad dan ath-Thabarani).
Mereka tidak akan membiarkan kemaksiatan terus dilakukan. Termasuk tidak akan diam jika judi masih ada dalam kehidupan.
Ketiga, negara sebagai pelaksana syariah dan penerap hukum. Ketika negara hadir untuk menerapkan syariah secara kaffah, negara ada untuk menjaga rakyatnya, maka rakyat akan aman dari berbagai ancaman. Maraknya judi online kononnya terkait dengan masalah kemiskinan dan kesulitan ekonomi lainnya. Namun, jika ditelusuri lebih jauh, sebenarnya ia berpangkal pada kegagalan negara dalam menjaga kebajikan rakyatnya. Negara gagal memberikan pendidikan yang baik yang akan melahirkan individu bertakwa. Negara gagal menjamin pemenuhan keperluan rakyat. Negara juga gagal dalam menutup celah-celah kerosakan yang mengancam, seperti informasi-informasi rosak dan laman perjudian yang terus muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Lebih parah lagi, negara gagal memberikan hukuman tegas terhadap para pelaku maksiat. Mereka masih bebas berkeliaran menyebarkan kerosakan. Semua kegagalan ini adalah akibat dari penerapan kapitalisme-sekularisme oleh negara. Sistem ini telah memandulkan tiga tonggak ini sehingga fungsinya menjadi hilang.
Mengembalikan Tiga Tonggak
Punca segala kerosakan adalah hilangnya tonggak penegakan syariah yang berpunca daripada ketiadaan negara yang melaksanakan syariah secara kaffah. Masalah bermula ketika Khilafah dihancurkan. Sedangkan institusi inilah yang menjadi perisai umat, penjaga keamanan dan keselamatannya, serta pengatur semua kemaslahatannya. Nabi SAW bersabda:
إِنَّمَا الإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ فَإِنْ أَمَرَ بِتَقْوَى الله عَزَّ وَجَلَّ وَعَدْلٌ كَانَ لَه بِذَلِكَ أَجْرٌ، وَإِنْ يَأْْمُرُ بِغَيْرِهِ كَانَ عَلَيْهِ مِنْه
Sesungguhnya Imam (Khalifah) adalah seperti perisai. Di belakangnya orang-orang berperang dan berlindung kepadanya. Jika dia menyuruh bertakwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla dan berlaku adil, maka dia akan mendapat pahala. Akan tetapi, jika dia memerintah kepada yang lain, maka dia juga akan mendapat dosa (azab) kerananya (HR al-Bukhari dan Muslim).
Imam Abu Zahrah menjelaskan bahawa Imâmah dan Khilâfah, begitu juga Imâm dan Khalîfah, itu sama: “Semua mazhab politik berkisar tentang Khilâfah, iaitu Imâmah Kubrâ. Ia disebut Khilâfah, kerana yang mengurus dan menjadi penguasa tertinggi bagi kaum Muslim itu menggantikan Nabi SAW dalam mengurus urusan mereka…”
Jadi, yang diperlukan sekarang bukan hanya sekadar seruan untuk menghentikan judi online. Tidak cukup dengan sosialisasi bahaya judi online. Juga tidak efektif hanya dengan menutup laman judi online jika dilakukan setengah hati dan masih membuka celah kemunculan laman lain. Apatah lagi dengan memberikan bantuan sosial kepada keluarga kaki judi. Sungguh jauh panggang dari api.
Penyelesaian sebenar adalah dengan mewujudkan kembali tonggak penegak syariah. Usaha ini dilakukan dengan proses memberi kesedaran kepada umat serta memahamkan mereka tentang pentingnya tiga tonggak tersebut dalam kehidupan. Kesedaran tersebut tidak mungkin akan wujud kecuali dengan gerakan dakwah Islam kaaffah yang menjelaskan Islam sebagai ideologi.
WalLaahu a’lam bi ash-shawaab.
*diterjemah dan diolah dari artikel asal