[Kenyataan Media]
Selepas Setahun Pembantaian (dan 76 Tahun Penjajahan), Penguasa Ruwaibidhah Kembali Berhimpun Meneruskan Retorik dan Pengkhianatan Mereka
Setelah genap setahun para penguasa Arab dan Muslim berhimpun untuk membincangkan masalah Palestin susulan tragedi 7 Oktober, kali ini mereka berhimpun lagi di tempat yang sama, dengan orang yang sama, membincangkan masalah yang sama, dan akhirnya mengeluarkan resolusi yang sama! Lebih 50 pemimpin negeri Islam hadir dalam Sidang Kemuncak Arab-Muslim pada 11/11/2024, dan Perdana Menteri Malaysia adalah salah seorang daripadanya. Sebagaimana agakan, setiap negara mengemukakan cadangan basi masing-masing terhadap masalah Palestin, dan Sidang Kemuncak tersebut juga mengeluarkan resolusi basi yang sama. Apa yang paling hebat dilakukan oleh para penguasa Muslim ini ialah mengutuk pembantaian yang dilakukan oleh ‘Israel’, dan merayu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), organisasi yang melahirkan entiti penjenayah ‘Israel’.
Sesungguhnya kita sudah mual dan muak dengan retorik kosong para penguasa Ruwaibidhah ini, yang berhimpun dengan penuh kemewahan dan kemegahan, di saat kehancuran Gaza, kematian, kelaparan dan kesakitan penduduknya, yang mereka saksikan di depan mata mereka! Sesungguhnya bukanlah mereka tidak tahu penyelesaian hakiki masalah Palestin, tetapi mereka tidak mahu mengambilnya. Mereka sibuk berbincang untuk menyelamatkan mangsa bagi menunjukkan keprihatinan mereka terhadap kaum Muslimin, sedangkan dalam masa yang sama mereka membiarkan pemangsa (kaum Yahudi) terus mengganas dan memakan mangsanya (kaum Muslimin)! Penyelesaian masalah Palestin sangat jelas iaitu dengan menghapuskan pemangsa melalui Jihad Fi Sabilillah, dan para penguasa ini mampu menggerakkan tentera mereka, tetapi malangnya hati mereka dipenuhi penyakit, dan mereka tidak punya keinginan pun untuk bergerak. Allah (swt) telah menjelaskan kepada kita mengenai mereka:
﴿ وَلَوْ أَرَادُوا الْخُرُوجَ لَأَعَدُّوا لَهُ عُدَّةً وَلَٰكِنْ كَرِهَ اللَّهُ انْبِعَاثَهُمْ فَثَبَّطَهُمْ وَقِيلَ اقْعُدُوا مَعَ الْقَاعِدِينَ ﴾
“Dan jika mereka mahu berangkat, tentulah mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu, tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka, maka Allah melemahkan keinginan mereka. dan dikatakan kepada mereka: “Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu” [At-Taubah (9): 46].
Di tangan mereka ada kuasa yang jika mereka berkeinginan, mereka boleh menggerakkan pasukan tentera mereka hanya dengan satu arahan, namun mereka tidak mahu melakukannya. Sebaliknya, mereka menjadi “penjaga” kepada entiti Yahudi bagi memastikan entiti penjenayah itu terus wujud. Para penguasa ini sentiasa memastikan yang tidak ada seorang pun daripada askar mereka, tidak ada sebiji bom pun, tidak ada sebuah pesawat pejuang, kereta kebal, bahkan tidak ada sebutir peluru pun yang mereka miliki, untuk sampai ke ‘Israel’. Lebih dari itu, mereka memastikan dan menjaga lisan mereka daripada terkeluar perkataan “jihad’ ke atas ‘Israel’. Demikianlah betapa hebatnya “penjagaan” mereka terhadap entiti penjenayah tersebut.
Tidak dinafikan bahawa Amerika dan PBB merupakan penjaga kepada entiti Yahudi, namun tanpa “penjagaan rapi” daripada para penguasa Ruwaibidhah ini terhadapnya, sudah pasti entiti haram tersebut telah lama lenyap dari peta dunia! Benarlah kata-kata seorang ulama dahulu, bahawa ‘Israel’ merupakan bayangan kepada rejim Arab, yang mana ia akan lenyap apabila rejimnya lenyap. Namun kini ‘Israel’ bukan bayangan kepada rejim Arab sahaja, tetapi telah menjadi bayangan kepada penguasa Muslim di seluruh dunia! Para penguasa Ruwaibidhah inilah yang merupakan “iron dome” sebenar kepada ‘Israel’! Mesyuarat mereka yang tidak pernah bertujuan untuk membebaskan Palestin, merupakan pengkhianatan nyata kepada Allah, Rasul-Nya, kaum Mukminin, dan terhadap Palestin, yang mereka lakukan tanpa rasa malu sedikit pun. Benarlah sabda Rasulullah (saw):
«إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ»
“Jika kamu sudah tidak punya malu, maka perbuatlah semahu kamu” [HR al-Bukhari].
Wahai kaum Muslimin! Para penguasa kononnya membela Palestin, walhal pada masa yang sama mereka “membela (menjaga)” ‘Israel’. Sesungguhnya sudah tidak ada kebaikan pada penguasa seperti ini. Kami dengan ini ingin menekankan dan menegaskan untuk ke sekian kalinya bahawa satu-satunya jalan untuk menyelamatkan saudara-saudara kita di Gaza, dan membebaskan keseluruhan Tanah Palestin Yang Diberkati ialah dengan bergeraknya pasukan tentera kaum Muslimin, baik yang dekat mahu pun yang jauh, menyahut perintah Allah (swt); bergerak dengan takbir dan tahmid sambil mengusung panji Rasulullah (saw); bergerak dengan niat dan tujuan yang satu yakni untuk memerangi Yahudi dan mengembalikan tanah Isra’ dan Mi’rajnya Rasulullah (saw) kepada pemiliknya yang sebenar. Inilah satu-satunya jalan penyelesaian untuk Palestin, bukannya dengan Sidang Kemuncak, bukannya dengan memboikot, bukannya dengan gencatan senjata, bukannya dengan bantuan PBB, apatah lagi dengan retorik para penguasa Ruwaibidhah!
Wahai tentera kaum Muslimin! Sesungguhnya tanggungjawab dan peranan kalian sangat besar terhadap Palestin, dan seiring dengan itu, pahala dan dosa kalian juga sangat besar. Kalian tahu bahawa penguasa kalian tidak akan menggerakkan kalian. Apabila kalian memilih untuk mentaati mereka, dan berpaling daripada perintah Rabb kalian untuk berjihad, maka di situlah dosa dan kehinaan kalian. Namun apabila kalian memilih untuk berpaling daripada para penguasa kalian dan mentaati perintah Rabb kalian untuk berjihad, maka di situlah pahala dan kemuliaan kalian. Kami dengan ini menyeru kalian lagi dan lagi dan kami tidak akan pernah berputus asa atau bosan untuk melakukannya – berilah nusrah (pertolongan) kalian kepada Hizbut Tahrir untuk mendirikan Negara Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah. Insya Allah Khalifah nanti akan menggerakkan kalian, dan memimpin kalian dengan penuh keberanian untuk mengalahkan Yahudi, membebaskan Tanah Palestin Yang Diberkati, sekali gus meraih salah satu daripada dua kemuliaan – kemenangan atau syahid:
﴿ قُلْ هَلْ تَرَبَّصُونَ بِنَا إِلَّا إِحْدَى الْحُسْنَيَيْنِ ۖ وَنَحْنُ نَتَرَبَّصُ بِكُمْ أَنْ يُصِيبَكُمُ اللَّهُ بِعَذَابٍ مِنْ عِنْدِهِ أَوْ بِأَيْدِينَا ۖ فَتَرَبَّصُوا إِنَّا مَعَكُمْ مُتَرَبِّصُونَ ﴾
“Katakanlah: ‘Tidak ada yang kamu tunggu-tunggu bagi kami, kecuali salah satu daripada dua kebaikan (kemenangan atau syahid). Dan Kami menunggu-nunggu bagi kamu bahawa Allah akan menimpakan kepada kamu azab (yang besar) dari sisi-Nya, atau melalui perantaraan tangan-tangan kami. Oleh itu tunggulah, sesungguhnya kami juga menunggu-nunggu bersama kamu” [At-Taubah (9): 52].
Abdul Hakim Othman
Jurucakap Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia