[Kenyataan Media] Demokrasi Memberikan Hak kepada Manusia, Termasuk Non-Muslim, untuk Mentakrif dan Menentukan Fahaman Akidah dan Mazhab Yang Mesti Kita Anut!
Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 telah menimbulkan perdebatan hangat di Malaysia. Setelah diluluskan Bacaan kali pertama pada Julai lepas, RUU berkenaan kini sedang dalam proses untuk Bacaan kali kedua dan ketiga sebelum diluluskan sepenuhnya oleh kedua-dua dewan Parlimen. Tidak dapat dinafikan yang penggubalan RUU ini adalah rentetan dari percakaran dan perdebatan mengenai isu-isu yang terkait dengan Ilmu Kalam yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Amat menyedihkan di saat Palestin sedang dibantai oleh Yahudi (La’natuLlah alaihim), pihak berkuasa agama, dan sebahagian kelompok tertentu di Malaysia sedang sibuk berbalah mengenai Ilmu Kalam, dan kini undang-undang mengenainya sedang dalam proses kelulusan!
RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 menjadi isu penting apabila terma “Ahlu Sunnah Wal Jamaah” diberikan definisi secara perundangan, dan disempitkan maknanya kepada golongan yang dari segi akidah, mengikut pegangan yang bersumber daripada aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah; dari segi syariah, yang mengikut Mazhab Syafie atau dalam keadaan tertentu mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali atau ijtihad hukum yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa; dan dari segi tasawuf, yang mengikut pegangan yang dibawa oleh Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali (Seksyen 3). Peruntukan ini memberi kesan yang siapa sahaja mempunyai pandangan yang berbeza, boleh disifatkan sebagai terkeluar daripada “Ahlu Sunnah Wal Jamaah” atau dengan kata lain sesat!
Penyempitan makna “Ahlu Sunnah Wal Jamaah” melalui pemaksaan undang-undang ini merupakan suatu yang sangat membahayakan penyatuan umat Islam. Pihak berkuasa agama yang cuba membuat undang-undang ini nampaknya tidak mahu mengambil iktibar daripada perpecahan umat Islam di masa lalu dalam masalah Ilmu Kalam, dan juga tidak mengambil iktibar dari tindakan kontroversi Khalifah Al-Makmun yang memenjara dan menyeksa Imam Ahmad akibat keengganan Imam Ahmad mengikuti fahaman akidah dari aliran tertentu yang dipaksakan oleh sang Khalifah ke atas rakyatnya. Pemaksaan seperti ini hanya akan menambah “kediktatoran” seseorang penguasa ke atas rakyatnya dalam bidang agama.
Tampak jelas bahawa agenda RUU ini adalah untuk mengekang apa jua pendapat selain yang dipegang oleh mereka yang berkuasa. Dengan mengkodifikasi hal ini, pemegang kuasa bukan sahaja memaksa rakyat untuk berpegang kepada fahaman akidah dan mazhab tertentu, tetapi secara tak langsung mengancam untuk “menghukum” siapa sahaja yang tidak sealiran dengan mereka! Dalam masa yang sama RUU tersebut memberikan kekebalan kepada Mufti, Timbalan Mufti, Perunding Akidah dan semua Jawatankuasa yang ada, daripada sebarang tindakan guaman (Seksyen 32) dalam menjalankan tugasan mereka di bawah skop RUU. Apakah mereka ingin meletakkan diri mereka sebagai golongan elit yang terlepas daripada undang-undang apabila melakukan kesalahan? Pengecualian ini nampaknya menyalahi prinsip ketelusan dan akauntabiliti, sebagaimana hadis Nabi (saw) yang memperingatkan kita tentang ketidaksamarataan hukum antara orang bawahan dan orang atasan.
Terdapat peruntukan yang terdedah kepada penggunaan sewenang-wenangnya oleh pihak berkuasa agama, antaranya ialah mengenai fatwa. Walaupun terdapat tatacara pengeluaran fatwa (Seksyen 10), namun sekiranya Jawatankuasa Fatwa ingin mengeluarkan sesuatu fatwa ke atas sesebuah gerakan / individu sebagai menyalahi “Ahlu Sunnah Wal Jamaah” atau sesat, tidak ada peruntukan mengenai proses Tabayyun terhadap pihak yang terbabit. Kewenangan sepihak dalam mendefinisi dan menentukan fahaman akidah, tanpa mendengar daripada pihak-pihak yang terbabit, akan membawa kepada ketidakadilan dan menyalahi proses yang sewajarnya.
Proses pengeluaran fatwa berkenaan hukum syarak juga disempitkan dengan peruntukan untuk mengikuti mazhab Syafie sahaja (Seksyen 16), kecuali jika berlawanan dengan kepentingan awam, barulah boleh merujuk kepada mazhab-mazhab yang lain. Padahal sesuatu fatwa atau hukum syarak itu hendaklah diambil berdasarkan kekuatan dalil, bukannya berdasarkan mazhab tertentu. Para Imam mazhab sendiri berpesan untuk kita berpegang kepada pendapat yang paling kuat. Apakah perkara asas seperti ini pun tidak diketahui oleh para pembuat RUU tersebut? Kenapa mereka ingin mempersempitkan agama ini apabila Allah (swt) sendiri telah meluaskannya?
Implikasi yang lebih penting ialah bahana demokrasi itu sendiri, sebuah sistem yang membenarkan manusia – tanpa mengira kepercayaan atau agama – untuk menentukan apakah fahaman akidah dan mazhab yang kita perlu anut!! Melalui sistem ini, ahli parlimen, termasuk non-Muslim, diberi kuasa sepenuhnya, untuk menentu dan menetapkan aliran akidah umat Islam. Inilah kesalahan asas sistem demokrasi dalam pandangan Islam, yang meletakkan kedaulatan di tangan manusia – membenarkan manusia menggubal undang-undang, biar pun dalam hal akidah dan syariat. Di bawah sistem demokrasi, ahli parlimen, tanpa mengira agama, ilmu agama, yang jahil, malah yang ateis sekali pun, mempunyai kuasa dan hak mengundi yang sama, sekali gus kuasa dan hak dalam mencorak akidah dan amalan agama setiap Muslim!!
Hizbut Tahrir / Malaysia dengan ini ingin menegaskan bahawa negara tidak boleh memaksa aliran akidah atau mazhab tertentu kepada rakyat. Ini kerana, persoalan fahaman akidah atau mazhab seharusnya dipegang oleh setiap Muslim berdasarkan kekuatan dalil. Mengkodifikasi isu akidah dan mazhab bermakna telah menyempitkan ajaran Islam itu sendiri. Selain itu, Hizbut Tahrir ingin menegaskan bahawa penyebutan akidah yang dinisbahkan kepada Imam-imam tertentu dengan sebutan seperti “al-Aqidah al-Asya’irah”, “al-Aqidah al-Maturidiyyah”, “al-Akidah as-Salafiyyah”, “al-Aqidah ath-Thahawiyah”, “al-Aqidah al-Wasithiyyah” dan sebagainya, semuanya adalah laisa daqiiqan (tidak tepat), dan tidak kena pada tempatnya, serta menimbulkan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Ini kerana, kedudukan mazhab-mazhab terhadap masalah-masalah yang berkaitan dengan pembahasan yang bersifat akidah atau keyakinan (aqadiyyah), itu bukan-lah akidah. Tetapi (yang dikatakan) akidah itu hanyalah “al-Aqidah al-Islamiyah”, yang ditetapkan di dalam syarak dengan dalil-dalil qath’ie, dan tidak boleh ada perbezaan pendapat (ikhtilaf) di dalamnya.
Sekiranya ada pihak yang dirasakan telah terkeluar daripada akidah Islam, maka ia hendaklah dibuktikan dengan dalil yang jelas daripada Al-Quran dan As-Sunnah, di mahkamah. Jika terbukti mereka telah murtad/kafir, maka mereka hendaklah diminta untuk bertaubat dan kembali kepada Islam. Jika enggan, maka dihukum bunuh sesuai dengan ketetapan hadis.
Sesungguhnya sistem demokrasi pada hari ini telah terbukti membahayakan akidah umat Islam, terutama apabila persoalan akidah boleh diundi di Parlimen, termasuk oleh orang-orang kafir. Sedangkan persoalan akidah mahupun syariat adalah sangat penting, yang wajib dipegang dan dilaksanakan oleh setiap Muslim dan negara, berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah, bukannya berdasarkan kelulusan parlimen. Sungguh, umat ini sudah sangat memerlukan Negara Khilafah sebagai solusi yang hakiki, sebuah negara yang benar-benar menerapkan Al-Quran dan As-Sunnah ke atas rakyatnya, yang akan mencegah perpecahan dalam kalangan umat Islam, akibat perbalahan dan perdebatan mengenai Ilmu Kalam yang dimunculkan oleh kelompok Mutakallimin sejak sekian lama.
Abdul Hakim Othman
Jurucakap Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia
Sumber: mykhilafah