[Kenyataan Media] Wahai Mereka yang Berkuasa! Tutup Segera Kilang Arak Sebelum Kain Kafan Menutupi Kalian
Untuk ke sekian kalinya satu lagi nyawa yang tak berdosa melayang disebabkan oleh pemandu mabuk. Kemalangan kali ini memang menyayat hati kerana video dari dashcam memaparkan mangsa, seorang penunggang motosikal, terpelanting dan berpusing beberapa kali di udara sebelum jatuh ke atas sebuah kereta, lalu meninggal serta-merta. Semuanya gara-gara seorang pemandu mabuk yang memandu dengan laju dan merempuh mangsa secara berhadapan ketika memotong beberapa buah kenderaan. Sudah ratusan kejadian seumpama ini berlaku, dan mungkin sahaja ribuan jika termasuk yang tidak dilaporkan, namun malangnya sehingga kini kerajaan tidak pernah melihat hal ini secara serius, apa lagi untuk menyelesaikannya secara tuntas!
Arak masih sahaja boleh dibeli secara terbuka di kedai-kedai serbaneka serta pusat-pusat hiburan. Kilang-kilang arak masih berdiri kukuh, dengan lesen yang sentiasa diperbaharui oleh pihak kerajaan. Apabila ada suara-suara yang menentang agar menutup kilang-kilang arak dan menghentikan penjualannya secara terbuka, maka ahli-ahli politik kerajaan menyatakan bahawa meminum arak itu merupakan hak non-Muslim yang tidak boleh disekat kerana Malaysia bermasyarakat majmuk. Lebih buruk dari itu, terdapat Mufti yang mempertahankan kilang-kilang arak atas alasan para pekerja kilang tersebut tidak ada mata pencarian jika ia ditutup. Di atas semua ini, kerajaan telah lama mengaut keuntungan yang tinggi dari hasil cukai atas perniagaan arak, dan terdapat pihak-pihak yang kelihatannya kebal undang-undang yang berada di sebalik kilang-kilang arak ini, yang tidak membenarkannya ditutup.
Semua fakta ini menjadikannya hampir mustahil untuk pihak kerajaan menutup kilang-kilang arak mahu pun menghentikan penjualannya secara terbuka. Hatta di bawah pemerintahan kerajaan sebelum ini yang mengaku sebagai kerajaan Melayu-Islam pun, kilang arak dan penjualan arak tetap sahaja berjalan seperti biasa, padahal sebelum berkuasa, mereka begitu lantang menentangnya. Justeru, track record berbicara bahawa selama Malaysia diperintah oleh parti-parti di bawah demokrasi, ditambah dengan sifat semulajadi sistem demokrasi yang memang menghalalkan semua itu, arak akan terus merosakkan negara ini.
Sesungguhnya kewujudan kilang-kilang arak dan penjualan arak secara terbuka inilah yang menyebabkan kewujudan pemandu-pemandu mabuk yang menjadi “pembunuh” di jalan raya. Tidak syak dan tidak ragu bahawa “pembunuh” tersebut sememangnya bersalah apabila menyebabkan kecederaan, kematian atau kemusnahan harta benda akibat pengaruh minuman syaitan itu. Namun, di atas semua itu, tindakan kerajaan yang mengeluarkan lesen untuk kilang-kilang arak beroperasi mahupun lesen untuk penjualan arak secara terbuka, sesungguhnya lebih besar lagi kesalahannya Kerajaanlah yang menjadi sumber atau punca sebenar kepada tragedi yang berlaku!
Tidak dapat dibayangkan bagaimana sebuah negara yang majoriti pemerintahnya Muslim, majoriti penduduknya Muslim, dan mendakwa bahawa Islam merupakan agama rasmi negara, tetapi mempunyai kilang-kilang arak yang berdiri megah, dan mempunyai kedai-kedai yang menjual arak yang bersepah di sana sini. Lebih tidak dapat dibayangkan sebuah negara yang mengaku sebagai Negara Islam, penjaga Islam, bahkan mengaku sebagai negara terpaling Ahlu Sunnah Wal Jamaah, tetapi membenarkan minuman syaitan “terhidang” secara skala industri dalam negara ini! Sunnah manakah agaknya yang membenarkan semua itu?
Kami di Hizbut Tahrir, sudah lama memuhasabah kerajaan untuk menutup kilang arak dan menghentikan serta-merta penjualannya secara terbuka, bukan sahaja kerana keharamannya, bahkan kerana kerosakan yang diakibatkan olehnya.
Kami sudah lama mengingatkan kerajaan akan laknat daripada Rasulullah (saw) ke atas sepuluh golongan yang terlibat dengan arak. Biar pun kami yakin yang kerajaan ini akan terus membutakan mata dan memekakkan telinga, namun kami akan terus memberikan peringatan demi peringatan kepada mereka, kerana kami tidak akan pernah jemu untuk memetik ayat-ayat Al-Quran dari Rabb kami, dan Hadis-hadis dari Rasul kami, agar di hari kiamat kami mempunyai hujah bahawa kami telah pun menyampaikan.
Firman Allah (swt):
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ﴾
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan” [Al-Ma’idah (5): 90].
Dari Anas bin Malik yang menuturkan:
»لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ«
“Rasulullah (saw) melaknat dalam hal khamar (arak) sepuluh golongan: yang memerahnya, yang diperahkan untuknya, yang meminumnya, yang membawanya, yang dibawakan untuknya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang memakan harganya, yang membelinya dan yang dibelikan untuknya” [HR at-Tirmidzi dan Ibn Majah].
Wahai mereka yang berkuasa! Ingatlah bahawa kalian adalah kepala dan penjaga kepada sepuluh golongan yang dilaknat Rasulullah (saw) ini. Sampai bila kalian akan terus memilih untuk berada dalam keadaan ini? Ingatlah bahawa syaitan menghendaki kalian menuruti jejak langkahnya, yang akan membawa kalian kepada kebinasaan, tetapi Allah menghendaki kalian mematuhi perintah-Nya yang akan membawa kalian kepada kebahagiaan dan redha-Nya. Jika masih ada sekelumit keimanan dan ketakwaan di hati kalian, maka patuhilah perintah Rabb kalian dan Rasul kalian, dan hapuskanlah kesemua rantaian yang terkait dengan amalan keji syaitan yang telah dilaknat ini.
Wahai mereka yang bakal jatuh dari kekuasaan! Tutuplah segera kesemua kilang minuman syaitan dan hentikan segera penjualannya, dan bertaubatlah kepada Rabb kalian. Ingat! Saat ini Dia masih memberi peluang kepada kalian tatkala kuasa yang Dia pinjamkan kepada kalian masih dapat digunakan; tatkala mata yang Dia pinjamkan kepada kalian masih dapat dibuka; tatkala telinga yang Dia pinjamkan kepada kalian masih dapat mendengar; dan tatkala nafas yang Dia pinjamkan kepada kalian masih dapat dihela. Sebentar sahaja lagi, ya memang sebentar sahaja lagi Dia akan menarik balik semua itu daripada kalian! Maka, sekali lagi kami mengingatkan, tutuplah segera kesemua kilang arak sebelum mata kalian ditutup oleh-Nya, dan sebelum kain kafan menutupi seluruh jasad kalian! Pada waktu itu segalanya sudah tertutup buat kalian dan penyesalan sudah tidak lagi berguna.
Ya Allah! Saksikanlah bahawa sesungguhnya kami telah menyampaikan.
Abdul Hakim Othman
Jurucakap Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia
Sumber : Mykhilafah