[Kenyataan Media] Jika Polisi Luarnya ialah Berbaik dengan Musuh, maka Sudah Pasti Kedatangan Musuh Disambut Meriah!

Ketibaan dua kapal perang China di Pulau Pinang telah mencetuskan persoalan dan kritikan berterusan kepada kerajaan. Sebelum kepanasannya reda, Malaysia kemudian menerima pula kunjungan kapal perang Rusia di negeri yang sama. Terlalu banyak persoalan yang muncul hasil lawatan Pasukan Tugas ke-83 Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) ke Malaysia yang menaiki Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal Jinggang Shan pada 5 Oktober lepas. Kelewatan kerajaan dalam memberikan respons terhadap isu ini, serta jawapan-jawapan yang cuba diberikan oleh beberapa orang menteri, bukan sahaja tidak menyelesaikan kegusaran, sebaliknya telah menimbulkan lebih banyak kemusykilan. Beberapa orang Menteri menjelaskan bahawa kedatangan kapal perang itu merupakan lawatan sempena meraikan hubungan diplomatik 50 tahun China-Malaysia. Manakala kerajaan Pulau Pinang pula menyatakan bahawa kedua-dua kapal terbabit singgah sebentar di Malaysia dalam perjalanan menuju ke Bangladesh, sebelum memulakan latihan mereka di Lautan Hindi.
Walaupun kerajaan mengesahkan yang kedatangan kapal perang China tersebut telah dibuat dan diluluskan melalui saluran rasmi, namun banyak persoalan muncul seperti kenapa Pulau Pinang dipilih sebagai negeri lawatan, dan kenapa hanya pimpinan negeri, dan bukannya pimpinan negara yang terlibat? Kenapa sambutan 50 tahun hubungan antara Malaysia-China melibatkan hampir seratus peratus kaum Cina yang meraikannya? Menteri Pendidikan pula mengesahkan bahawa lawatan tersebut bukanlah oleh tentera China tetapi melibatkan 165 kadet dan pensyarah Naval University of China. Persoalan seterusnya muncul iaitu kenapakah lawatan dibuat ke sebuah sekolah swasta Cina, dan bukannya ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia yang dilihat sebagai lebih wajar? Laporan mengesahkan bahawa kedua-dua kapal perang tersebut membawa lebih seribu anak kapal. Jadi siapakah selebihnya selain kadet tentera, jika bukan tentera China itu sendiri? Semua persoalan dan kebimbangan ini adalah sah dan berasas untuk dipertanyakan oleh rakyat kepada kerajaan, kerana rakyat mahukan jawapan yang telus dan rasional apakah begini caranya Malaysia dan China meraikan hubungan diplomatik sempena 50 tahun?
Menteri Luar dan Menteri Pertahanan pula menjelaskan bahawa adalah merupakan amalan biasa untuk kapal perang negara asing berlabuh di Malaysia sebagai tempat persinggahan sementara (port of call). Sebelum ini pun terdapat banyak kapal perang dari beberapa negara yang berbuat demikian, yang dibenarkan berlabuh atas sebab kewujudan hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara. Walaupun pihak kerajaan cuba meneutralkan lawatan dan kehadiran kapal-kapal perang ini, namun melihat dari perspektif Islam, perkara ini sesungguhnya tidak boleh dipandang remeh. Dalam Islam, hubungan kita dengan negara-negara di dunia, apatah lagi negara yang memusuhi Islam, bukan sahaja wajib dibangun atas dasar kebijaksanaan dan kewaspadaan, tetapi wajib berpegang kepada hukum syarak dalam hal polisi luar (as-siyasah al-kharijiyyah).
Kami ingin mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa, terhadap negara yang termasuk dalam kategori al-Muharibah Fi’lan (negara musuh yang sedang berperang secara nyata dengan umat Islam), maka tidak boleh dibangun apa jua hubungan kecuali hubungan perang, dan warganegara mereka sama sekali tidak dibenarkan memasuki negara kita. Manakala bagi negara yang berstatus al-Muharibah Hukman (negara musuh yang tidak dalam keadaan perang dengan umat Islam), kita hendaklah sentiasa berwaspada dengan negara seumpama ini, dan tidak dibenarkan menjalinkan apa jua hubungan diplomatik dengan mereka. China dan Rusia merupakan negara al-Muharibah Hukman yang sangat jelas memiliki keinginan untuk menguasai negeri-negeri Islam dan umat Islam. Walaupun utusan atau rakyat negara mereka dibenarkan masuk ke negara kita dengan izin khusus (visa dan pasport), namun mewujudkan hubungan diplomatik dengan mereka tetap dilarang (haram).
Malangnya Malaysia tetap menjalin hubungan diplomatik dengan China (dan juga Rusia), walaupun negara komunis itu telah terbukti melakukan kekejaman dan penindasan ke atas Muslim Uighur di negara mereka berdekad-dekad lamanya. Bukan sekadar hubungan diplomatik, malah, Malaysia mempunyai hubungan dagang terbesar dengan China setakat ini. Inilah polisi luar yang dibangun oleh Malaysia terhadap China, yakni polisi berbaik-baik dengan negara yang memusuhi umat Islam itu. Begitu jugalah polisi luar Malaysia terhadap Rusia, India, Amerika Syarikat dan lain-lain, walaupun negara-negara terbabit sangat jelas memusuhi Islam. Sama sebagaimana negara kapitalis lainnya, asas hubungan Malaysia dengan negara-negara luar ialah manfaat ekonomi. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahkan dengan bangganya mengatakan bahawa Malaysia kini bersahabat dengan semua negara-negara besar baik blok Barat mahu pun Timur, yang menunjukkan kejayaan Malaysia dalam hal ini. Atas dasar itu, maka tidak hairanlah apabila kapal perang China bukan sahaja dibenarkan datang ke Malaysia, malah diberi sambutan yang cukup meriah!
Dengan apa yang berlaku, memang wajar untuk rakyat mengkritik tindakan kerajaan dalam hal ini, yang menunjukkan keprihatinan serta kebimbangan rakyat mengenai campur tangan asing di negara ini. Sebagai Muslim, kita perlu faham bahawa isu di sini bukanlah kehadiran kapal perang China semata-mata, tetapi hubungan diplomatik yang telah lama terjalin antara Malaysia dengan China, sebuah negara al-Muharibah Hukman, sebuah hubungan yang Malaysia sejak awal tidak seharusnya ada. Kita seharusnya sentiasa berwaspada dengan negara kafir harbi tersebut, dengan agenda mereka untuk menguasai negara kita melalui apa jua cara. Hatta lawatan pasukan kadet China ke mana-mana sekolah sekalipun dalam negara ini tidak boleh dipandang remeh, kerana inilah cara bagaimana Missionaries dulunya meresap ke dalam Daulah Islam (Khilafah) dalam rangka merosakkan dan menguasai Negara Islam iaitu melalui saluran pendidikan, yang mana usaha mereka akhirnya berjaya walaupun memakan masa yang lama.
Kami dengan ini mengingatkan kerajaan agar meninggalkan polisi luar yang bercanggah dengan Islam ini, agar negara ini tidak masuk ke dalam perangkap negara musuh, yang senantiasa mengintai dan memanfaatkan setiap peluang dan ruang yang ada untuk menguasai kita. Dalam masa yang sama, kami juga ingin mengingatkan umat Islam bahawa sudah tidak ada kebaikan pada kerajaan yang meninggalkan hukum Allah (swt) dalam pemerintahan mereka, yang sekali gus tidak melayakkan mereka untuk memimpin negara ini. Malaysia selamanya akan menjadi negara yang lemah, hilang maruahnya dan jauh dari rahmat Allah (swt), apabila hukum-Nya dicampakkan daripada pemerintahan.
Wahai kaum Muslimin! Ketahuilah bahawa Hizbut Tahrir telah dan sedang berusaha sejak tahun 1953 lagi, di seluruh dunia, untuk mendirikan semula Daulah al-Khilafah ar-Rasyidah ala Minhaj Nubuwwah – sebuah negara yang akan berdiri atas akidah Islam; yang tidak akan berbaik-baik, apatah lagi tunduk kepada musuh; yang akan melaksanakan kembali polisi luar negara iaitu menyebarkan dakwah dan jihad ke negara-negara kafir harbi; dan akan kembali menjadi negara adidaya yang tidak ada tandingannya, insya Allah.
Abdul Hakim Othman
Jurucakap Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia
Sumber: mykhilafah