[Kenyataan Media] Genap Setahun Pembantaian Gaza, Penguasa Muslim Terus Menjadi Pemerhati, Hanya Khilafah Sebagai Solusi
Sudah genap setahun Gaza dibantai sejak dilancarkan Operasi Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober 2023. Sejak itu sehinggalah ke hari ini, tentera Yahudi laknatullah tidak henti-henti melakukan pembunuhan ke atas warga Palestin di luar batas kemanusiaan, dan melakukan kemusnahan besar-besaran di bumi yang diberkati itu tanpa menyisakan haiwan, tanam-tanaman, batu-batuan dan juga pepohonan. Di sebalik pembantaian tersebut, kaum Yahudi itu sebenarnya masih belum menang atau mencapai apa yang mereka ingini di Gaza. Ini kerana, jika menang, mereka sudah tentu akan menghentikan serangan dan mengisytiharkan kemenangannya kepada seluruh dunia. Ternyata, mereka terus menghujani Gaza dengan segala jenis bom baik dari udara mahu pun darat, yang membuktikan kaum terlaknat itu masih belum mencapai tujuannya., dan dengan izin Allah, kaum Muslimin di Palestin masih mampu bertahan hingga kini, yang membuktikan keteguhan keimanan mereka kepada Allah (swt).
Sesungguhnya keganasan Yahudi dalam melakukan kerosakan di Gaza lebih dahsyat daripada keganasan Amerika semasa menggugurkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, Namun demikian, ada yang jauh “lebih dahsyat” daripada itu iaitu para penguasa Muslim, yang diam menyaksikan semua kekejaman tersebut, baik yang berdekatan dengan entiti Yahudi mahupun yang jauh! Mereka menyaksikan saudara-saudara mereka dibunuh dan diseksa di depan mata mereka, menyaksikan tanah mereka dijajah, masjid-masjid mereka dirobohkan, kesucian tanah Isra’ dan Mi’raj dicemari, sedangkan mereka mempunyai kekuatan untuk menghentikan semua itu dalam sekelip mata, tetapi mereka memilih untuk menjadi pemerhati. Lebih buruk, sebahagian mereka terus memberikan bantuan kepada si Yahudi, dan juga kepada Amerika, yang membolehkan segala kekejaman dan kemusnahan tersebut berlaku. Amat buruklah apa yang mereka lakukan!
Tidak cukup dengan Palestin, kaum Yahudi yang kehausan darah itu telah mencari darah-darah baru di Lebanon, dan mereka berhasil menumpahkannya di Lebanon, sama sebagaimana mereka lakukan di bumi Palestin. Pun begitu, penguasa Muslim terus diam, termasuklah penguasa Lebanon sendiri! Manakala Iran, yang partinya di Lebanon diserang, cuba menunjukkan kepahlawanannya dengan melancarkan peluru-peluru berpandu ke ‘Israel’ bagi memberi sedikit “luka” kepada entiti haram tersebut dalam rangka menunjukkan kepada partinya, rakyatnya dan umat Islam umumnya, bahawa ia telah membalas kejahatan Yahudi. Iran kemudian cepat-cepat memberhentikan serangannya kerana ia telah pun memberi jaminan kepada dunia yang serangannya itu adalah mematuhi undang-undang antarabangsa – undang-undang yang dicipta oleh musuh-musuhnya! Sekadar itu sahajalah “balasan” Iran terhadap musuhnya, yang telah membunuh berapa ramai daripada kalangan pemimpinnya sendiri!
Sesungguhnya pengkhianatan para penguasa Muslim terhadap Palestin amat terang lagi bersuluh, bukan hanya dalam masa setahun ini sahaja, tetapi sejak hari pertama Palestin dijajah, malah sebelum itu lagi; bukan oleh seorang penguasa tetapi oleh semua penguasa; dari dulu hingga sekarang. Kerana merekalah, Palestin dahulunya telah jatuh ke tangan Zionis, dan kerana merekalah, Tanah Yang Diberkati itu kekal berada di tangan kaum Yahudi hingga saat ini. D sepanjang sejarah, kaum Muslimin telah menyaksikan silih bergantinya ratusan penguasa di pelbagai negeri, namun tidak seorang pun daripada penguasa tersebut yang benar-benar berusaha membebaskan Palestin. Orang yang paling hebat dalam kalangan mereka ialah yang paling hebat ucapan retoriknya, dalam rangka memperbodohkan rakyat mereka, agar mereka dipandang sebagai seorang hero pembebas Palestin.
Realitinya, tidak ada seorang penguasa pun yang berkehendak untuk menamatkan Zionis dan membebaskan Palestin. Kita telah melihat sendiri pada hari ini jumlah korban yang telah melebihi 40,000 jiwa dan tidak terhitung lagi jumlah yang cedera dan kehilangan tempat tinggal. Kita telah melihat sendiri rumah-rumah, masjid-masjid dan bangunan-bangunan yang runtuh berantakan dek bom-bom Yahudi. Kita telah melihat sendiri kemusnahan dan penderitaan dahsyat yang dialami oleh warga Palestin. Namun, semua ini tidak membuka sedikit pun pintu hati para penguasa ini untuk melancarkan jihad ke atas entiti penjenayah tersebut. Perkataan “jihad” nampaknya sudah terhapus dalam kamus mereka, dan hati mereka nampaknya sudah mati! Jika benar mereka berkehendak untuk mengalahkan Yahudi dan mengembalikan Palestin ke tangan kaum Muslimin, sudah pasti mereka akan mempersiapkan pasukan ke arah tersebut, tetapi ternyata mereka tidak melakukannya. Hal ini telah dikhabarkan oleh Allah kepada kita:
﴿ وَلَوْ أَرَادُوا الْخُرُوجَ لَأَعَدُّوا لَهُ عُدَّةً وَلَٰكِنْ كَرِهَ اللَّهُ انْبِعَاثَهُمْ فَثَبَّطَهُمْ وَقِيلَ اقْعُدُوا مَعَ الْقَاعِدِينَ ﴾
“Dan jika mereka mahu berangkat, tentulah mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu, tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka, maka Allah melemahkan keinginan mereka. dan dikatakan kepada mereka: “Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu” [At-Taubah (9): 46].
Justeru wahai kaum Muslimin, setelah kita melihat seluruh penguasa Muslim berdiam diri, dan pasukan tentera pun turut diam mengikuti mereka, maka kami mengatakan bahawa sudah tidak ada solusi lain bagi membebaskan keseluruhan Tanah Palestin Yang Diberkati, kecuali dengan tegaknya Khilafah. Hizbut Tahrir dengan ini menyeru kalian tanpa jemu, untuk bersama-sama kami dalam usaha yang mulia lagi mendesak ini. Kalian memiliki pilihan samada untuk terus berdiam diri, atau lebih buruk jika kalian terus mendukung para penguasa kalian, atau bersama Hizbut Tahrir untuk menegakkan kembali Khilafah.
Begitu juga dengan kalian wahai tentera Muslim – kalian mempunyai pilihan sama ada untuk terus setia dengan penguasa kalian yang khianat, atau kalian berusaha untuk mengeluarkan penguasa ini daripada kerusi empuk mereka, kemudian memberikan nusrah (pertolongan) kepada Hizbut Tahrir untuk menegakkan Khilafah, yang mana tatkala ia berdiri, sang Khalifah akan pasti menggerakkan kalian ke Palestin tanpa bertangguh lagi Insya Allah. Apabila kalian bergerak untuk berjihad di jalan-Nya, kemenangan sudah pun dijamin atas kalian, dan jaminan kemenangan ini bukannya datang daripada Hizbut Tahrir, bukan juga datang daripada Khalifah yang akan memimpin kalian nanti, tetapi datangnya daripada Rabb al-Alamin sendiri:
﴿ قَاتِلُوهُمْ يُعَذِّبْهُمُ اللَّهُ بِأَيْدِيكُمْ وَيُخْزِهِمْ وَيَنْصُرْكُمْ عَلَيْهِمْ وَيَشْفِ صُدُورَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ ﴾
“Perangilah mereka, nescaya Allah akan menghancurkan mereka dengan (perantaraan) tangan-tangan kalian dan Allah akan menghinakan mereka dan menolong kalian terhadap mereka, serta melegakan hati orang-orang yang beriman” [At-Taubah (9): 14].
Justeru, apa lagi yang kalian tunggu wahai tentera Muslim? Apa lagi yang kalian khuatiri? Apa lagi yang kalian mahu? Saad bin Muaz telah pun mendapat kemuliaannya dengan memberikan nusrah kepada Rasulullah (saw), yang membawa kepada berdirinya Daulah Islam di Madinah, sehingga agama Allah (swt) dapat diterapkan secara kaffah di dalam dan luar negeri, sehingga akhirnya Islam berjaya menguasai dunia. Kami berdoa agar muncul dalam kalangan tentera Muslim, seorang lagi Saad bin Muaz di abad ini, yang melalui nusrah-nya, Daulah al-Khilafah ar-Rasyidah ala Minhaj Nubuwwah akan kembali memerintah dunia.
Abdul Hakim Othman
Jurucakap Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia
Sumber: mykhilafah