[Kenyataan Media] Wahai Perdana Menteri Malaysia! Mengikuti Rasulullah (saw) itu Bukan Hanya di Ucapan, tetapi di Hati dan juga Tindakan
Sempena meraikan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2024M/1446H yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian telah menaikkan catatan di Facebook beliau dengan menggesa umat Islam menjadikan Rasulullah (saw) sebagai suri teladan bukan sahaja dari segi keperibadian baginda, namun lebih dari itu sebagai pemimpin negara, masyarakat dan keluarga khususnya dalam konteks model Madinah. Anwar menyatakan, “Dalam mencari model contoh ikutan, kita wajar terus menjadikan murabbi terunggul dan teragung ialah Rasulullah (saw) sebagai Uswatun Hasanah.” Bukankah Anwar sepatutnya menggunakan perkataan “wajib” berbanding “wajar” apabila merujuk Rasulullah (saw) sebagai suri teladan?! Anwar kemudian menyambung catatannya dengan menyatakan yang cita-cita negara Madani juga tidak lepas dari mengambil ibrah dan model Piagam Madinah yang dipelopori oleh baginda berasaskan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan bertiangkan keadilan dan ihsan.
Bunyinya memang sedap didengar apabila Anwar ingin mengambil ibrah dan model Piagam Madinah dalam memerintah negara ini. Namun persoalannya, benarkah Anwar mencita-citakan untuk menjadikan Madinah di bawah pimpinan Rasulullah (saw) sebagai model “Negara Madani” yang beliau gagaskan, atau hanya sekadar pemanis bicara sempena sambutan Maulidur Rasul? Sedarkah Anwar yang Madinah (sebelumnya dikenali sebagai Yatsrib) asalnya merupakan Darul Kufur yang kemudiannya ditukar oleh Rasulullah (saw) kepada sebuah Daulah Islam yang berdiri atas dasar wahyu? Apakah Anwar akan berusaha menukar Malaysia kepada sebuah Daulah Islam yang akan berdiri atas dasar wahyu? Sedarkah Anwar yang Piagam (Sahifah) Madinah dan segala hukum-hakam yang diterapkan oleh Rasulullah (saw) di Madinah adalah juga berteraskan wahyu? Adakah Anwar akan menukar perlembagaan dan undang-undang yang diberikan oleh kafir British kepada Malaysia, kepada sebuah perlembagaan dan undang-undang Islam yang berteraskan wahyu?
Jika benar Anwar ingin menjadikan Piagam Madinah sebagai model, maka sudah tiba masanya untuk Anwar membuang piagam (perlembagaan) Lord Reid yang menjadi tunjang pemerintahan negara selama ini. Sukalah kami mengingatkan Anwar bahawa Piagam Madinah merupakan sebuah perjanjian, yang sekali gus merupakan undang-undang dasar antara kaum Muslimin sesama mereka dan juga antara kaum Muslimin dan kaum kafir, khususnya Yahudi, selaku warganegara. Dalam Sahifah Madinah itu termaktub dengan jelas hubungan antara sesama warganegara yang wajib dijalankan atas dasar Islam, dan kesemua warganegara wajib berhukum dengan hukum Islam. Teks perjanjian juga dengan jelas memperuntukkan mengenai kewajipan kaum Yahudi untuk tunduk kepada kekuasaan Islam, serta kewajipan mereka untuk bekerjasama dengan kaum Muslimin demi kemaslahatan Daulah Islam. Di antara puluhan Fasal yang ada dalam Sahifah Madinah, cukuplah bagi kami mengemukakan satu Fasal yang menunjukkan dengan jelas bahawa segala masalah dalam negara wajib diselesaikan dengan Al-Quran dan As-Sunnah:
« وَإِنّهُ مَا كَانَ بَيْنَ أَهْلِ هَذِهِ الصّحِيفَةِ مِنْ حَدَثٍ أَوْ اشْتِجَارٍ يُخَافُ فَسَادُهُ فَإِنّ مَرَدّهُ إلَى اللهِ عَزّ وَجَلّ وَإِلَى مُحَمّدٍ رَسُولِ الله »
“Setiap kes atau perselisihan yang terjadi di antara pihak-pihak dalam Sahifah ini, yang dikhuatiri akan menimbulkan kerosakan, maka tempat kembalinya adalah Allah Azza wa Jalla dan Muhammad Rasulullah.”
Melihat kepada Piagam Madinah, sungguh amat jelas bahawa negara yang didirikan oleh Rasulullah (saw) di Madinah itu ialah sebuah Daulah Islam yang berhukum dengan kehendak Allah (wahyu). Manakala negara yang sedang ditadbir oleh Anwar sekarang ini ialah sebuah negara demokrasi-sekular yang berhukum dengan kehendak manusia (nafsu). Justeru, jika benar Anwar ingin menjadikan Madinah sebagai model, maka buktikanlah dengan menukar negara ini kepada Daulah Islam (Khilafah), sebuah negara yang diwariskan oleh Rasulullah (saw) kepada umatnya, demi menggantikan negara demokrasi pada hari ini yang diwariskan oleh penjajah kepada kita semua. Kami dengan ini mengingatkan Anwar bahawa ucapan beliau yang ingin menjadikan Rasulullah (saw) dan negara Madinah sebagai contoh ikutan, jika tidak direalisasikan dengan tindakan, maka ia hanyalah ucapan yang bakal mengundang murka Allah (swt). Firman-Nya:
﴿ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ * كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ ﴾
“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan” [As-Saff (61): 2-3].
Ingatlah bahawa Rasulullah (saw) sebagai Uswatun Hasanah bukan hanya untuk diungkap dengan lisan atau penulisan, tetapi wajib diimani dalam hati, dan dizahirkan dengan perbuatan atau tindakan. Anwar seharusnya bercermin dan bertanya diri sendiri, sejak menjadi Perdana Menteri, sejauh manakah usaha yang telah dilakukannya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berhukum dengan Al-Quran dan As-Sunnah, sebagaimana hasrat beliau untuk menjadikan Daulah Islam Madinah sebagai model? Sekiranya Anwar tidak merealisasikan kata-katanya itu, maka ucapan Anwar itu tidak lain kecuali hanyalah sebuah retorik, yang mencerminkan wajah sebenar Anwar sejak menjadi Perdana Menteri. Jika Anwar memiliki sedikit rasa malu, beliau seharusnya sedar yang beliau telah banyak kali menanggalkan topeng di mukanya sehingga semakin ramai rakyat, termasuklah penyokongnya sendiri, yang semakin mengenali wajahnya yang sebenar.
Sesungguhnya siapa pun yang ingin menjadikan Madinah sebagai model negara, maka wajib ke atasnya untuk berusaha mendirikan semula Daulah Islam (Khilafah). Model negara yang dibangunkan oleh Rasulullah (saw) itu, yang diikuti oleh Khulafa’ ar-Rasyidin, Khilafah Umayyah, Khilafah Abbasiyyah dan Khilafah Uthmaniyyah, telah pun runtuh secara rasminya pada 28 Rajab 1342 H (bersamaan 3 Mac 1924 M). Model ini tidak akan kembali berdiri hanya dengan retorik daripada penguasa, atau hanya dengan kata-kata; tetapi memerlukan keimanan dan usaha yang serius serta ikhlas daripada setiap orang yang memperjuangkannya. Allah (swt) telah menjanjikan hal ini (keKhilafahan) dengan cukup jelas kepada mereka yang beriman dan beramal soleh, melalui firman-Nya:
﴿ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ﴾
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa” [An-Nur (24): 55].
Abdul Hakim Othman
Jurucakap Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia
Sumber: mykhilafah