[Kisah Inspiratif] Meneladani Ketegasan Salim bin Abdullah bin Umar
Pada suatu hari, Salim bin Abdullah bin Umar, cucu Umar bin Khattab RA menemui Al-Hajjaj kerana hendak mengadukan sebuah perkara. Kemudian Al-Hajjaj memberi salam penghormatan dan menyambutnya dengan sebaik-baik sambutan. Tatkala kedua-duanya sedang berbincang, tiba-tiba dihadapkan kepada Al-Hajjaj sekelompok orang. Rambut mereka kusut masai, tubuh mereka dipenuhi debu, wajah mereka pucat, dan mereka dibelenggu dengan rantai. Al-Hajjaj melihat ke arah Salim dan berkata, “Mereka adalah pembangkang yang membuat kerosakan di muka bumi. Mereka telah menghalalkan darah yang diharamkan oleh Allah.” Kemudian Al-Hajjaj memberikan pedangnya kepada Salim dan menunjuk kepada orang pertama seraya berkata, “Bunuhlah dia!” Salim segera mengambil pedang dari tangan Al-Hajjaj dan menghampiri orang yang ditunjuk. Orang ramai melihat apa yang akan diperbuat oleh Salim.
Tatkala telah berdiri di depan orang tersebut, Salim bertanya kepadanya, “Adakah engkau seorang muslim?” Dia menjawab, “Ya. Mengapa engkau bertanya demikian? Lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu!” Salim bertanya lagi, “Adakah hari ini engkau telah menunaikan solat subuh?” Dia menjawab, “Semoga Allah memberi petunjuk kepadamu. Aku katakan, ‘Ya, aku telah solat subuh.’” Setelah mendengar jawapannya, Salim kembali kepada Al-Hajjaj dan meletakkan pedang tersebut di hadapannya seraya berkata, “Dia mengaku bahawa dia adalah seorang muslim. Dia juga berkata bahawa hari ini dia telah menunaikan solat subuh. Sungguh, telah sampai kepadaku bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa menunaikan solat subuh, maka dia berada dalam jamiman Allah.” [HR Muslim No.262].
Salim mengatakan kepada Al-Hajjaj bahwa dia tidak dapat membunuh seseorang yang berada dalam jaminan Allah SWT. Dalam keadaan marah, Al-Hajjaj berkata, “Kita tidak membunuhnya kerana meninggalkan solat subuh. Akan tetapi, kita hendak membunuhnya kerana dia termasuk salah sorang yang terlibat dalam pembunuhan Uthman bin Affan.” Salim berkata, “Sesungguhnya di antara manusia ada orang yang lebih utama dari diriku dan dirimu terhadap darahnya Uthman (RA).” Kemudian, Al-Hajjaj diam dan tidak menjawab apa yang dikatakan oleh Salim. [Abdurrahman Ra’fat al-Basya, Jejak Perjuangan dan Keteladanan Para Tabiin].
Hikmah
Sikap tegas Salim bin Abdullah bin Umar mengingatkan kita pada ketegasan datuknya, Umar bin Khattab (RA). Terdapat beberapa hikmah yang boleh kita ambil dari kisah Salim dan Al-Hajjaj, pemerintah kaum muslim waktu itu.
Pertama, berpihaklah kepada kebenaran dengan penuh keberanian. Inilah yang hendak diajarkan Salim kepada kita semua. Keberaniannya telah mencatatkan dirinya sebagai tabi’in yang tegas. Tanpa rasa takut, dia berani membela kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim.
Para ulama mengatakan, diam terhadap kemungkaran dan kezaliman adalah seperti syaitan bisu. Abu Ali Ad-Daqaq mengatakan, “Siapa yang diam saja, tidak menyatakan Al-Haq (kebenaran), maka dia adalah seperti syaitan bisu.” [Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/20]. Bahkan, Nabi SAW bersabda jihad yang paling utama ialah mengatakan kebenaran di hadapan penguasa zalim.
Dalam riwayat lain, baginda SAW juga bersabda, “Apakah kalian pernah mendengar bahawa akan ada setelah aku para pemimpin, barang siapa yang menemui mereka dan membenarkan kedustaan mereka serta membantu kezaliman mereka, maka dia bukan termasuk golongan aku dan aku bukan darinya. Dia tidak akan menemui aku di telaga, serta aku tidak menemui mereka. Barang siapa yang tidak mempercayai kedustaan mereka dan tidak membantu kezaliman mereka, maka dia termasuk golongan aku dan aku termasuk golongannya . Dia akan menemui aku di telaga.” [HR An-Nasa’i].
Kedua, melakukan tabayyun atau klarifikasi. Inilah yang dilakukan oleh Salim ketika Al-Hajjaj memintanya membunuh orang yang dianggap bersalah. Salim tidak terus menerima perintah itu, tetapi bertanya kepada orang tersebut mengenai keislaman dan solat subuhnya. Salim benar-benar ingin memastikan, siapa yang zalim dan siapa yang benar. Akhirnya, dia dengan tegas menolak perintah Al-Hajjaj ddemi membela kebenaran.
Tabayyun bermakna mencari kebenaran atas sesuatu agar tidak terjadi fitnah dan ketidakadilan. Selain itu, tabayyun juga akan membuatkan seseorang lebih berhati-hati pada setiap informasi yang diterimanya. Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”[TMQ Al-Hujurat (49): 6].
Berpihak pada kebenaran dan mencari kebenaran dengan sikap tabayyun merupakan sikap yang sangat dianjurkan dalam Islam. Bahkan, menjadi kewajipan bagi setiap muslim untuk selalu mengatakan kebenaran secara konsisten sesuai dengan Al-Quran dan Sunnah. Tidak ada perkataan yang lebih baik, selain orang yang menyeru agar tunduk dan taat sepenuhnya kepada Allah SWT dan RasulNya, bukan kepada manusia.