NIKMAT TUHAN YANG MANAKAH YANG KAMU DUSTAKAN?
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Pernahkah anda berfikir berapa kekayaan setiap orang jika dihargai dengan wang?
Saat mata kita sihat, kita tak pernah berfikir betapa berharga mata kita. Cuba bayangkan jika mata anda menjadi buta disebabkan oleh kemalangan tetentu. Kebetulan anda mempunyai tabung berjumlah ribuan ringgit. Apa yang anda akan lakukan? Anda pasti akan membayar berapa pun kosnya untuk mengembalikan penglihatan anda. Anda tidak peduli jika wang simpanan anda habis untuk tujuan tersebut.
Saat kaki kita sihat dan normal, kita pun mungkin jarang berfikir betapa bernilai kaki kita itu. Namun, pernahkah anda membayangkan andai suatu saat, disebabkan musibah tertentu, kaki anda terpaksa dipotong? Saya yakin, jika kebetulan anda orang kaya, anda akan sanggup mengeluarkan berapapun jumlah wang asalkan kaki anda tidak dipotong serta kembali sihat dan normal seperti sedia kala.
Bagaimana pula jika pada suatu hari wajah anda yang tampan/cantik tiba-tiba melecur disebabkan terkena air panas? Saya yakin, anda juga akan sanggup melepaskan segala harta yang anda miliki untuk merawat wajah yang melecur dan kembalikan wajah asal yang tampan/cantik seperti sedia kala.
Sudah terlalu banyak bukti, di mana orang-orang kaya sanggup mengorbankan hartanya sebanyak manapun demi mengembalikan kesihatannya; demi sembuh dari penyakit jantung, kanser, kelumpuhan, kecacatan dll. Bahkan demi mengembalikan kulit wajahnya yang berkedut menjadi tegang dll. Ramai yang sanggup berhabisan untuk itu.
Jika sudah demikian, semestinya kita sedar, betapa kayanya setiap diri kita walaupun jika secara material, kita ini orang miskin.
Oleh sebab itu, memang patutlah jika Allah SWT mengajukan soalan retorik berulang kali dalam al-Quran Surah ar-Rahman kepada kita: Fa bi ayyi âlâ’i Rabbikumâ tukadzibân (Nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan)?
Persoalannya: Sudahkah kita syukuri atas semua nikmat itu? Sudah berapa lama kita luangkan waktu untuk beribadah dan ber-taqarrub kepada-Nya? Atau sebaliknya kita malah rajin bermaksiat kepada- Nya? Sudah berapa besar pengorbanan kita untuk agama-Nya? Sudah berapa banyak harta milik-Nya yang kita infakkan di jalan-Nya atau membantu sesama muslim? Atau sebaliknya kita gunakan sebahagian besar harta itu di jalan yang sia-sia dan tidak bermanfaat hanya sekadar demi memuaskan syahwat dan kesenangan dunia yang sesungguhnya hanya sesaat sahaja?
Wa mâ tawfîqî illâ bilLâh.