[FIKH] MENJADI SAHABAT AL-QURAN
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Sahabat Nabi SAW adalah generasi yang sekaligus menjadi sahabat al-Quran. Salah seorang di antara mereka adalah Uthman bin Affan RA. Beliau terkenal dengan salah satu ucapannya, “Jika hati suci, dia tidak akan pernah kenyang dari membaca al-Quran.” (Ibnu Taimiyah, Majmuu’ al-Fatawaa).
Ucapan Uthman bin Affan RA di atas beliau buktikan sendiri. Beliau biasa mengkhatamkan membaca al-Quran kurang dari seminggu sekali. Bahkan seringnya khatam dalam satu kali solat malam. Hal itu beliau lakukan secara istiqamah hingga akhir hayat beliau.
Begitu juga dengan Sahabat Nabi SAW yang lain. Abdullah bin Zubair RA, misalnya, kerap mengkhatamkan seluruh al-Quran dalam satu malam. Said bin Jubair RA sering mengkhatamkan al-Quran dalam dua rakaat solat di dalam Kaabah. Tsabit al-Banani RA mengkhatamkan al-Quran dalam sehari semalam. Abu Harrah RA juga melakukan hal yang sama.
Abu Syaikh Hana’i RA berkata, “Saya biasa mengkhatamkan al-Quran dua kali dalam semalam. Bahkan jika aku mahu, aku dapat mengkhatamkannya tiga kali dalam semalam.”
Begitu juga dengan Manshur bin Zadzan RA. Dia boleh mengkhatamkan al-Quran hanya dalam satu kali solat Dhuha, ditambah satu kali lagi antara Zuhur dan Ashar. Selain para Sahabat Nabi SAW, para ulama salaf juga secara umum sangat akrab dengan al-Quran.
Mereka juga merupakan para sahabat al-Quran. Dalam Syarh Ihya’ Uluum ad- Diin karya Imam al-Ghazali dijelaskan bagaimana akrabnya para ulama salaf dalam persahabatan mereka dengan al-Quran.
Imam Syafie, misalnya, biasa mengkhatamkan al-Quran sekali setiap hari. Khusus sepanjang Ramadhan, beliau biasa mengkhatamkan al-Quran sebanyak dua kali setiap hari. Selama Ramadhan juga, Imam Malik bahkan meninggalkan kelas pengajian hadis yang diajarinya, hanya kerana untuk fokus mengkhatamkan al-Quran setiap hari.
Hal yang sama juga biasa dilakukan oleh Aswad, Shalih bin Kisan, Said bin Jubair dan ribuan ulama salaf lainnya.
Bagaimana dengan kita? Sudahkah kita menjadi sahabat al-Quran seperti mereka?
Wa maa tawfiiqii ilLaa bilLaah.