HUKUM MENYAMBUT TAHUN BARU MASIHI
Oleh : KH M. Siddiq Al- Jawi
Perayaan Tahun Baru Masihi (new year’s day, al ihtifal bi ra`si as sanah) bukan perayaan umat Islam melainkan perayaan kaum kafir, khususnya kaum Nasrani. Penetapan 1 Januari sebagai Tahun Baru awalnya dirasmikan oleh Kaisar Romawi, Julius Caesar (46 SM). Penetapan ini kemudian dirasmikan semula oleh pemimpin tertinggi Katolik, iaitu Pope Gregory XII pada tahun 1582. Penetapan ini kemudiannya diterima pakai oleh hampir semua negara Kristian Eropah Barat sebelum mereka menerima pakai kalendar Gregorian pada tahun 1752. (www.en.wikipedia.org; www.history.com).
Terdapat pelbagai bentuk perayaan Tahun Baru Masihi di Barat, baik berupa ibadah seperti layanan ibadah di gereja (church services), mahupun aktiviti bukan ibadah, seperti perarakan/karnival, menikmati pelbagai hiburan, sukan seperti hoki ais dan bola sepak Amerika (rugby), menikmati makanan tradisional, berkumpul bersama keluarga, dan sebagainya (www.en.wikipedia.org).
Berdasarkan manath (fakta hukum) tersebut, haram hukumnya seorang muslim turut merayakan Tahun Baru Masihi. Dalil keharamannya ada 2 (dua). Pertama, dalil umum yang mengharamkan kaum muslimin menyerupai kaum kafir (tasyabbuh bi al kuffaar). Kedua, dalil khusus yang mengharamkan kaum muslimin merayakan hari raya kaum kafir (tasyabbuh bi al kuffaar fi a’yaadihim).
Dalil umum yang mengharamkan menyerupai kaum kafir antara lain firman Allah SWT,
وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنْ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنْ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنْ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلا نَصِيرٍ
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.” [TMQ Al-Baqarah (2): 120]
Ayat ini dengan jelas melarang kaum muslimin untuk mengikuti agama mereka (orang Yahudi dan Nasrani), atau dengan kata lain, melarang kaum muslimin menyerupai orang-orang kafir (tasyabbuh bi al kuffaar).
Ayat-ayat yang semakna ini banyak, antara lain QS Al-Baqarah: 104, QS Al-Baqarah: 145; QS Ali ‘Imran: 156, QS Al-Hasyr: 19; QS Al-Jatsiyah : 18-19; dan lain-lain (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 12/7; Wa`il Zhawahiri Salamah, At-Tasyabbuh Qawa’iduhu wa Dhawabituhu, hlm. 4-7; Mazhahir at-Tasyabbuh bil Kuffar fi Al ‘Ashr al-Hadits, hlm. 28-34).
Dalil umum lainnya adalah sabda Rasulullah SAW,
لتتبعن سنن من قبلكم شبرا بشبر، وذراعا بذراع، حتى لو سلكوا جحر ضب لسلكتموه. قلنا: يا رسول الله، اليهود والنصارى؟ قال: فمن؟
“Sungguh kalian akan mengikuti jalan-jalan orang sebelum kalian, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga kalau mereka memasuki lubang biawak, nescaya kalian akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah mereka itu orang Yahudi dan Nashara?” Rasulullah SAW berkata, ”Lalu siapa lagi (kalau bukan mereka)?” (HR Bukhari No. 3269).
Juga sabda Rasulullah SAW,
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
“Barang siapa yang menyerupai suatu kaum, maka ia termasuk golongan mereka.” (HR Ahmad, 5/20; Abu Dawud No. 403). Imam Ibnu Hajar al-Asqalani mengatakan sanad hadis ini hasan (Fathul Bari, 10/271).
Hadis-hadis tersebut telah mengharamkan umat Islam menyerupai kaum kafir dalam hal-hal yang menjadi ciri khas kekafiran mereka (fi khasha`ishihim), seperti akidah dan ibadah mereka, hari raya mereka, pakaian khas mereka, cara hidup mereka, dan lain-lain (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 12/7; Ali bin Ibrahim ‘Ajjin, Mukhalafatul Kuffar fi As-Sunnah an-Nabawiyyah, hlm. 22-23).
Selain dalil umum, terdapat dalil khusus yang mengharamkan kaum muslimin merayakan perayaan kaum kafir. Dari Anas ra, dia berkata,
قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- الْمَدِينَةَ وَلَهُمْ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَقَالَ « مَا هَذَانِ الْيَوْمَانِ ». قَالُوا كُنَّا نَلْعَبُ فِيهِمَا فِى الْجَاهِلِيَّةِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ »
“Rasulullah SAW datang ke kota Madinah, sedang mereka (umat Islam) mempunyai dua hari yang mereka gunakan untuk bermain-main. Rasulullah SAW bertanya, ‘Apakah dua hari ini?’ Mereka menjawab, ‘Dahulu kami bermain-main pada dua hari itu pada masa jahiliah.’ Rasulullah SAW bersabda, ‘Sesungguhnya Allah telah mengganti dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu Aidil Adha dan Aidil Fitri.” (HR Abu Dawud, No. 1134).
Hadis ini dengan jelas telah melarang kaum muslimin untuk merayakan hari raya kaum kafir (Ali bin Ibrahim ‘Ajjin, Mukhalafatul Kuffar fi As-Sunnah an-Nabawiyyah, hlm. 173).
Berdasarkan dalil-dalil di atas, haram hukumnya seorang muslim merayakan tahun baru Masihi, contohnya dengan meniup trompet, menyalakan bunga api, menyalakan mercun, menunggu tahun baru (countdown), memberi ucapan tahun baru, makan untuk menyambut tahun baru, menikmati hiburan muzik dan lagu sebelum tahun baru dan sebagainya.
Semuanya haram kerana termasuk perbuatan menyerupai orang kafir (tasyabbuh bi al kuffaar) yang diharamkan oleh Islam. Wallahualam.