[Nafsiyah] MEMELIHARA AMALAN-AMALAN SUNAT
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
ALLAH SWT berfirman (yang bermaksud):
“Sembahlah Allah sehingga datang kepada kamu sesuatu yang meyakinkan (kematian).” [TMQ al-Hijr (15): 99].
Mengenai ayat di atas, Imam as-Sya’rawi menyatakan ibadah adalah ketaatan seorang hamba kepada Zat Yang disembah. Ibadah itu sendiri meliputi seluruh gerak kehidupan manusia. As-Sya’rawi juga menekankan bahawa sesuatu yang meyakinkan yang disepakati semua orang – yang tidak ada percanggahan di dalamnya – adalah kematian. [Imam as-Sya’rawi, Tafsir as-Sya’rawi, I/4836].
Ayat ini sebenarnya memerintahkan kita untuk sentiasa istiqamah dalam beribadah kepada Allah SWT sehingga ke akhir hayat. Sikap istiqamah dalam beribadah kepada Allah SWT sehingga ajal menjemput kita hanya dapat dilakukan sekiranya kita mampu memelihara amal soleh, baik yang wajib mahupun yang sunat. Amalan wajib sudah tentu tidak perlu dibincangkan lagi; ia mesti dilakukan secara mutlak.
Namun, wajib ada dua: fardhu ‘ain dan fardhu kifayah. Malangnya, fardhu kifayah ini sering diabaikan oleh kebanyakan umat Islam hanya kerana terdapat segolongan manusia yang telah berusaha untuk menunaikannya, padahal golongan tersebut belum berjaya menunaikannya. Contohnya, kewajipan menegakkan Khilafah dan syariat Islam secara total dalam segi kehidupan, di samping menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia. Padahal Baginda Rasulullah SAW, sejak menerima wahyu pertama, diikuti oleh para Sahabat, tidak pernah berehat sesaat pun untuk berdakwah dan berjuang menegakkan Islam sehingga berjaya menegakkan Daulah Islam (Negara Islam di Madinah).
Malah selepas Daulah Islamiah didirikan, dakwah Rasulullah SAW dan para Sahabatnya tidak berhenti. Melalui institusi Negara Islam yang diasaskan mereka, Islam kemudiannya disebarkan ke seluruh pelusuk dengan dakwah dan jihad. Mereka sentiasa istiqamah dan tidak jemu-jemu meneruskan dakwah dan memperjuangkan Islam sehingga datang sesuatu yang meyakinkan kepada mereka iaitu kematian.
Selain daripada amalan-amalan wajib, sudah tentu setiap muslim wajib memelihara amalan-amalan sunat. Sudah tentu amalan-amalan sunat juga mempunyai banyak fadhilat yang tidak boleh diabaikan oleh setiap muslim. Contohnya ialah solat-solat sunat (nafilah). Dalam hal ini, Rasulullah SAW umpamanya pernah bersabda, “Hendaklah kamu banyakkan sujud. Kerana, sesiapa yang sujud kepada Allah SWT sekali, nescaya Dia akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan daripadanya satu kesalahan (dosa).” [HR Muslim].
Di antara solat sunat yang paling utama ialah solat malam (tahajud). Allah SWT berfirman (yang bermaksud):
“Pada sebahagian malam, bertahajudlah kamu sebagai ibadah tambahan bagi kamu. (Dengan bersolat malam itu) nescaya Allah mengangkat kamu ke darjat yang terpuji.” [TMQ al-Isra’ (17): 79].
Begitu pentingnya solat tahajud ini sehingga Rasulullah SAW menyuruh kita “mengqadha’nya” apabila kita tinggalkan. Baginda bersabda, “Jika kamu tertinggal solat malam kerana sakit atau sebab lain, hendaklah kamu solat dua belas rakaat pada siang hari.” [HR Muslim].
Dalam hadis yang lain baginda bersabda, “Sesiapa yang tertidur dan tidak mengerjakan solat witir atau solat-solat sunat, hendaklah dia mengerjakannya ketika berjaga.” [HR Muslim].
Sebaliknya Rasulullah SAW “mencela” orang yang tidak menunaikan solat malam, padahal dia sering bangun di tengah malam. Baginda bersabda kepada Abdullah bin Amr bin al-‘Ash, “Wahai Abdullah, janganlah engkau seperti si fulan, dia bangun malam tetapi tidak menunaikan solat malam.” [Mutaffaq ‘alaih].
Dalam Al-Fath, dinukil kata-kata Ibnu ‘Arabi, “Dalam hadis ini terdapat anjuran untuk mendawamkan (melakukan secara terus-menerus) amal soleh yang biasa dilakukan oleh seorang muslim tanpa melalaikannya. Dari hadis ini dapat disimpulkan bahawa adalah makruh memutuskan ibadah (tidak mendawamkannya) walaupun ia bukanlah ibadah yang wajib.” [Muhammad ‘Allan as-Shiddqi, Dalil al-Falihin, I/313].
Amalan sunat lain yang tidak kurang pentingnya ialah membaca al-Quran. Baginda Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” [HR al-Bukhari].
Baginda juga bersabda, “Bacalah al-Quran kerana ia akan datang pada hari kiamat kelak sebagai pemberi syafaat bagi orang yang biasa membaca dan mengamalkannya.” [HR Muslim].
Sudah tentu masih banyak lagi amalan-amalan sunat seperti memperbanyakkan zikir, puasa sunnah (puasa Isnin dan Khamis, puasa Nabi Daud, dll.), bersedekah, dan lain-lain. Semua ini hendaklah dilakukan secara berterusan (dawam). Sebabnya, Baginda Rasulullah SAW, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Aisyah RA, “Sesungguhnya amal yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah yang paling terus menerus (dawam) dilakukan walaupun sedikit.” [HR al-Bukhari].
Semoga kita dapat mengamalkan sabda Rasulullah SAW di atas.
Wa mâ tawfîqî illâ billâh wa ‘alayhi tawakkaltu wa ilayhi unîb .