UKURAN KEMULIAAN
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Banyak orang mengukur kemuliaan dari rezeki yang dia dapatkan. Banyak yang menyangka bahawa jika seseorang yang dikurniakan rezeki yang banyak atau kaya bererti orang tersebut dimuliakan dan disayangi Allah SWT. Sebaliknya, jika seseorang yang sedikit rezekinya atau miskin bererti tidak dimuliakan dan disayangi Allah SWT.
Sedangkan, hakikatnya kaya bukanlah ukuran kemuliaan dan miskin bukanlah ukuran kehinaan. Orang kaya belum tentu disayangi Allah SWT. Orang miskin belum tentu tidak disayangi Allah SWT.
Sebab, Allah Maha Pengasih (Ar-Rahmân). Dengan sifat yang Allah miliki ini, semua makhluk Allah kasih, tanpa pilih kasih. Mukmin atau kafir, Allah beri rezeki. Orang bertakwa atau para pendosa, Allah beri nikmat yang bermacam. Orang taat atau pelaku maksiat, Allah beri kesihatan. Oleh sebab itu, saat anda diberi banyak rezeki, dikurniakan pelbagai nikmat dan sentiasa dalam keadaan sihat, tidak bermakna anda disayangi Allah SWT, kecuali jika semua itu menjadikan anda semakin taat kepada-Nya.
Di sisi lain, Allah Maha Penyayang (Ar-Rahîm). Semua makhluk memang Allah kasihi hatta kaum kafir dan para pendosa. Semuanya diberi rezeki, tanpa terkecuali. Semuanya diberi nikmat, tanpa diskriminasi. Namun, hanya kaum mukmin yang layak Allah sayangi (surah al-Ahzab [33]: 43). Merekalah yang layak mendapatkan syurga-Nya yang abadi. Mengapa? Kerana hanya orang mukmin yang sanggup menjadikan seluruh rezeki dan nikmat Allah SWT sebagai sarana untuk selalu taat dan ber-taqarrub kepada Allah SWT. Mereka gunakan rezeki dan nikmat Allah SWT untuk beribadah kepada-Nya, menafkahi keluarganya, berinfak di jalan-Nya, menolong orang- orang yang dalam kesulitan, bersedekah dan berwakaf untuk kepentingan Islam dan kaum muslim, dsb.
Merekalah mukmin yang sebenarnya, sebagaimana firman-Nya:
الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ – أُولَئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا لَهُمْ دَرَجَاتٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَمَغْفِرَةٌ وَرِزْقَ كَرِيمٌ
“Orang-orang yang menegakkan solat dan menginfakkan sebahagian rezeki yang telah Kami berikan kepada mereka, mereka itulah kaum mukmin yang sebenarnya. Mereka memiliki kedudukan yang tinggi di sisi Tuhan mereka, mendapatkan ampunan-Nya dan rezeki yang mulia.” (TMQ al-Anfal [8]: 3-4).
Wa mâ tawfîqî illâ bilLâh