[Nafsiyah] SUPAYA TIDAK MENYESAL DI AKHIR HAYAT
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
“Berbahagialah orang yang meninggalkan dunia sebelum dunia meninggalkannya, yang membina kuburnya sebelum memasukinya dan yang redha kepada Tuhannya sebelum bertemu denganNya.” [Yahya bin Muaz ar-Razi dalam An-Nawawi, Nasha’ih al-’Ibad, hal. 12].
Mengulas kenyataan di atas, Imam an-Nawawi menyatakan: Pertama, ‘meninggalkan dunia’ sebelum ‘dunia meninggalkannya’ bermaksud membelanjakan hartanya dalam pelbagai amal kebaikan sebelum Allah SWT mengambil harta itu daripadanya. Kedua, ‘membina kubur’ sebelum memasukinya bermakna memperbanyakkan amal soleh semasa di dunia supaya dapat merasai ketenangan di alam kubur apabila meninggal dunia. Ketiga, redha kepada Tuhannya sebelum bertemu denganNya ialah dengan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya sebelum menghadap Allah SWT untuk dipertanggungjawabkan atas segala perbuatannya.
Jika direnungi, kenyataan di atas sebenarnya amat mendalam maksudnya dan amat bernilai. Lebih-lebih lagi jika dikaitkan dengan realiti kehidupan umat Islam hari ini.
Pada masa ini, seperti yang kita lihat, ramai orang Islam hidup dengan selesa. Namun, ramai di antara mereka yang selesa itu membelanjakan hartanya untuk perkara yang kurang bermanfaat, malah untuk perkara-perkara maksiat. Tidak sedikit orang yang mudah membeli segelas kopi dengan harga berpuluh ringgit di hotel mewah, tetapi begitu sukar untuk menghabiskan beberapa ringgit untuk bersedekah. Ramai orang mudah berhabis ratusan malah ribuan ringgit untuk menyewa bilik di hotel berbintang selama beberapa malam sahaja, namun betapa sukarnya mereka menyumbang untuk dakwah atau membina masjid walaupun dengan jumlah yang sedikit.
Tidak sedikit yang bersaing membina rumah atau pangsapuri mewah walaupun sudah tentu hanya untuk tinggal sementara. Peliknya, mereka tidak sedikit pun berminat untuk bersaing ‘membina kubur mereka’ (baca: dengan memperbanyakkan amal soleh sebagai bekal di dalamnya). Padahal, alam kubur itulah yang akan mereka duduki, sebagai alam penantian, sebelum akhirnya hidup di alam akhirat yang kekal abadi.
Terdapat juga ramai manusia yang jarang melaksanakan perintah Allah SWT malah meninggalkan banyak laranganNya, seolah-olah mereka tidak pernah redha menerima semua itu daripada Tuhannya; seolah-olah mereka tidak akan bertemu denganNya pada Hari Akhirat nanti untuk dipertanggungjawabkan atas segala sikap dan perbuatan mereka semasa di dunia.
Oleh itu, marilah kita mengamalkan kata-kata Yahya bin Muaz ar-Razi di atas supaya kita tidak menyesal di akhir hayat.
Wa mâ tawfîqî illâ billâh wa ’alayhi tawakkaltu wa ilayhi unîb.