[NAFSIYAH] MENGHISAB DIRI SETIAP HARI
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
BAGINDA Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, sebagaimana dituturkan oleh Syaddad bin Aus RA, ”Orang yang cerdas adalah orang yang selalu mengendalikan hawa nafsunya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian.” (HR at-Tirmidzi).
Dikatakan bahawa di antara pengertian ”orang yang mengendalikan hawa nafsunya” (mân dâna nafsahû) dalam hadis di atas adalah orang yang sentiasa menghisab dirinya di dunia sebelum dirinya dihisab pada Hari Kiamat. Terkait dengan hadis ini, Umar bin al-Khattab RA pernah berkata, ”Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab oleh Allah SWT kelak. Bersiaplah menghadapi Hari Perhitungan yang amat dahsyat. Sesungguhnya hisab pada Hari Kiamat akan terasa ringan bagi orang yang selalu menghisab diri ketika di dunia.” (Lihat: Al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwadzi bi Syarh Jamî’ at-Tirmidzi).
Terkait itu, baginda Nabi Muhammad SAW, misalnya, pernah semalaman tidak dapat tidur kerana khuatir memikirkan sebutir kurma—hanya sebutir kurma—yang terlanjur beliau makan di suatu tempat. Disebabkan itu, beliau asyik berfikir bahawa kurma itu mungkin bahagian dari kurma sedekah yang disediakan untuk fakir-miskin. Itulah yang menjadi beban fikiran beliau semalaman.
Diriwayatkan pula, pada zaman Khalifah Uthman bin Affan RA, seorang Anshar sedang solat di tengah-tengah kebunnya. Lalu pandangannya tertuju pada buah-buahan ranum yang bergantungan di dahan-dahan pepohonan. Usai solat, dia pun menyesal. Dia lalu segera mewakafkan kebun miliknya itu demi ‘menebus’ kesalahannya (Imam Malik, Al-Muwaththa’).
Dua fragmen di atas mungkin bagi kita umpama kisah-kisah ’manusia langit’ yang seolah-olah mustahil untuk kita teladaninya. Anggapan itu sebenarnya hanyalah menunjukkan, bahawa kita benar-benar sudah sangat jauh dengan keteladanan baginda Nabi SAW dan generasi salafush-shalih. Mengapa? Kerana mungkin—salah satunya—kita jarang melakukan muhâsabah. Atau walaupun mungkin kita ada melakukan muhâsabah, mungkin itu kita hanya lakukan setahun sekali, saat pergantian tahun atau saat ’berulang tahun’, atau mungkin saat terkena musibah. Sedangkan dosa dan kemaksiatan kita lakukan setiap hari, bahkan mungkin setiap waktu. Sudah tentu, semua dosa dan kemaksiatan itu sangat mudah kita lupakan, kerana muhâsabah setahun sekali tak mungkin dapat mengenalpasti seluruh dosa setiap hari, apatah lagi dosa yang dilakukan di setiap waktu. Dosa setiap hari atau setiap waktu hanya akan mudah dikenalpasti jika kita melakukan muhâsabah setiap hari atau setiap waktu.
Wa mâ tawfîqî illâ billâh wa ’alayhi tawakkaltu wa ilayhi unîb.