KEJUJURAN DALAM KERJA
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi | Pakar Fiqh Mu’amalah
Jujur dalam Islam
Pengertian jujur adalah:
الصِّدْقُ هوَ مُطابَقَةُ الكَلامِ لِلْوَاقِعِ بِحَسَبِ اعْتِقادِ المُتَكَلِّمِ
“Jujur adalah kesesuaian perkataan dengan faktanya, sesuai keyakinan orang yang berkata.” (Rawwas Qal’ah Jie, Mu’jam Lughat al-Fuqoha`, hlm. 243).
Orang yang jujur disebut ash-shādiq (الصَّادِقُ), dan orang yang sangat jujur (sebagai shighat mubalaghah, iaitu bentuk kata untuk menunjukkan “sangat”), disebut dengan ash-shiddīq (الصِّدِّيْقُ).
Jujur hukum asalnya wajib dalam Islam, sesuai dalil-dalil syarie yang memerintahkan muslim berkata jujur, seperti firman Allah SWT:
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اتَّقُوا اللّٰهَ وَكُوْنُوْا مَعَ الصّٰدِقِيْنَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah, dan bersamalah kamu dengan orang-orang yang benar (jujur).” [TMQ At-Taubah (9): 119]
Rasulullah SAW bersabda:
عَلَيْكُمْ بِالصِّدْقِ, فَاِنَّهُ مَعَ البِرِّ وَهُمَا فِى الْجَنَّةِ, وَاِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ فَاِنَّهُ مَعَ الْفُجُوْرِ وَهُمَافِى النَّار
“Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya akan berada di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kederhakaan (tidak taat), dan keduanya di neraka.” (HR Ibnu Hibban).
Rasulullah SAW bersabda:
عَلَـيْكُمْ بِـالصِّدْقِ فَاِنَّ الصِّدْقَ يَـهْدِى اِلىَ اْلبِرِّ وَ اْلبِرُّ يَـهْدِى اِلىَ اْلجَنَّةِ. وَ مَا يَزَالُ الـرَّجُلُ يَصْدُقُ وَ يَـتَحَرَّى الصِّدْقَ حَتَّى يُكْـتَبَ عِنْدَ اللهِ صِدِّيـْقًا. وَ اِيـَّاكُمْ وَ اْلكَذِبَ فَاِنَّ اْلكَذِبَ يَـهْدِى اِلىَ اْلفُجُوْرِ وَ اْلفُجُوْرُ يَـهْدِى اِلىَ النَّارِ. وَ مَا يَزَالُ اْلعَبْدُ يَكْذِبُ وَ يَـتَحَرَّى اْلكَذِبَ حَتَّى يُكْـتَبَ عِنْدَ اللهِ كَـذَّابـًا
“Wajib bagi kalian untuk jujur, kerana sesungguhnya jujur itu membawa pada kebaikan dan kebaikan itu membawa ke syurga. Dan seseorang senantiasa jujur dan memilih kejujuran sehingga dicatat di sisi Allah sebagai orang yang sangat jujur. Dan takutlah kalian dari dusta, kerana sesungguhnya dusta itu membawa kepada kederhakaan, dan derhaka itu membawa ke neraka. Dan seseorang sentiasa berdusta dan memilih berdusta sehingga dicatat di sisi Allah sebagai orang yang banyak berdusta (kadzdzāb).” (HR Bukhari dan Muslim).
Ada perkecualian dari kewajipan jujur ini, iaitu dibolehkan berbohong dalam tiga perkara yang disebut dalam dalil-dalil hadis.
Di antaranya hadis Ummu Kultsum RA berikut ini:
عنَ أُمَّ كُلْثُومٍ بِنْتَ عُقْبَةَ بْنِ أَبِى مُعَيْطٍ أَنَّهَا سَمِعَتْ رَسُولَ اللَّهِ –صلى الله عليه وسلم– وَهُوَ يَقُولُ «لم أسمَعْ رسولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ يرخَّصُ في شيءٍ مِمَّا يقولُ النَّاسُ إنَّه كذِبٌ إلَّا في ثلاثٍ : الرَّجلُ يُصلِحُ بينَ النَّاسِ والرَّجُلُ يكذِبُ لامرأتِهِ والكذِبُ في الحَربِ
Dari Ummu Kultsum binti ‘Uqbah bin ‘Abi Mu’aythin, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidak aku dengar Rasulullah memberi rukhshah (keringanan) dalam sesuatu yang dikatakan manusia sebagai kebohongan, kecuali dalam tiga keadaan; seseorang membaiki hubungan antara manusia, seorang suami yang berbohong kepada isterinya, dan berbohong dalam perang.” (HR Abu Dawud, An-Nasa`i, dan Ahmad. Hadis sahih).
Jujur Dalam Bekerja
Jujur diwajibkan oleh Islam ketika seorang muslim bekerja, namun disyaratkan pekerjaan itu adalah pekerjaan yang halal, bukan pekerjaan yang haram.
Jika seorang muslim melakukan pekerjaan yang haram, lalu dia bekerja secara jujur dalam pekerjaan haram itu, maka akhlak kejujuran itu tidak ada maknanya dan tidak ada pahalanya.
Dengan kata lain, kejujuran itu ada konteks-nya, iaitu ketika seorang muslim melakukan pekerjaan yang halal.
Jadi, wajib hukumnya seorang muslim bekerja dengan jujur ketika dia melakukan pekerjaan yang halal dalam syariah Islam.
Contohnya jujur ketika seorang muslim menjadi petugas pemungut zakat dalam Islam.
Untuk apa jujur tapi dalam rangka melakukan perbuatan yang haram?
Contoh yang ekstrem ialah, kenapa perlu jujur jika seorang muslim bekerja sebagai bendahari yang jujur dalam sindiket dadah, atau bendahari yang jujur dalam kumpulan samun, atau pekerja bank yang jujur semasa mengira jumlah faedah bank, atau pegawai cukai yang jujur ketika mengira jumlah cukai yang diharamkan syariah?
Jadi, akhlak semata, seperti jujur sesungguhnya tidaklah bermakna, jika tidak diletakkan dalam konteks yang benar, iaitu dalam rangka melaksanakan pekerjaan yang halal menurut syariah Islam.
Dengan demikian, jujur dalam melakukan pekerjaan yang haram, hukumnya menjadi haram juga, kerana jujur itu adalah sifat akhlak yang hukumnya tidak berdiri sendiri, melainkan mengikuti perbuatan pokoknya yang sudah diharamkan syariah.
Wallāhu a’lam.