[NAFSIYAH] AWAS, HARTA HARAM!
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
SUATU ketika, kerana sangat lapar, Abu Bakar ash-Siddiq segera menyambar dan memakan makanan yang dihidangkan oleh hambanya. Ini sudah tentu di luar kebiasaannya yang sentiasa berhati-hati tentang makanan halal. Selepas beberapa suapan makanan masuk ke dalam mulutnya, kemudian ke kerongkong dan terus ke arah perutnya, tiba-tiba dia sedar. Dia kemudian bertanya kepada hambanya, “Dari mana datangnya makanan ini?” Hambanya menjawab, “Sebelum saya masuk Islam, saya pernah mendatangi seorang dukun. Semalam saya jumpa dia, kemudian dia menghadiahkan saya makanan ini.”
Mendengar itu, Abu Bakar ash-Shiddiq terperanjat. Spontan, dia kemudian meletakkan jarinya di kerongkong. Dia cuba memuntahkan semula makanan yang dimakannya tadi. Serta-merta keluar semua isi perutnya, tiada yang tinggal (HR al-Bukhari).
Pengajaran apa yang dapat kita petik dari kisah di atas? Satu hal yang pasti, Abu Bakar RA adalah salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang dijamin masuk syurga. Kebimbangannya yang besar terhadap perkara-perkara yang meragukan sudah tentu mencerminkan ketakwaannya sebagai ahli syurga.
Bagaimana dengan kita? Sayang, perkara-perkara syubhat, bahkan haram, khususnya menyangkut bagaimana memperoleh ‘sesuap makanan’ (baca: muamalah), justeru tak banyak difahami oleh kaum muslim. Kalaupun sebahagian muamalah haram itu sudah difahami dan mungkin ditinggalkan—seperti riba—sebahagian besar muamalah yang lain masih banyak tidak difahami sehingga masih banyak dilakukan. Seolah-olah, dosa muamalah hanyalah riba. Sedangkan selain riba, muamalah seperti insurans, koperasi, bursa saham, kredit konvensional yang melibatkan institusi pajakan, perkongsian perniagaan kapitalis dan sebagainya adalah antara muamalah yang batil. Sayang, semua itu masih banyak dilakukan oleh umat Islam. Dan sudah pasti bentuk-bentuk muamalah yang batil ini haram/dosa. Dan dosa hanya akan memasukkan pelakunya ke dalam azab api neraka. Tidakkah kita merasa takut?
Lalu bagaimana dengan sabda Rasul SAW berikut yang mengkhabarkan kita tentang betapa dahsyatnya azab akhirat:
إِنَّ أَهْوَنَ أَهْلِ النَّارِ عَذَابًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ لـرَجُلٌ تُوضَعُ عَلَى أَخْمَصِ قَدَمَيْهِ جَمْرَتَانِ، يَغْلِى مِنْهُمَا دِمَاغُهُ
“Sesungguhnya seksaan paling ringan yang dialami penduduk neraka pada Hari Kiamat nanti adalah sebagaimana yang dirasakan oleh seseorang yang diletakkan di bawah kedua telapak kakinya kerikil neraka, dan hal itu menjadikan otaknya menggelegak.” (HR al-Bukhari).
Na’dzu bilLâhi min dzâlik.
Wa mâ tawfîqî illâ billâh wa ’alayhi tawakkaltu wa ilayhi unîb