[Seputar Gerakan Islam] Tahapan Dakwah Rasulullah SAW (Bahagian 2/2)
[Sambungan dari Bahagian 1/2]
Bermacam-macamnya harakah dakwah Islam, perbezaan mereka, bahkan kadang terpecahnya mereka tidak lain kerana tidak adanya kejelasan terhadap metode perjuangan dan keterikatan pada sirah Nabi SAW dalam masalah ini. Sesungguhnya kejelasan metode (kaedah/cara) merupakan sebab utama bagi keberhasilan yang diidamkan. Begitu juga kejelasan fikrah (pemikiran/idea) dan tujuan.
Oleh kerana itu, saya akan mencurahkan daya dan usaha untuk menjelaskan metode tersebut dan menerangkan secara jelas melalui penelaahan yang saya lakukan. Hal itu boleh diringkaskan sebagai berikut:
Pertama, wahyu mula turun kepada Rasulullah SAW yang berlaku pada bulan Ramadan, bersamaan dengan Ogos 610 Masihi ketika ia turun keseluruhannya ke langit dunia.
Kedua, tempoh dakwah pada zaman Rasul SAW terbahagi kepada dua fasa iaitu zaman Mekah yang berlangsung tiga belas tahun dan zaman Madinah yang berlangsung sepuluh tahun.
Ketiga, fasa Mekah berjalan dalam tahapan-tahapan berikut:
- Tahapan pertama adalah tahapan rahsia, yakni tahapan dakwah secara rahsia dan berlangsung selama tiga tahun.
- Tahapan selanjutnya adalah tahapan dakwah secara terang-terangan dan penyampaian dakwah kepada penduduk Mekah. Tahapan ini menghabiskan sebahagian besar waktu pada fasa Mekah. Tahapan ini bermula pada awal tahun keempat kenabian dan berlanjutan hingga akhir tahun kesepuluh. Tahapan ini bermula ketika Allah memerintahkan Rasul-Nya untuk menonjolkan agama-Nya. Allah SWT berfirman, “Sampaikanlah olehmu secara terang-terangan apa saja yang telah diperintahkan kepadamu dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik.” (TMQ Al-Hijr: 94).
Juga dalam firman-Nya yang lain, “Berilah peringatan kerabat-kerabatmu yang terdekat dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang mukmin.” (TMQ Asy- Syu’ara: 214—215).
Dengan berpegang pada firman Allah SWT tersebut, Rasul SAW naik ke bukit Safa, lalu berseru dengan suara lantang, “Wahai Bani Abdul Muthallib, wahai Bani Fibr, wahai Bani Kaab, bagaimana pendapat kalian jika aku memberitahu kalian bahawa sepasukan bersenjata di balik bukit ini ingin menyerang kalian, apakah kalian membenarkan aku?” Mereka berkata, “Ya, tentu saja.” Rasul lalu menyeru mereka, “Kalau begitu, aku memperingatkan kalian di hadapan azab yang pedih.” Kaum itu diam. Akan tetapi, Abu Lahab berkata, “Celakalah engkau sepanjang hari. Apakah hanya untuk ini engkau mengumpulkan kami?”
- Tahapan terakhir adalah tahapan dakwah keluar Makkah al-Mukarramah. Tahapan ini bermula pada akhir tahun kesepuluh kenabian hingga hijrah Nabi SAW yang penuh berkah ke Madinah al-Munawarah.
Sumber: Muhammad Said Abu Za’rur, Seputar Gerakan Islam.