[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagan 3/22)
Turunlah firman Allah SWT, “Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan memang ia pasti binasa.” (TMQ Al-Masad: 1).
Terdapat banyak riwayat mengenai seruan Rasul SAW kepada orang-orang Quraisy di bukit Safa. Akan tetapi, yang paling penting dalam masalah ini adalah bahawa seruan ini dilakukan secara terang-terangan. Hal itu sebagai pelaksanaan firman Allah SWT, “Berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat.” (TMQ Asy-Syu’ar’: 214).
Sesungguhnya seruan Rasul SAW memuat seruan kepada orang-orang Quraisy dan Kaab untuk menyelamatkan mereka dari api neraka. Rasul menjelaskan bahawa beliau tidak memiliki sesuatu pun untuk menyelamatkan mereka dari azab Allah Taala.
Peringatan dan seruan tersebut belum bergemuruh di Makkah al-Mukarramah hingga turun firman Allah SWT, “Sampaikanlah olehmu secara terang-terangan semua yang diperintahkan kepadamu dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik.” (TMQ Al-Hijr: 94).
Setelah itu, Rasul SAW mula menyerang kemusyrikan, melecehkan penyembahan berhala, menjelik-jelikkan tuhan-tuhan selain Allah, dan menjelaskan kesesatan amalan penyembahan berhala tersebut. Hal itu merupakan serangan yang amat keras kepada orang-orang Quraisy sejak dari akarnya.
Perkara itu bagaikan suara petir bagi mereka. Orang Quraisy memahami bahaya seruan Muhammad yang demikian bagi mereka dan bagi para pembesar Quraisy. Mereka juga menyedari sejauh mana pengaruh seruan Muhammad itu terhadap kepemimpinan mereka atas orang-orang Arab yang diwarnai dengan celupan keagamaan. Oleh kerana itu, orang- orang Qaraisy (para pembesar Quraisy) bersikap menentang dan mendebat dakwah Muhammad SAW.
Setelah melakukan pengkajian dan serangkaian pemikiran, mereka menawarkan suatu tawaran kepada bapa saudara beliau, iaitu Abu Talib. Mereka menuntut Abu Talib agar menyelesaikan perkara yang terjadi di antara mereka (orang-orang Quraisy) dengan Muhammad. Akan tetapi, Abu Talib menolak permintaan mereka dengan suatu penolakan yang bagus.
Dia berkata kepada mereka dengan kata-kata yang lembut, lalu mereka kembali. Oleh kerana itu, Rasul SAW dapat terus melakukan dakwah menyeru manusia, mengajak mereka kepada agama Allah, dan menyampaikan kebenaran.
Ketika dakwah secara terang-terangan ini baru berjalan dalam waktu yang tidak terlalu lama hingga dekat datangnya musim haji, maka orang-orang Quraisy bimbang orang-orang Arab akan menerima agama Islam. Oleh kerana itu, mereka memandang bahawa mereka perlu memiliki suatu perkataan yang akan mereka katakan kepada orang-orang Arab berkenaan dengan diri Muhammad SAW.
Seteleh melalui musyawarah, diskusi, dan perdebatan, mereka mengambil keputusan akan mengatakan kepada orang-orang Arab bahawa Muhammad itu adalah seorang penyihir yang kata-katanya dapat memisahkan seseorang dengan suaminya, seseorang dengan bapanya, seseorang dengan saudaranya, dan seseorang dengan keluarganya.
Mereka benar-benar melaksanakan keputusan mereka itu dengan menyampaikannya kepada manusia dan tidak terkecuali pada musim haji. Orang-orang Quraisy memperingatkan mereka (yakni orang orang Arab) agar tidak mendekati dan mendengarkan Muhammad, serta mereka menyebutkan perkara Muhammad SAW.
Abu Jahal adalah orang yang paling bersunggguh-sungguh melakukannya. Dia selalu mengintai di belakang Nabi SAW ketika Nabi SAW menyeru manusia pada penyembahan kepada Allah Yang Esa. Abu Jahal berkata kepada mereka, “Janganlah kalian mentaatinya kerana dia tidak lain adalah orang yang telah keluar dari agama dan seorang pendusta.”
Hal itu menyebabkan tersebarnya perkara (agama) Rasul sehingga beliau disebut-sebut di seluruh Arab.
Sumber: Muhammad Said Abu Za’rur, Seputar Gerakan Islam.