[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagian 4/22)
[Sambungan dari Bahagian 3/22]
Tatkala Quraisy melihat bahawa Muhammad terus berjalan di jalannya, sama sekali tidak menghentikan dakwahnya, dan tidak berpaling sedikit pun dari jalannya, maka mereka sekali lagi berfikir keras dan bertekad untuk menentang dan membenamkan dakwah Muhammad dengan berbagai cara. Syeikh Shafiy ar-Rahman al-Mubarakfuri telah meringkasnya di dalam bukunya, Ar-Rabiq al-Makhtûm, menjadi empat cara yang secara ringkas sebagai berikut:
Pertama, mengejek, menghina, mengolok-olokkan, mendustakan, dan melecehkan Rasul SAW Mereka juga menuduh beliau sebagai penyihir dan gila, serta melecehkan para sahabat Rasul SAW
Kedua, memburuk-burukkan dan membangkitkan keragu-raguan terhadap ajaran beliau. Mereka juga melakukan propaganda dusta, menyifatkan Al-Quran sebagai dongengan orang-orang terdahulu, sebagai kebohongan yang diada-adakan, dan bahawa Rasul menerimanya daripada manusia yang mengajarkannya kepada beliau.
Ketiga, menentang Al-Quran dengan menyebutnya sebagai dongengan orang-orang terdahulu. Mereka juga mendorong manusia untuk menyibukkan diri menentang Al-Quran. Di antaranya adalah Nadhr bin al-Harits. Dia pergi ke Hirah untuk mempelajari kata-kata raja-raja Parsi, perkataan Rustum, dan Asfandiyar.
Ketika Rasul SAW mengadakan suatu pertemuan untuk mengingatkan kepada Allah dan mengingatkan akan seksa-Nya, maka An-Nadhr berada di belakang beliau. Dia berkata, “Demi Allah, kata-kata Muhammad tidaklah lebih bagus daripada perkataanku. Kemudian dia mengucapkan perkataan raja-raja Parsi, perkataan Rustum, dan yang lainnya. Dia juga berkata, “Dengan apa perkataan Muhammad boleh lebih baik daripada perkataanku?”
Di antara cara-cara yang dilakukan An-Nadhr adalah dia membeli hamba-hamba wanita penyanyi. Tidaklah dia mendengar seseorang cenderung kepada Muhammad, kecuali dia akan menghadiahkan satu orang hamba sahaya wanita penyanyi. Dia pun mencukupi orang itu dengan makanan dan minuman. Hamba sahaya wanita itu akan bernyanyi untuk orang tersebut hingga tidak tersisa lagi kecenderungannya kepada Islam.
Berkaitan dengan ini, turunlah firman Allah SWT, “Di antara manusia ada orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu sebagai olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.” (TMQ Luqman: 6).
Keempat, memberikan beberapa bentuk penawaran. Mereka berusaha mempertemukan Islam dengan kejahiliahan di tengah jalan. Mereka menyatakan bahawa orang-orang musyrik sedia meninggalkan sebahagian yang ada pada diri mereka, dengan syarat Nabi SAW pun meninggalkan sebahagian yang ada pada diri beliau.
Terdapat riwayat daripada Ibnu Jarir dan Ath-Thabrani yang bermakna bahawa orang-orang musyrik memberikan penawaran kepada Rasul SAW agar beliau menyembah tuhan-tuhan mereka satu tahun, lalu mereka akan menyembah Tuhan beliau. Dalam riwayat lain oleh Al-‘Abd bin Humayd yang bermakna bahawa mereka berkata kepada Rasul SAW, “Jika engkau menerima tuhan-tuhan kami, kami akan menyembah Tuhanmu.”
Ibnu Ishaq meriwayatkan dengan sanadnya, bahawa Aswad bin Abdul-Mutthalib bin Asad bin Abdul-‘Uzâ, Walid bin al-Mughirah, Umayyah bin Khalaf, dan Al-‘Ash bin Wa’il menawarkan Rasul SAW yang sedang tawaf mengelilingi Kaabah. Mereka berkata, “Muhammad, ke marilah. Kami mahu menyembah apa yang kamu sembah, tetapi engkau pun perlu menyembah apa yang kami sembah sehingga kita dapat saling bekerjasama dalam satu urusan. Jika apa yang engkau sembah ternyata lebih baik daripada apa yang kami sembah, kami sedia melepaskan bahagian kami. Akan tetapi, jika ternyata apa yang kami sembah lebih baik daripada yang engkau sembah, engkau hendaklah meninggalkan bahagianmu.”
Namun, Allah SWT kemudian menurunkan surah Al-Kafirun, “Katakanlah, ‘Hai orang-orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kalian sembah. Kalian pun bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kalian sembah. Kalian pun tidak pernah menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untuk kalian agama kalian dan untukkulah agamaku.’” (TMQ Al-Kafirun: 1—6).
Ketika orang-orang Quraisy melihat bahawa cara-cara tersebut ternyata tidak berhasil, mereka lalu mengadakan pertemuan sekali lagi. Mereka merupakan jawatankuasa yang beranggotakan 25 orang, terdiri daripada para pembesar Quraisy dengan dipimpin oleh Abu Lahab. Mereka membicarakan Rasul SAW.
Setelah bermusyawarah dan berfikir, jawatankuasa tersebut mengambil keputusan yang tekad untuk menentang Rasul SAW dan para sahabat beliau. Mereka tidak akan mengendurkan tekad mereka untuk memerangi Islam dan menyeksa Rasul-Nya dan mereka yang memeluk Islam. Mereka akan menentang dengan pelbagai taktik dan kaedah.
Mereka mengambil keputusan itu dan membulatkan tekad untuk melaksanakannya sekalipun Rasul SAW berada di bawah perlindungan Abu Thalib.
Sumber: Muhammad Said Abu Za’rur, Seputar Gerakan Islam.