[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagian 7/22)
[Sambungan dari Bahagian 6/22]
Rasul SAW menetapkan Darul Arqam sebagai tempat berkumpul dan markas dakwah beliau. Tempat itu sekaligus dijadikan tempat beliau mengadakan pertemuan dengan kaum muslim. Dari sini mungkin untuk dikatakan bahawa kaum muslim berkelompok secara rahsia dan dengan pengertian yang lain bahawa dakwah dilakukan dengan terang-terangan, sedangkan takattul (kelompok)nya rahsia .
Rasul SAW berdakwah dan beribadah dengan terang-terangan. Tidak ada sesuatu pun yang memalingkan Rasul daripada melakukan hal itu. Demikian juga halnya sebahagian sahabat. Tatkala orang-orang Quraisy makin bersemangat dalam memburuk-burukkan Rasul, orang- orang musyrik melakukan pelbagai bentuk seksaan dan penentangan terhadap kaum muslim. Begitu beratnya seksaan yang menimpa Rasulullah SAW dan para sahabat yang mulia.
Kemudian turunlah firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar yang mengisyaratkan untuk hijrah. Ayat tersebut juga menjelaskan bahawa bumi Allah itu luas bagi orang-orang yang berbuat baik di dalam kehidupan dunia.
Allah SWT berfirman, “Katakanlah, ‘Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhan kalian.’ Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Bumi Allah itu luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (TMQ Az-Zumar: 10).
Oleh kerana itu, Rasulullah SAW memerintahkan sebahagian sahabat agar hijrah ke Habsyah (Ethiopia). Hal itu kerana Rasulullah SAW mengetahui bahawa Ashhamah an-Najasi, Raja Habsyah (Ethiopia), adalah seorang raja yang adil.
Sebahagian sahabat lalu hijrah ke Habsyah untuk menyelamatkan agama mereka. Hal ini terjadi pada tahun ke lima setelah kenabian. Mereka adalah kelompok pertama yang berhijrah ke negeri Habsyah. Mereka terdiri dari 12 lelaki dan empat orang wanita dengan pemimpin Uthman bin Affan. Isterinya ikut bersama Uthman ra., yakni Ruqayyah, puteri Rasulullah.
Di tengah makin kencangnya bencana, seksaan, dan penentangan, rombongan para sahabat yang kedua hijrah ke Habsyah, iaitu sebanyak lapan puluh tiga lelaki dan lapan belas wanita.
Orang-orang musyrik sangat marah jika orang Islam mendapat sambutan dan tempat yang selamat untuk diri dan agama mereka di Habsyah. Kerana itu, mereka menghantar Amr bin al-‘Ash dan Abdullah bin Rabi’ah—pada masa itu mereka belum memeluk Islam—untuk menentang orang Islam di hadapan Raja Habsyah.
Pada masa itu para uskup Habsyah mempunyai keyakinan akan pentingnya mengusir kaum Muhajirin. Kemudian mereka mengusulkan hal itu kepada Najasyi. Akan tetapi, Najasyi mendengarkan hujah dari kedua kelompok (yakni utusan Quraisy dan kelompok kaum muslim) yang berakhir dengan kembalinya dua orang utusan orang-orang musyrik dalam keadaan terhina.
Semua yang dikedepankan oleh kedua-dua utusan itu tertolak. Akhirnya, di sisi Najasyi, kaum muslim mendapat tempat tinggal dan tetangga yang baik sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah.
Dengan demikian, orang-orang musyrik telah gagal. Makar mereka juga telah gagal sepenuhnya. Hal itu menyebabkan kemarahan mereka makin meluap-luap. Mereka berpandangan bahawa satu-satunya jalan untuk menghentikan Muhammad SAW dan dakwahnya secara sempurna tidak lain adalah dengan membunuhnya.
Kemudian para pembesar Quraisy datang kepada bapa saudara Rasul, iaitu Abu Thalib. Mereka berkata kepadanya, “Hai Abu Thalib, sesungguhnya engkau adalah orang yang paling tua, terhormat, dan berkedudukan tinggi di tengah kami. Kami sudah pernah memintamu untuk menghentikan anak saudaramu, tetapi engkau tidak menghentikannya. Demi Allah, kami tidak dapat bersabar lagi atas hal ini kerana dia telah mencaci nenek moyang kami, membodoh-bodohkan harapan-harapan kami, dan mencela tuhan-tuhan kami, kecuali engkau menghentikannya atau kami akan melenyapkannya. Engkau (memiliki pilihan) dalam hal ini sampai salah satu dari kedua pihak binasa.”
Peringatan dan ancaman ini berpengaruh kepada Abu Thalib. Dia kemudian memanggil Nabi SAW dan berkata kepada beliau, “Anakku, sesungguhnya kaummu telah mendatangiku dan mereka berkata kepadaku begini dan begitu. Oleh kerana itu, hentikanlah (dakwahmu) demi (keselamatan) diriku dan dirimu sendiri. Janganlah engkau membebaniku sesuatu yang tidak sanggup aku pikul.”
Rasul SAW menduga bahawa bapa saudara beliau akan mengabaikan beliau dan lemah (tidak mampu) menolongnya. Rasul SAW lalu berkata kepada bapa saudaranya, “Bapa saudara, demi Allah, seandainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan rembulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan urusan dakwah ini, aku tidak akan meninggalkannya hingga Allah memenangkannya atau aku binasa kerananya.”
Mendengar hal itu, bapa saudara beliau bercucuran air mata, lalu bangkit. Ketika Nabi SAW hendak beranjak, Abu Thalib memanggil beliau. Saat beliau menghadap ke arahnya, Abu Thalib berkata kepada beliau, “Pergilah, anakku dan katakan apa yang engkau sukai. Demi Allah, aku tidak akan menyerahkanmu pada sesuatu pun selamanya.”
Kemudian dia bersyair, “Demi Allah, mereka tidak akan mampu menjamahmu hingga aku terbujur kaku dalam kuburku. Tampakkanlah urusanmu. Jangan kau kurangi. Pilihlah apa yang kau sukai.”
Sumber: Muhammad Said Abu Za’rur, Seputar Gerakan Islam.