[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagian 6/22)
[Sambungan dari Bahagian 5/22]
Umayyah bin Khalaf al-Jamhi mengikatkan tali ke leher Bilal bin Rabbah, lalu menyerahkannya kepada kanak-kanak untuk dibawa mengelilingi sebuah bukit di Mekah. Umayyah mengikatnya dengan sangat ketat, lalu memukulnya dengan tongkat.
Dia memaksanya untuk duduk di bawah terik matahari dalam kelaparan. Ketika matahari tepat di tengah, dia mengeluarkan Bilal ke padang pasir di Mekah. Dia meminta sebuah batu besar, lalu meletakkannya di dada Bilal.
Da kemudian berkata, “Tidak, demi Allah, kamu tetap begitu hingga mati, atau kamu mengingkari Muhammad dan menyembah Latta dan Uzza.” Bilal, dalam keadaan seperti itu, hanya berkata, “Ahad, ahad.” Keadaan itu terus berlangsung sehinggalah Abu Bakar lalu. Dia segera membeli Bilal daripada tuannya, Umayyah bin Khalaf, lalu memerdekakannya.
Ammar bin Yasir ra., hamba Bani Makhzum, masuk Islam berserta bapa dan ibunya. Orang-orang musyrik yang dipimpin oleh Abu Jahal menyeret mereka ke tengah padang pasir yang panas membara dan menyeksa mereka dengan sesuka mereka. Rasul SAW kebetulan lalu ketika mereka sedang diseksa, lalu beliau bersabda, “Sabarlah, wahai keluarga Yasir. Sesungguhnya tempat yang dijanjikan bagi kalian adalah syurga.”
Yasir meninggal dunia ketika diseksa. Kemudian Abu Jahal menikam Sumayyah (ibu ‘Ammar) dengan tombak di duburnya hingga meninggal dunia. Seksaan terhadap Ammar bin Yasir makin keras. Dia dibiarkan terbakar matahari padang pasir. Kadang diletakkan batu di dadanya atau diseksa dengan bentuk seksaan yang lain.
Mereka berkata, “Kami tidak akan melepasmu hingga engkau mencela Muhammad atau engkau mengatakan yang baik-baik tentang Latta dan Uzza.” Ammar pun memenuhi hal itu dengan terpaksa. Kemudian dia datang kepada Nabi SAW seraya menangis dan meminta maaf. Setelah itu turunlah firman Allah SWT, “Siapa saja yang mengingkari Allah SWT sesudah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir, padahal hatinya tetap tenang dalam keimanannya (dia tidak berdosa). Akan tetapi, orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar.” (TMQ An-Nahl: 106).
Abu Fakihah, nama aslinya Aflah, maula Bani ‘Abd ad-Dar, mengikat kakinya dengan tali, lalu menyeretnya di atas tanah. Sebagaimana Khabab bin al-Arat, maula Ummu Anmar binti Siba’ al-Khuza’iyyah, orang-orang musyrik menimpakan berbagai macam seksaan kepadanya. Mereka mencengkam rambutnya, kemudian membantingnya ke tanah beberapa kali. Mereka juga mengikatkan tali ke lehernya dan menelentangkannya di atas tanah pasir yang panas. Kemudian mereka meletakkan batu di atas dadanya hingga Khabab tidak mampu berdiri lagi.
Zinnirah, Nahdiyah, dan puterinya, juga Ummu ‘Ubays adalah termasuk wanita-wanita hamba sahaya yang masuk Islam. Orang-orang musyrik menimpakan berbagai macam seksaan kepada mereka sebagaimana kepada orang lemah lainnya.
Seorang hamba sahaya wanita Bani Muwa’al masuk Islam. Umar bin al-Khattab yang ketika itu masih musyrik memukulnya hingga dia terhuyung-hayang. Umar lalu berkata, “Aku tidak akan meninggalkanmu, kecuali terhuyung-hayang.”
Orang-orang musyrik mengikat sebahagian sahabat di tempat pengikat unta dan lembu, lalu melemparkan mereka di pasir yang menyengat. Orang-orang musyrik juga mengenakan pakaian besi pada sebahagian sahabat, lalu mereka ditelentangkan di padang pasir yang panas.
Orang-orang musyrik tidak membiarkan seorang pun yang mereka ketahui keIslamannya, kecuali mereka berpaling darinya, mengganggunya, dan menyeksanya. Keadaan mereka yang diseksa itu sangat kasihan dan memilukan. Hanya saja, Rasul dan para sahabat beliau daripada kaum muslim, lelaki dan perempuan, tetap berpegang teguh pada Islam.
Mereka menanggung seksaan itu. Mereka bersabar atas semua seksaan itu kerana mereka mengharap keredhaan dan pahala Allah Taala. Sikap mereka itu merupakan kegigihan untuk masuk syurga yang dijanjikan-Nya bagi orang-orang bertakwa.
Para pembaca yang mulia hendaknya memperhatikan bahawa kami memaparkan sebahagian contoh bentuk-bentuk seksaan yang menimpa Rasul yang mulia dan kaum muslim yang terdahulu ketika masuk Islam walaupun secara ringkas. Hal itu hanya untuk memperkuatkan bahawa Rasul SAW dan para sahabat beliau yang mulia sama sekali tidak melakukan aktiviti fizikal untuk menghilangkan gangguan daripada mereka dan untuk menghalang seksaan atas mereka.
Sesungguhnya sebahagian mereka memiliki kemampuan untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat mencegah gangguan ke atas mereka, semisal Umar bin al-Khattab dan selainnya. Hal itu kerana mereka belum diperintahkan sedikitpun untuk melakukannya.
Di tengah seksaan dan penentangan ini, Rasul yang mulia berpendapat untuk mengumpulkan kaum muslim secara rahsia dan melarang kaum muslim menampakkan keIslaman mereka. Kemudian para sahabat pada umumnya menyembunyikan keIslaman mereka, ibadah mereka, dan dakwah mereka.
Sumber: Muhammad Said Abu Za’rur, Seputar Gerakan Islam.