[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagian 13/22)
[Sambungan dari Bahagian 12/22]
Kita hendaknya tidak takut terhadap celaan orang-orang yang suka mencela. Kezaliman, kediktatoran, dan kesewenang-wenangan hendaklah tidak menggelincirkan kita dari aktiviti yang sungguh-sungguh, serta dari mengambil bahagian dalam menolong agama ini dan melanjutkan kehidupan Islam.
Ancaman dan tekanan hendaklah tidak menghentikan kita. Pengawasan, pengintipan, dan penangkapan secara tiba-tiba hendaklah tidak memalingkan kita. Sebabnya, Allah bersama kalian dalam perjuangan agama kalian, wahai para pengemban dakwah.
Dunia itu fana dan syurga Allah sedang menunggu kalian. Allah tidak akan pernah sekali-kali menyalahi janji-Nya kepada kalian. Sesungguhnya Allah tidak akan pernah menyalahi janji.
Dari sini mungkin dijelaskan gambaran fasa ini sebagai berikut:
- Terang-terangan dalam berdakwah, rahsia dalam aspek takattul (kelompok).
- Teguh dalam dakwah, sanggup menanggung berbagai kesukaran dan seksaan, serta tidak tunduk pada tawar-menawar.
- Tidak melakukan aktiviti fizikal apa pun untuk menentang para penyerang Rasul dan kaum muslim, apa pun yang mereka temui berupa berbagai bentuk seksaan, gangguan, tekanan, dan penghinaan.
- Hijrah ke Habsyah sebagai bentuk keterikatan pada perintah Allah dan Rasul-Nya.
- Berinteraksi dakwah dengan masyarakat dan menyebarkan dakwah, walau bagaimanapun sikap keras kaum musyrikin.
- Koalisi kaum musyrikin menentang Bani Hasyim dan Bani al-Muthalib kerana dukungan mereka terhadap Abu Thalib dalam melindungi Rasul SAW. Mereka diboikot dan diembargo selama tiga tahun di celah-celah dan lorong-lorong bukit. Di tengah-tengah mereka terdapat Rasul dan orang-orang yang telah masuk Islam.
- Masuk Islamnya Hamzah bin Abdul-Mutthalib dan Umar bin al-Khattab, serta sikap mereka menghadapi kekuasaan. Kaum muslim, tidak terkecuali orang-orang yang lemah, menjadi mulia dengan keIslaman keduanya.
- Meninggalnya Abu Thalib dan wafatnya isteri Rasul, Khadijah binti Khuwailid, serta makin kerasnya gangguan kaum musyrikin kepada Rasul dan para sahabat beliau.
- Terus berlanjutnya proses tatsqif (pembinaan intensif).
Fasa Dakwah ke Luar Mekah
Dakwah berhadapan dengan makin meningkatnya gangguan kaum musyrikin terhadap Rasul SAW dan para sahabat beliau. Berhadapan dengan makin meningkatnya kesombongan kaum musyrikin dalam penyimpangan mereka, penyeksaan mereka kepada kaum muslim, serta sikap mereka yang keras dan sungguh-sungguh di hadapan dakwah. Masyarakat menjadi keras di hadapan Rasul dan dakwah.
Setelah melihat semua itu, Rasul berpandangan untuk pergi ke kota Thaif. Terserlah bahawa ini datang dari petunjuk Allah. Ini ditunjukkan dengan doa Rasulullah SAW sekembalinya dari Thaif,
“Seandainya Engkau tidak marah kepadaku, maka aku tidak akan peduli. Kepada-Mu, aku meminta keredhaan hingga Engkau redha.”
Ketika itu beliau bersama maula beliau, Zayd bin Haritsah.Peristiwa itu terjadi pada tahun kesepuluh kenabian sebagaimana yang dikuatkan oleh penulis Ar-Rahiq al-Makhtum. Dalam perjalanan, setiap kali melalui satu kabilah, beliau menyeru mereka pada Islam. Akan tetapi, tidak satu pun kabilah yang memenuhi seruan beliau.
Ketika sampai di Thaif, beliau menemui tiga orang pemuka Thaif yang masih bersaudara, iaitu Abdul al-Yalail, Mas’ud, dan Junaib. Mereka adalah anak dari ‘Amr bin Umair ats-Tsaqafi. Beliau menyeru mereka agar mengimani Allah dan menolong agama beliau.
Hanya saja, mereka tidak menjawab seruan Rasul SAW dan tidak membenarkan kenabian beliau. Salah seorang daripada mereka berkata, “Apakah Allah tidak menemukan orang selain engkau?”
Yang lain mengatakan perkataan yang serupa. Dengan itu jelas bahawa keduanya tidak menjawab seruan Rasul atau tidak mengimani dakwah beliau. Rasul SAW meninggalkan mereka dan beralih dari mereka.
Beliau tinggal di Thaif selama sepuluh hari. Beliau melakukan dakwah dengan penduduknya, menawarkan diri beliau kepada mereka. Beliau tidak meninggalkan seorang pun daripada para pemimpin dan pemuka Thaif, kecuali beliau datangi dan beliau berbicara dengan mereka.
Namun, mereka meminta Rasul SAW untuk keluar dari negeri mereka. Mereka memperdaya orang-orang bodoh (awam) dan hamba-hamba sahaya mereka. Kemudian orang-orang itu mengikuti Rasul ketika beliau hendak keluar. Mereka mencaci dan mencela Rasul, melempari beliau dengan batu, dan kata-kata cacian. Mereka melempari beliau lalu mengenai betis sehingga terompah beliau basah oleh darah yang mengalir dari kaki beliau. Zaid bin Haritsah melindungi Rasul dengan dirinya hingga kepalanya terluka.
Sumber: Muhammad Said Abu Za’rur, Seputar Gerakan Islam.