[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagian 12/22)
[Sambungan dari Bahagian 11/22]
Mendung makin bertumpuk sehingga beliau merasa putus asa dan berfikir untuk pergi berdakwah ke luar Mekah. Beliau berharap manusia akan menjawab seruan beliau, mengimani beliau, dan menolong beliau atas kaumnya. Oleh kerana itu, beliau lalu keluar menuju Thaif.
Sebelum membicarakan keluarnya beliau ke Thaif, penulis Ar-Rahiq al-Makhtam mengajukan pertanyaan mengenai sebab yang menjadikan kaum muslim mampu bersabar sampai pada tahap keteguhan dalam menanggung seksaan, penentangan, dan berbagai seksaan daripada orang Quraisy.
Mengenai pertanyaan ini, dia merasa perlu mengisyaratkan beberapa faktor secara ringkas sebagai berikut:
Pertama, mengimani Allah SWT semata dan benar-benar bermakrifat kepada-Nya. Dengan demikian, berbagai kesenangan dunia, betapa pun banyak jumlah dan macamnya, dalam pandangan kaum mukmin adalah rendah.
Kedua, terpenuhinya kepemimpinan yang menyatukan hati. Rasul SAW merupakan pemimpin tertinggi yang memiliki penampilan yang mulia dan sifat-sifat yang agung.
Ketiga, rasa tanggungjawab. Para sahabat menyedari secara sempurna tanggungjawab besar yang ada di pundak manusia yang tidak mungkin dielakkan. Oleh kerana itu, kerugian kerana lari daripada beban tanggungjawab ini jauh lebih menakutkan dan lebih banyak bahayanya berbanding penentangan yang mereka hadapi.
Keempat, keimanan terhadap akhirat. Para sahabat menyedari bahawa dunia dengan seksaan dan kenikmatannya tidak dapat menyamai sebelah sayap nyamuk pun terhadap syurga di akhirat kelak.
Kelima, Al-Quran yang mulia. Ketika Al-Quran menggambarkan dengan ayat-ayat dan hikmahnya yang turun, Al-Quran menegakkan hujah (argumentasi), dan bukti-bukti meyakinkan atas ideologi Islam dengan cara-cara yang menawan. Al-Quran juga menunjuki kaum muslim terhadap asas-asas yang telah Allah tetapkan agar mereka menjadi masyarakat manusia yang paling agung dan ideal di dunia.
Ayat-ayat Al-Quran juga membangkitkan perasaan kaum muslim pada ketabahan, kesabaran, dan ketegaran. Ayat-ayat Al-Quran memaparkan permisalan, “Apakah kalian mengira bahawa kalian akan masuk syurga, padahal belum datang kepada kalian (cubaan/ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kalian? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam cubaan ) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang mengimaninya, ‘Bilakah datangnya pertolongan Allah?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (TMQ Al-Baqarah: 214).
“Alif lâm mim. Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan, “Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka. Dengan itu sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang dusta.” (TMQ Al-Ankabut: 1—3).
Keenam, berita gembira akan datangnya kejayaan. Ayat-ayat Al-Quran mendedahkan berita gembira ini ada kalanya secara nyata dan ada kalanya secara kiasan. Pada saat bumi terasa sempit bagi kaum muslim, pada saat kesusahan mendera mereka, serta berbagai kejadian dan tekanan menerpa mereka. Ayat-ayat Al-Quran menceritakan berbagai keadaan yang sesuai dengan keadaan kaum muslim Mekah dan kekufuran penduduknya. Ayat-ayat Al-Quran juga menjelaskan kepada mereka bahawa kemenangan dan pertolongan selamanya berpihak kepada kaum mukmin yang benar dan bahawa bumi akan diwarisi oleh orang-orang soleh .
Ayat mengenai hal ini sangat banyak. Kadangkala Rasul SAW pun menyampaikan berita gembira ini (bukan berupa ayat Al-Quran). Beliau menyampaikan berita gembira kepada kaum mukmin tentang syurga.
Beliau pun berkata kepada kaum mukmin dengan sangat jelas, “Wahai manusia, katakanlah, ‘Tiada Tuhan, kecuali Allah,’ nescaya kalian akan beruntung. Kalian akan menguasai orang Arab dengannya dan orang selain Arab akan mendekat kepada kalian, dan jika kalian mati, kalian seperti raja di syurga.”
Di hadapan berita gembira akan datangnya kegemilangan di dunia disertai dengan harapan mendapat keberuntungan kemaslahatan besar di akhirat, iaitu di syurga, para sahabat memandang bahawa berbagai tekanan yang menimpa mereka dari semua sisi dan berbagai musibah yang melingkupi mereka dari setiap penjuru tidak lain sekadar riak-riak awan pada musim kemarau yang cepat sekali sirna.
Tidak diragukan lagi, faktor-faktor ini memiliki pengaruh terbesar terhadap keteguhan kaum muslim generasi awal, serta dalam kesanggupan mereka menanggung kesusahan dan menghadapi kekufuran, kekerasan, kesombongan, dan kekejaman.
Iman yang benar memunculkan mukjizat. Iman yang murni dan perhatian serta harapan akan pahala dan syurga Allah menjadikan kaum muslim sebagai manusia yang memandang rendah berbagai kesulitan dan memandang murah dalam pengorbanan (maksudnya merasa ringan untuk berkorban). Syurga itu mahal harganya dan perlu dicapai dengan beban yang berat.
Pada saat ini bagi kita, sebagai seorang muslim dan dai‘e yang menyerukan kewajipan untuk melanjutkan kehidupan Islam, hendaklah memahami hakikat ini. Kita hendaklah mengambil lampu yang bersinar menerangi jalan dan keteladanan yang baik daripada sirah Rasul SAW dan para sahabat beliau.
Kita perlu meyakini pertolongan Allah dan kebenaran janji-Nya. Oleh sebab itu, hendaklah kita berlumba-lumba bertaqarrub kepada-Nya, banyak berkorban, teguh dalam kebenaran kerana meyakini pertolongan Allah, dan berlumba-lumba untuk masa depan agama ini (Islam).
Sumber: Muhammad Said Abu Za’rur, Seputar Gerakan Islam.