[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagian 11/22)
[Sambungan dari Bahagian 10/22]
Pemboikotan dan sekatan telah berhenti. Hanya saja, orang-orang Quraisy terus saja menekan kaum muslim. Abu Thalib juga terus memberikan perlindungan dan sandaran kepada Rasul SAW. Hanya saja, sakit mula mendera Abu Thalib.
Lebih-lebih lagi dia telah mencapai usia 80-an. Oleh kerana itu, orang-orang Quraisy dan orang-orang musyrik merasa khuatir akan buruknya berita mereka di tengah bangsa Arab jika mereka menyakiti Rasul atau menimpakan keburukan kepada Rasul setelah kematian bapa saudaranya, yakni Abu Thalib.
Orang-orang Arab akan mengatakan, “Wajar saja kerana bapa saudaranya telah meninggalkannya.” Jika bapa saudaranya sudah meninggal, mereka (yakni orang Quraisy) dapat mencapai maksud mereka terhadap Rasul SAW.
Oleh kerana itu, mereka pergi menemui Abu Thalib dan berbicara dengannya. Salah seorang daripada mereka berbicara, “Wahai Abu Thalib, sesungguhnya engkau adalah bahagian daripada kami sebagaimana engkau tahu, dan engkau juga telah menghadiri apa yang engkau ketahui. Sesungguhnya kami khuatir atasmu. Engkau telah mengetahui apa yang terjadi di antara kami dan anak saudaramu. Oleh kerana itu, panggillah dia. Ambillah daripada kami apa saja untuk diberikan kepadanya dan ambilkan untuk kami daripadanya untuk menghentikan kami dengannya. Demikian juga agar dia membiarkan kami dengan agama kami dan kami membiarkannya dengan agamanya.”
Abu Thalib lalu mengutus seseorang kepada Rasul SAW Kemudian beliau datang kepada Abu Thalib.
Abu Thalib lalu berkata, “Wahai anak saudaraku, sesungguhnya mereka adalah para pemuka kaummu. Mereka telah berkumpul untukmu, untuk memberimu, dan mengambil daripadamu.”
Kemudian Abu Thalib memberitahukan apa yang dikatakan untuk Nabi SAW dan ditawarkan kepada Nabi SAW tanpa ada memihak kepada satu pihak. Nabi SAW berkata kepada mereka, “Bagaimana pendapat kalian jika aku memberi kalian satu kalimat yang jika kalian mengucapkannya, orang Arab akan mengangkatmu menjadi raja (penguasa) dan orang selain Arab akan mendekat kepadamu.”
Ketika sampai pada kalimat ini, beliau berhenti, sementara mereka kebingungan. Mereka tidak mengetahui bagaimana membantah satu kata yang memberi manfaat sampai tujuan ini dan batas ini. Kemudian Abu Jahal berkata, “Apa itu? Demi bapamu, sungguh kami akan memberikan sepuluh hal yang semisalnya.”
Nabi SAW berkata, “Kalian katakan saja, La Ilaha illallah dan kalian tanggalkan apa yang kalian sembah selain Allah.”
Mereka berkata, “Hai Muhammad, apakah engkau ingin menjadikan Tuhan itu hanya satu? Sungguh urusanmu ini menghairankan.”
Sebahagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain, “Sesungguhnya lelaki ini tidak memberikan sesuatu pun kepada kalian daripada apa yang kalian inginkan. Oleh kerana itu, pergilah kalian dan tetaplah kalian berada dalam agama nenek moyang kalian hingga Allah memberikan keputusan antara kalian dengannya.”
Setelah itu mereka berpisah. Kemudian turunlah tujuh ayat pertama surah Shad yang berkenaan dengan kejadian itu.
Sakit Abu Thalib makin parah hingga dia meninggal pada Rajab, tahun kesepuluh kenabian. Walaupun dia tetap dalam agama nenek moyangnya, dia tetap memberikan perlindungan bagi dakwah Islam dari serangan para pembesar dan orang-orang bodoh. Oleh kerana itu, Rasul SAW berkata, “Semoga syafaatku bermanfaat untuknya pada hari kiamat nanti agar dia ditempatkan di dalam neraka yang cetek hanya sampai ke tumitnya.”
Dengan kematian Abu Thalib, Rasul SAW kehilangan sandaran kuat yang melindungi beliau daripada seksaan dan memelihara beliau dengan baik. Lebih kurang dua bulan atau tiga bulan setelah kematian Abu Thalib, Ummul Mukminin Khadijah ra. wafat pada Ramadhan tahun yang sama, iaitu tahun kesepuluh kenabian.
Rasul SAW merasa sangat kehilangan Khadijah ra., isteri beliau. Khadijah ra. adalah orang pertama yang beriman kepada beliau, mendampingi beliau pada masa-masa susah dan pada keadaan-keadaan yang berat, menyertai beliau dalam jihad (kesungguhan), dan membantu beliau dengan diri dan hartanya. Berkaitan dengan Khadijah ini, beliau SAW bersabda, “Dia mengimaniku ketika manusia kafir, membenarkanku ketika manusia mendustakanku, menyertaiku dengan hartanya ketika manusia tidak mahu menyerahkannya, dan Allah menganugerahkanku anak darinya, sementara Allah tidak menganugerahkanku anak dari selain dia.”
Rasul SAW menyebut tahun tersebut sebagai ‘Am al-Huzn (Tahun Kesedihan). Gangguan penduduk Mekah makin meningkat terhadap beliau dan para sahabat beliau. Rasul SAW bersabda mengenai hal ini, “Aku tidak pernah menerima gangguan yang paling aku benci, kecuali setelah Abu Thalib meninggal dunia.”
Sumber: Muhammad Said Abu Za’rur, Seputar Gerakan Islam.