[Siri Ibrah Rejab] Runtuhnya Khilafah Uthmaniyah: Pengajaran untuk Umat
Pada 28 Rejab 1342H (3 Mac 1924M), Khilafah Uthmaniyah secara rasmi diruntuhkan, mengakhiri lebih 1,300 tahun pemerintahan kekhilafahan Islam. Keruntuhan ini bukan kebetulan, tetapi hasil konspirasi musuh Islam yang menyemai sentimen nasionalisme, memecah-belahkan umat melalui perpecahan antara bangsa Arab dan Turki, serta mendorong pemberontakan dalaman. Akibatnya, umat Islam kehilangan sistem pemerintahan yang menaungi mereka di bawah syariat Islam.
Wajarlah setiap umat Islam mengambil pelajaran serius daripada peristiwa hitam ini:
1. Kebangkitan Umat adalah Keperluan Mendesak
Untuk mengembalikan kegemilangan Islam, umat perlu bangkit dengan kesedaran dan kesatuan. Sebagai khairu ummah, umat Islam bertanggungjawab memimpin dunia dengan keadilan syariat Islam yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Namun, kebangkitan ini memerlukan usaha bersepadu untuk menghadapi ancaman yang melemahkan akidah, moral, dan politik umat.
2. Mengikuti Metode Kenabian dalam Mendirikan Kembali Khilafah
Sejarah membuktikan bahawa kejayaan hanya dapat dicapai apabila umat kembali kepada metode kenabian (manhaj nubuwwah). Rasulullah SAW membangun masyarakat Islam melalui akidah yang kukuh, sistem sosial yang adil, dan pemerintahan berlandaskan syariat. Maka, membina individu, keluarga, dan masyarakat yang memahami Islam secara syumul adalah langkah utama dalam menegakkan semula khilafah. Umat Islam juga mesti meneladani perjalanan dakwah Rasulullah SAW, bermula dari aspek individu, keluarga, dan masyarakat sehinggalah kepada penegakan negara Islam. Itu semua mesti mengikuti thariqah dakwah Rasulullah SAW.
3. Optimisme terhadap Janji Allah dan Bisyarah Rasulullah SAW
Allah SWT telah menjanjikan kemenangan bagi umat Islam yang beriman dan beramal soleh. Rasulullah SAW juga memberi khabar gembira (bisyarah) bahawa Islam akan kembali memimpin dunia. Walaupun pelbagai cabaran dihadapi, keyakinan terhadap janji Allah dan keistiqamahan dalam perjuangan adalah kunci mengembalikan kegemilangan Islam.
4. Keutamaan Dakwah Berjemaah dalam Menegakkan Khilafah
Dakwah secara berjemaah adalah jalan paling efektif untuk mengembalikan sistem khilafah. Kesatuan ini menyatukan kekuatan umat, menggabungkan kepakaran, serta melatih disiplin dan keikhlasan dalam perjuangan. Dengan kesatuan dan komitmen, umat Islam mampu membangkitkan kembali pemerintahan Islam sebagai sumber kekuatan dan rahmat bagi seluruh alam.’
Peristiwa keruntuhan Khilafah bukan sekadar sejarah, tetapi peringatan bahawa tanpa kepimpinan Islam, umat menjadi lemah dan berpecah-belah. Oleh itu, kebangkitan semula Islam bukan satu pilihan, tetapi kewajipan. Dengan kesedaran dan kefahaman yang benar, umat Islam pasti dapat mengembalikan semula sistem pemerintahan Islam yang menjamin keadilan dan kemuliaan bagi seluruh manusia.
Wahai saudaraku, ayuh realisasikan bisyarah Nabi tercinta dengan penuh yakin bahawa Islam pernah gemilang, dan akan kembali gemilang dengan penerapan syariat Islam kaffah melalui sistem Khilafah `ala minhaj Nubuwwah!