[Nafsiyah] MENYESAL DI AKHIRAT TIADA GUNA
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Pada hari itu diperlihatkan Neraka Jahanam. Pada hari itu, manusia akan sedar, tetapi kesedaran itu tidak berguna lagi bagi dirinya. Manusia berkata, ‘Alangkah baiknya seandainya dahulu aku melakukan kebajikan untuk hidupku.'” [TMQ al-Fajr (89): 23-24].
Mengenai ayat di atas, Hatim al-Asham berkata, “Ada empat perkara yang tidak diketahui nilainya kecuali dalam empat keadaan: Tidak akan diketahui masa mudanya melainkan apabila sudah tua. Kelapangan tidak akan diketahui nilainya melainkan apabila ditimpa musibah (kesukaran). Nikmat kesihatan tidak akan diketahui nilainya melainkan apabila sakit. Kehidupan tidak akan diketahui nilainya melainkan apabila mati.” [An-Nawawi, Nasha’ih al-‘Ibad, hlm. 28].
Berkenaan dengan masa muda, memang ramai di kalangan kita yang sering menghabiskan masa muda dengan berseronok dan bermalasan, malah ada juga yang suka berpesta serta melakukan perkara yang sia-sia dan bertentangan dengan ajaran agama. Apabila tiba masa tua, barulah ramai yang sedar betapa berharganya masa muda itu jika digunakan untuk perkara yang bermanfaat. Tidak kurang juga yang sering berangan-angan untuk kembali ke masa muda mereka.
Berhubung dengan kelapangan, sama ada kelapangan harta, masa, atau apa jua, sering kali ia diabaikan dan disia-siakan. Kita jarang mensyukuri kelapangan itu sebagai suatu nikmat, sehingga sedikit sahaja yang dimanfaatkan untuk kebaikan. Namun, apabila ditimpa kesempitan atau kesulitan hidup, barulah ramai yang menyedari betapa bernilainya kelapangan itu.
Seterusnya, berkenaan dengan nikmat kesihatan, ramai yang seolah-olah tidak menghargai nikmat kesihatan tersebut. Oleh kerana itu, mereka jarang bersyukur atas nikmat ini. Ketika sihat, mereka bukan melakukan ketaatan kepada Allah SWT, malah lebih banyak bermaksiat. Apabila sakit, barulah mereka sedar betapa berharganya nikmat sihat itu. Malangnya, apabila kembali sihat, mereka kembali kufur nikmat; terus bermaksiat dan enggan taat.
Akhir sekali, berkenaan dengan nikmat hidup. Ramai manusia hari ini lupa akan hakikat kehidupan dunia yang bersifat sementara. Oleh itu, ramai yang lalai dan leka dalam hidup mereka. Mereka terlupa bahawa akhiratlah kehidupan yang kekal abadi dan kehidupan yang sebenar. Di sanalah penentuan nasib manusia, sama ada masuk ke syurga atau menjadi penghuni neraka. Yang masuk syurga pasti bahagia, sementara yang masuk neraka akan menderita. Pada saat itu, manusia yang menderita di akhirat akan menyesal dengan penyesalan yang mendalam [Rujuk: TMQ an-Naba’ (78): 40].