[HADIS] Waspada Adu Domba
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Saat ini ramai yang tidak suka melihat umat Islam bersatu dan bersaudara. Kemudian mereka berusaha melaga-lagakan umat Islam. Sama seperti apa yang pernah dialami oleh kaum Aus dan Khazraj dahulu.
Seperti yang kita ketahui, selepas kaum Aus dan Khazraj memeluk Islam, persaudaraan kedua-dua belah pihak amat erat. Namun rupa-rupanya persaudaraan yang indah itu sangat tidak disukai oleh orang Yahudi. Salah seorang daripada mereka ialah Syas bin Qais. Dia berasa geram melihat persaudaraan dan keakraban yang erat umat Islam. Oleh kerana itu, apabila Syas bin Qais berjalan melewati beberapa orang sahabat Rasulullah SAW dari suku Aus dan Khazraj dalam satu majlis, dia segera bergegas memerintahkan seorang pemuda Yahudi, “Pergilah ke tempat mereka. Bacakan kepada mereka syair-syair yang selalu mereka bacakan” (iaitu syair-syair ‘asabiyyah).
Usaha pemuda Yahudi tersebut hampir berjaya. Maka berlaku pergaduhan besar di antara kedua-dua pihak sehingga hampir membunuh antara satu sama lain. Namun, berita pergaduhan mereka segera sampai kepada Rasulullah SAW. Oleh itu, beliau segera pergi menemui kedua-dua pihak. Setibanya di tempat mereka, Rasulullah SAW bersabda:
“Wahai sekalian muslimin, ingatlah kalian akan Allah. Ingatlah kalian akan Allah. Mengapa kalian mengikut slogan jahiliah, sedangkan aku berada di antara kalian? Sebelumnya Allah SWT telah memberi kalian petunjuk Islam, memuliakan kalian dengan Islam, memutuskan segala kejahilan dari kalian, menyelamatkan kalian daripada kekufuran dan menyatukan hati-hati kalian!”
Akhirnya, seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Hisham dalam Siirahnya (1/555), kaum Aus dan Khazraj segera menyedari bahawa slogan jahiliah iaitu ‘asabiyyah adalah tipu daya syaitan dan salah satu dari makar musuh Allah SWT kepada mereka. Mereka pun menangis. Setiap orang dari Aus memeluk dengan orang dari Khazraj.
Belajarlah dari kisah di atas, kerana kita bersaudara, kita tidak boleh mudah terprovokasi. Kerana kesannya sangat berbahaya.
Wa maa tawfiiqii illa bilLaah.