[Seputar Gerakan Islam] Sekilas Gerakan Islam Kontemporari (Bahagian 2/2)
[Sambungan dari Bahagian 1/2]
Pada awalnya paparan ini hanya akan berupa paparan berbagai peristiwa dan hakikat yang diambil dari sumber- sumber yang tersedia. Ditambah juga soal-jawab dengan sebahagian orang penanggungjawab dalam berbagai harakah tersebut jika hal itu memungkinkan.
Adapun komentar terhadap apa yang dipaparkan dan berbagai harakah dan tujuan-tujuannya, sejauh mana pengaruh dan peranan yang dilakukan, maka itu akan dilakukan secara langsung. Ini dilakukan setelah selesai perbincangan tentang pertumbuhan tujuan-tujuan dan metode mencapai semua tujuan masing-masing.
Mungkin juga komentar kami atas harakah itu dilakukan secara langsung dan kadang-kadang tidak langsung. Dengan itu, terwujud bahan dan kemungkinan bagi para pembaca yang mulia untuk mengeluarkan justifikasi sendiri terhadap harakah atau jemaah yang dipaparkan.
Paparan ini tidak dimaksudkan untuk melakukan jarh wa ta’dil (mengkritik dan memuji), juga bukan pujian atau celaan. Akan tetapi, yang dimaksudkan tidak lain adalah untuk menelaah, kemudian memilih.
Jika pembaca yang mulia meyakini aktiviti untuk mewujudkan perubahan dan kewajipan untuk melanjutkan kehidupan Islam, maka menjadi suatu keperluan untuk memilih suatu harakah, jemaah, kutlah (kelompok), atau Parti yang dilihat paling kuat untuk diikuti, paling mampu beraktiviti, dan paling terpercaya keterikatannya dengan metode Rasulullah SAW dalam mewujudkan Daulah Islamiah.
Kemudian seseorang itu hendaklah menggabungkan diri dengan harakah, jemaah, atau parti tersebut. Sebabnya, tidak boleh seorang muslim tetap bersikap diam atau dalam posisi sebagai penonton. Demikian pula tidak boleh malah menjadi penentang atau sekadar menjadi pemuji sekalipun. Akan tetapi, dia perlu turut serta dalam aktiviti itu.
Jika tidak demikian, dia menjadi orang yang berdosa. Siapa saja yang tidak memperhatikan urusan kaum muslim, maka dia bukan termasuk bahagian dari kaum muslim. Setiap orang dari kita berada dalam salah satu tapal batas di antara tapal batas-tapal batas Islam. Dengan demikian, jangan sampai musuh dapat masuk dari sisinya.
Adalah bagi kami untuk menunjukkan sesuatu yang sering terlintas di dalam fikiran kebanyakan orang, iaitu boleh untuk melakukan aktiviti secara individu asalkan tetap terikat dengan syariat Islam dan terikat dengan pelajaran-pelajaran Islam. Mewajibkan keluarga dan kaum kerabatnya, lebih-lebih lagi dalam hal ini orang tersebut mencari alasan bagi dirinya untuk duduk dari aktiviti (harakah/jemaah) atas sebab ini.
Kami katakan bahawa aktiviti individu tidak mampu mewujudkan dan tidak akan terjadi dalam satu hari pun di antara hari-hari yang ada. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran dan Dialah Pengucap yang paling benar, “Hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyerukan kebajikan dan melakukan amar makruf nahi mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung.” (TMQ Ali Imran: 104).
Kata ummah di sini bererti jemaah. Orang yang mengikuti (mengkaji) perjalanan para nabi, orang-orang soleh, dan para pemimpin akan melihat dengan jelas bahawa aktiviti yang mendatangkan hasil (produktif) dan berpengaruh senantiasa merupakan aktiviti berjemaah, bukan aktiviti individu.
Dalam sejarah tidak pernah ada satu parti pun yang berdiri dengan hanya satu orang dan berhasil mencapai tujuan-tujuannya tanpa ada bagi orang itu pengikut, penolong, dan orang-orang yang meyakini seruan dakwahnya. Mereka menjadi para penolong orang itu dan beraktiviti bersamanya agar tercapai tujuan-tujuannya.
Kami memandang suatu hal yang sangat penting dalam masalah ini, iaitu pentingnya penjelasan hukum melanjutkan kehidupan Islam. Kami memisahkan pembahasannya dalam buku ini sehingga dalil-dalil syariat menjadi jelas di hadapan kita, yakni di seputar kewajipan beraktiviti mewujudkan kebangkitan, perubahan, dan kehidupan Islam.
Dengan itu, tidak ada lagi alasan bagi siapa pun, dan tidak ada lagi ruang untuk lari dari aktiviti yang sungguh-sungguh dan produktif. Seseorang mungkin menyangka bahawa dia tidak melihat suatu harakah atau jemaah pun yang memenuhi harapannya, serta seluruh harakah dan jemaah yang ada tidak sesuai. Juga mungkin beranggapan bahawa semuanya tidak layak, tidak kuat atau tidak mampu mencapai tujuan yang dicanangkan, serta tidak mampu mencapai kemuliaan dan pertolongan yang menjadi harapan umat Islam.
Dalam keadaan demikian, wajib bagi orang tersebut untuk mendirikan harakah baru yang tegak di atas asas Islam, menyeru manusia untuk bergabung kepadanya, dan beraktiviti bersamanya untuk mencapa tujuan yang dia canangkan.
Adapun jika salah seorang di antara kita terhadap segala sesuatu yang dipaparkan bersikap menonton, menentang, memuji, atau mencela, maka sikap yang demikian tidak boleh sama sekali. Sebabnya, hal itu merupakan kemunduran yang jelas, ketundukan pada realiti, berpanjangan dalam kemalasan, serta terus hidup dalam kerendahan dan kehinaan.
Sumber: Muhammad Said Abu Za’rur, Seputar Gerakan Islam.