Menangani Jenayah Seksual Kanak-kanak dengan Islam
Oleh: Syamsiyah Jamil
Aktivis Muslimah Malaysia, Aliya Ab Aziz menyatakan bahawa Islam mampu memberikan solusi holistik dan komprehensif dalam menangani jenayah seksual kanak-kanak yang semakin membimbangkan di Malaysia.
“Keperluan mendesak untuk mengatasi masalah meningkatnya jenayah seksual memerlukan langkah-langkah solusi terstruktur yang efektif. Oleh kerana itu, penerapan Islam sebagai dasar negara secara komprehensif menjadi kunci utama untuk mencegah dan menyelesaikan isu kesalahan dan jenayah seksual dan kejahatan terhadap kanak-kanak,” jelasnya di akaun Facebook Muslimah HTM bertajuk Islam sebagai Solusi Membanteras Peningkatan Jenayah Seksual Kanak-kanak, Rabu (8/1/2025).
Lanjutnya, peningkatan kes jenayah ini sebenarnya disebabkan oleh pemikiran liberal yang memberikan kebebasan tanpa batas, sehingga mencetuskan gejala tidak bermoral seperti pornografi, hedonisme, dan eksploitasi seksual. “Situasi ini memerlukan alternatif solusi yang lebih baik, iaitu Islam dengan melibatkan tiga aspek utama,” ucapnya.
“Pertama, pembinaan individu yang bertakwa. Pendidikan agama sejak awal usia yang menekankan nilai-nilai Islam, termasuk adab pergaulan, menutup aurat, dan menanamkan rasa malu. Pendidikan agama ini juga perlu dilakukan secara berkesinambungan sepanjang hayat, agar individu Muslim yang terus tumbuh sebagai insan yang bertakwa dan terpelihara dari unsur anasir-anasir buruk,” ujarnya.
Kedua, masyarakat yang peduli, kerana ia merupakan benteng pertama pencegahan jenayah seksual di lingkungannya. “Masyarakat perlu melakukan kegiatan amar makruf nahi mungkar termasuk melaporkan kejadian atau perilaku mencurigakan terkait jenayah seksual kepada pihak berwajib,” terangnya.
“Masyarakat yang menginginkan syariat Islam pasti akan menjadikan nilai-nilai Islam sebagai landasan perilaku, pemikiran, dan budaya setempatnya,” katanya yang juga pengamat politik Islam itu.
Ketiga, negara wajib melaksanakan peraturan dan undang-undangan syariat dalam urusan muamalah, sosial, jenayah, dan sebagainya, serta menerapkan hukuman dari hukum syariat seperti hudud, kisas, takzir dan lain-lain. “Kerana hanya itulah sistem penghukuman yang diredhai Allah, memberikan keadilan, dan menyejahterakan kehidupan masyarakat,” tegasnya.
Negara juga wajib menguasai dunia informasi, khususnya media massa dan platform digital untuk mencegah penyebaran bahan-bahan yang tidak pantas seperti pornografi atau content yang eksploitatif atau berisiko. Siapa pun yang melanggar peraturan itu wajib dikenakan hukum berat.
“Solusi Islam terstruktur ini memerlukan komitmen bersama daripada individu, keluarga, masyarakat, dan negara. Jika kita benar-benar prihatin terhadap masa depan generasi kita, maka kita perlu bertindak sekarang. Lakukanlah perubahan dan bina semula struktur negara berteraskan syariat,” simpulnya.
Sumber: https://www.facebook.com/share/p/1Z3w1fvTNp/