Masih Ramai Wanita Tidak Memahami Politik Sebenar
Oleh: Hidayah Muhammad
Aktivis Muslimah Malaysia, Syamsiyah Jamil menyatakan kedudukan tercorot Malaysia bagi penguasaan dan pembabitan wanita dalam bidang politik seperti yang dinyatakan dalam Laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF 2023) tidak menghairankan, kerana masih ramai lagi wanita yang tidak memahami maksud dan aktiviti politik yang sebenar, sehingga mereka merasakan politik itu tidak penting.
“Kedudukan tercorot Malaysia bagi penguasaan dan pembabitan wanita dalam bidang politik seperti yang dinyatakan dalam Laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF 2023) tidak menghairankan, kerana masih ramai wanita yang tidak memahami maksud dan aktiviti politik yang sebenar, sehingga mereka merasakan politik itu tidak penting,” katanya.
“Malaysia berada di tangga paling rendah dalam bidang politik pada kedudukan 134 daripada 146 negara dalam Indeks Jurang Gender Global 2024 oleh World Economic Forum. Malaysia mengulang sejarahnya pada 2023 apabila tercorot dalam kalangan negara ASEAN dari penguasaan dan pembabitan wanita dalam bidang politik,” jelasnya dalam Siri Nahdhah Fikriyyah di akaun Facebook Muslimah HTM bertajuk Wanita, Celik Politik Tegak Khilafah, Rabu (22/1/2025)
Beliau mengatakan bahawa ini salah satu impak apabila runtuhnya Khilafah sebagai sebuah institusi politik Islam. “Kesedaran politik Islam terbenam dalam diri umatnya termasuk wanita. Islam hanya diguna pakai dalam urusan individu dan sebahagian kecil dalam urusan masyarakat,” katanya.
“Politik tidak lagi diatur dengan Islam, malah diatur dengan sistem demokrasi ciptaan kuffar Barat,” jelasnya.
“Aktiviti politik yang benar telah dikaburkan saat ini dengan perjuangan yang terhad kepada sempadan negara bangsa dan perjuangan gender. Kedua-duanya bersifat sementara. Keadaan ini mengesa wanita untuk bangkit dan celik semula tentang politik,” tegasnya.
Beliau mengambil pendapat Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani di dalam kitabnya Mukadimah Ad-Dustur bahawa politik (siyasah) menurut istilah atau syarak adalah ri’ayah asy-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyan, yang bermaksud mengatur/ memelihara urusan umat sama ada dalam atau luar negeri.
“Makna ini diambil daripada beberapa hadis di mana Rasulullah SAW menggunakan lafaz ‘siyasah’ untuk menunjukkan maksud pengurusan/ urusan umat,” jelasnya.
Beliau melanjutkan, HR Bukhari dan Muslim menyebutkan, “Adalah Bani Israel dahulu yang mengatur urusan mereka adalah nabi-nabi (tasusuhum al-anbiya’). Bila wafat seorang Nabi, maka diganti dengan Nabi yang berikutnya. Sesungguhnya tidak akan ada lagi Nabi setelahku tetapi akan ada khulafa dan jumlahnya banyak. Para sahabat bertanya, ‘Lalu apa yang engkau perintahkan kepada kami?’ Nabi bersabda, ‘Penuhilah baiat yang pertama, yang pertama saja, berikanlah kepada mereka hak mereka. Sesungguhnya Allah akan meminta pertanggungjawaban mereka atas apa saja yang mereka urus/kelola.”
“Berpandukan hadis tersebut, dapat kita fahami bahawa Rasulullah SAW adalah ahli politik dan mengajak umatnya untuk berpolitik, termasuklah para wanita,” katanya.
Beliau menjelaskan, dengan kefahaman yang benar tentang makna dan aktiviti politik, sudah tentu berbondong-bondong wanita melibatkan diri dalam politik dan bergabung dengan gerakan memperjuangkan penerapan Islam dan tegaknya semula khilafah.
“Adalah menjadi tanggungjawab wanita yang bergelar ibu, mendidik anak-anak dengan kefahaman yang benar tentang politik, kerana anak-anak masa kini adalah bakal pemimpin pada masa hadapan. Maka, masa hadapan generasi akan datang terletak di tangan wanita hari ini,” tutupnya.
Sumber: https://www.facebook.com/share/p/15xt4WVAPt/