[Soal-Jawab Seputar Gerakan Islam] Aktiviti Harakah Islamiah (Bahagian 1/3)
Apakah benar pendapat yang dikatakan oleh sebahagian gerakan dakwah bahawa Islam mewajibkan mengehadkan aktiviti gerakannya hanya pada amar makruf dan nahi munkar, serta bahawasanya tidak dibolehkan mencegah kemungkaran dengan tangan?
Selain itu, tidak dibolehkan pula melakukan aktiviti-aktiviti dalam bidang sosial kemasyarakatan atas nama gerakan. Akan tetapi dibolehkan bagi individu muslim, termasuk anggota suatu gerakan atas nama peribadi mereka.
Apa yang menjadi pertanyaan, mengapa bagi individu dibolehkan, sedangkan bagi gerakan dakwah tidak dibolehkan?
Sesungguhnya masalah ini termasuk masalah fikih yang penting dan sangat dalam pembahasannya. Akan tetapi, ini belum mendapat perhatian di kalangan para fukaha terdahulu sehingga pemahaman masalah ini menjadi kabur. Hal tersebut ternyata dialami juga oleh kalangan intelektual muslim saat ini.
Untuk menjelaskan pertanyaan tersebut, kita akan beralih kepada firman Allah SWT, “(Dan) Hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada Al Khair (Islam), menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari perbuatan yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung.” (TMQ Ali Imran: 104).
Ayat yang mulia ini merupakan seruan yang sangat jelas kepada umat Islam untuk membentuk suatu jemaah, kelompok dakwah, atau sebuah parti politik Islam, sekaligus mengehadkan aktivitinya ke dalam dua kegiatan. Pertama, berdakwah kepada Islam (terhadap pengikut agama lain). Kedua, melakukan amar makruf dan nahi munkar di tengah kaum muslim.
Kita mengetahui bahawasanya pelaksanaan hukum syariat Islam selain telah dibebankan kepada individu, juga dibebankan kepada ulil amri (penguasa) yang tanggungjawabnya lebih berat dibandingkan tanggungjawab yang dibebankan kepada individu. Hanya saja satu hal yang masih menjadi pertanyaan adalah apakah syariat Islam membolehkan adanya jemaah, kelompok dakwah, atau parti politik Islam untuk melakukan aktiviti yang pembebanan pelaksanaan hukumnya ditujukan bagi individu atau ulil amri?
Mengapa syariat Islam membebankan berbagai hukum tertentu kepada jemaah, kelompok dakwah, mahupun parti politik Islam secara khusus, tetapi tidak diperuntukkan bagi individu atau ulil amri?
Memang benar bahawa keberadaan suatu jemaah, kelompok dakwah, atau parti Islam merupakan fardhu kifayah, yakni suatu kewajipan yang dibebankan atas seluruh kaum muslim. Sebabnya, perintah tersebut ditujukan kepada kaum muslim di setiap wilayah Islam. Ini sesuai dengan firman-Nya, “… Hendaklah ada di antara kamu segolongan umat…” (TMQ Ali Imran: 104).
Ayat tersebut juga mengehadkan aktiviti jemaah dalam dua perkara seperti yang telah disebutkan sebelumnya. Dalam hal ini, syariat Islam tidak hanya mengehadkan pembahasannya tentang urusan penguasa ataupun individu, tetapi juga membahas masalah gerakan.
Bahkan, syariat Islam memerintahkan adanya jemaah, kelompok dakwah, atau parti-parti Islam pada setiap masa secara terus menerus, khususnya pada saat Daulah Islam masih ada. Kalaupun tidak ada Daulah Islam untuk seluruh kaum muslim di dunia seperti keadaan sekarang ini, maka dalam hal ini terdapat dalil lain yang tetap menyuruh pada adanya gerakan Islam, iaitu dengan berpedoman kepada kaedah syarak yang mengatakan, “Apabila suatu kewajipan tidak sempurna, kecuali dengan suatu perbuatan, maka perbuatan itu wajib pula hukumnya.”
Sesungguhnya Daulah Islam tidak akan tegak berdiri tanpa adanya suatu gerakan Islam yang berusaha untuk menegakkannya. Kita juga mengetahui bahawa mencegah kemungkaran dengan “tangan” yang merupakan aktiviti fizikal seperti mengangkat senjata, tindakan kekerasan, dan lain sebagainya, bukanlah kegiatan amar makruf nahi mungkar (yang biasanya dalam bentuk aktiviti non-fizikal, atau menyeru dengan menggunakan lisan). Adapun ayat 104 pada surah Ali Imran yang telah disebutkan di atas, mengehadkan aktiviti gerakan hanya untuk berdakwah saja, baik dakwah yang berupa ajakan untuk memeluk agama Islam, ataupun dakwah yang berupa ajakan untuk melaksanakan Islam dengan cara amar makruf nahi mungkar. Semua ini merupakan aktiviti fikriyah (mengajak berfikir dan menentukan sikap).
Ayat itu tidak dapat dijadikan alasan atau dalil penggunaan “tangan” oleh gerakan dalam mencegah kemungkaran. Walaupun demikian, bagi individu telah ada perintah yang membolehkan seseorang mencegah kemungkaran dengan “tangan” sesuai dengan kemampuannya.
Berdasarkan pemahaman dari sabda Rasulullah SAW, “Siapa saja di antara kalian melihat (suatu) kemungkaran, maka hendaklah dia berusaha mencegahnya dengan tangannya. …”
Para ulama sepakat bahawa kemungkaran itu tidak boleh dicegah dengan senjata. Seorang individu tidak wajib mencegah kemungkaran apabila tindakannya justeru akan menimbulkan kemungkaran yang lebih besar lagi. Inilah dalil yang membolehkan bagi individu untuk melakukan aktiviti yang tidak boleh dilakukan oleh suatu gerakan.
[Bersambung]
Sumber: Abdurrahman Muhammad Khalid, Soal-Jawab Seputar Gerakan Islam.