[Soal-Jawab Seputar Gerakan Islam] Aktiviti Harakah Islamiah (Bahagian 2/3)
[Sambungan dari Bahagian 1/3]
Contoh lain dari perbezaan antara aktiviti gerakan dengan individu adalah tindakan Abu Bakar ra. tatkala membebaskan Bilal ra. yang ketika itu masih berstatus hamba milik Umayyah bin Khalaf. Setelah mengetahui Bilal ra. masuk Islam, Umayyah mulai menyeksanya dengan cara menjemurnya pada siang hari yang terik. Bilal ra. pun ditindih batu besar dengan tujuan agar dia meninggalkan Islam dan kembali kepada kemusyrikan.
Namun Bilal ra. tetap sabar menahan berbagai seksaan tersebut. Dia hanya mengucapkan kata “Ahad” berkali-kali. Sesungguhnya mudah bagi Nabi SAW sebagai pemimpin gerakan Islam pertama di dunia, untuk mengumpulkan dana dari para sahabatnya demi menebus dan membebaskan Bilal ra. serta sahabat lainnya yang diseksa setelah masuk Islam. Namun demikian, beliau tidak melakukannya.
Kita memahami bahawa apabila sesuatu perbuatan merupakan suatu kemestian untuk dilakukan, tentulah perlu segera dilaksanakan. Namun ternyata, Nabi SAW sebagai pemimpin gerakan Islam tidak melakukannya, walaupun beliau mampu.
Dari sini dapat difahami bahawa aktiviti seperti itu atau yang serupa dengannya bukanlah kegiatan dan tanggungjawab gerakan. Dalil tersebut sekaligus membuktikan bahawa ada aktiviti yang boleh dilakukan individu, ada pula yang tidak boleh dilakukan oleh suatu gerakan.
Di antara hal-hal lain yang membezakan secara nyata antara aktiviti individu dengan aktiviti gerakan adalah sebagaimana yang dicantumkan dalam kitab-kitab Sirah Nabi ﷺ.
Abdurrahman bin Auf ra. dan beberapa orang sahabat lainnya telah mendatangi Rasulullah SAW seraya berkata, “Ya Nabiyullah. Dahulu tatkala kami masih musyrik, kami dimuliakan. Akan tetapi tatkala kami telah beriman, kami dihinakan.” Rasulullah SAW menjawab, “Aku telah diperintahkan untuk menjadi orang pemaaf. Oleh kerana itu, janganlah kalian memerangi mereka (Quraisy).” (HR An Nasa’i).
Namun demikian dalam catatan sejarah, Saad bin Abi Waqash ra. atas nama peribadinya pernah melakukan tindakan yang bersifat fizikal. Ini sebagaimana yang diriwayatkan dalam kitab-kitab Sirah Nabi ﷺ.
Diceritakan bahawa sekelompok sahabat, termasuk di dalamnya Sa’ad bin Abi Waqash, sedang melakukan solat di salah satu lembah kota Mekah. Mereka menyembunyikan aktiviti itu dari orang-orang kafir. Namun, sekelompok orang musyrik melihat perbuatan tersebut dan mula mengganggu serta mencaci-maki mereka.
Akhirnya terjadi perkelahian di antara kedua kelompok itu. Keadaan tersebut mendorong Sa’ad bin Abi Waqqash untuk memukul salah seorang musyrik dengan rahang unta hingga berlumuran darah, lalu mati. Peristiwa ini merupakan pertumpahan darah yang pertama di dalam Islam.
Berita ini lalu sampai kepada Rasulullah SAW, tetapi beliau mendiamkannya (membolehkannya). Sementara itu dari pengaduan Abdurrahman bin Auf ra., Rasulullah SAW menjawab agar bersifat pemaaf. Beliau juga tidak membolehkan mereka memerangi orang-orang Quraisy atau yang lainnya.
Kita dapat memahaminya bahawa tidak boleh melakukan reaksi terhadap tindakan kekerasan dengan cara membalasnya. Rasulullah SAW menyuruh para sahabat untuk menahan diri. Sesungguhnya ketika itu, Rasulullah SAW mampu mengerahkan kaum muslim untuk merespon membalas kekerasan yang dilakukan orang-orang kafir itu dengan perbuatan yang setimpal dalam setiap peristiwa/kejadian yang menyakiti dan membahayakan kaum muslim. Namun ternyata, Rasulullah SAW tidak melakukannya, walaupun tindakan itu diperlukan dan ada pengaduan dari sahabat agar beliau SAW mahu melakukannya. Hal ini menunjukkan bahawa beliau melarang kaum muslim melakukan tindakan kekerasan fizikal atas nama gerakan. Akan tetapi dibolehkan bagi individu atau anggota gerakan melakukannya atas nama peribadi mereka apabila diancam, dianiaya, atau diseksa.
Dalil-dalil lain yang lebih memperkuat pemahaman ini adalah tindakan dan aktiviti dakwah Rasulullah SAW di Mekah yang berlangsung selama 13 tahun. Beliau melakukan aktiviti dakwah dan meminta pertolongan kepada orang-orang terkemuka dari seluruh Jazirah Arab. Ini bertujuan agar dakwah beliau berhasil dalam menegakkan daulah Islam.
Rasulullah SAW dalam hal ini telah mengehadkan kegiatannya dalam aktiviti-aktiviti yang bersifat non-fizikal (fikriyah). Beliau tidak pernah melakukan aktiviti apapun yang bersifat fizikal, sebagaimana yang dikatakannya kepada para sahabatnya setelah Baiat Aqabah II, “Kita belum diperintahkan melakukan hal itu (tindakan kekerasan).”
Sumber: Abdurrahman Muhammad Khalid, Soal-Jawab Seputar Gerakan Islam.