[Hukum Seputar Puasa di Bulan Syaaban]
Haram Berpuasa pada Hari Syakk (hari yang diragukan)
Berpuasa pada Hari yang Diragukan (Syakk)
▪️ Hal ini berdasarkan hadis Ammar bin Yasir:
“Siapa yang berpuasa pada hari yang diragukan maka dia telah bermaksiat kepada Abul Qosim (Nabi Muhammad).” (HR Abu Dawud dan At-Tirmidzi)
▪️ Maksud dari hari yang diragukan ialah sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Khatib Asy-Syirbiniy:
“Hari Syakk adalah hari ke-30 dari Syaaban dimana manusia sudah mula membicarakan terlihatnya hilal (namun belum ada yang bersaksi di hadapan hakim) atau sudah ada sebahagian orang yang bersaksi telah melihat hilal namun tertolak persaksiannya, seperti anak kecil, wanita, atau hamba, atau orang fasik”. [Al-Iqna’ fii halli Alfadhi Abi Syuja’, vol.1/hal.239]
▪️ Diharamkan berpuasa di dalamnya kerana status hari tersebut masih diragukan, adakah sudah masuk 1 Ramadhan atau belum.
▪️ Namun apabila seseorang meyakini bahawa hari tersebut telah masuk 1 Ramadhan, misalkan kerana dia yakin hilal sudah terlihat, namun persaksiannya tertolak, maka dia wajib berpuasa di hari itu.
Syaikh Sulaiman Al-Bijirimiy menjelaskan:
“Dan kesimpulannya, bahawa hari ke-30 Syaaban: Ada kalanya dihukumi sebagai hari yang diragukan (adakah sudah Ramadhan atau belum) maka haram berpuasa di dalamnya. Dan ada kalanya dihukumi sebagai Ramadhan, maka- wajib berpuasa atas orang yang meyakini kebenaran berita bahawasanya hari itu sudah masuk Ramadhan – Dan boleh berpuasa bagi yang sekadar menduga kebenarannya.” [Hasyiyah Al-Bijirimiy Alal-Khathib, vol.II/hal.387]
Seseorang itu boleh berpuasa pada 30 Syaaban yang diragukan apakah telah masuk 1 Ramadhan atau belum apabila:
1. Ada sebab tertentu seperti puasa qadha dan kaffarah
2. Bertepatan dengan kebiasaan puasa, seperti puasa Isnin & Khamis
3. Telah berpuasa sejak 15 Syaaban hingga 29 Syaaban
Selain 3 keadaan di atas, seseorang diharamkan untuk berpuasa di Hari Syakk (diragukan).
Al-Khathib Asy-Syirbini menjelaskan:
“Diharamkan berpuasa di hari Syakk, kecuali bila bertepatan dengan puasa sunnah yang menjadi kebiasaannya, seperti puasa terus menerus, atau sehari berpuasa, sehari tidak, atau puasa Isnin dan Khamis, lalu bertepatan dengan hari Syakk. Dan boleh berpuasa di hari syakk dalam rangka qadha atau nazar, sebagaimana solat di waktu-waktu terlarang. Hal ini berdasarkan hadis “Jangan mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari, kecuali seseorang yang terbiasa puasa, maka dia hendaklah tetap berpuasa” diqiyaskan dengan apa yang datang dari hadis ini seluruh puasa yang mempunyai sebab, apabila seseorang berpuasa tanpa sebab, maka ianya tidak sah, sebagaimana jika seseorang berpuasa di hari Eid, kerana sama-sama diharamkan” [Al-Iqna’ fii halli Alfadhi Abi Syuja’, vol.I/hal.239]
Sumber: @Fawaedsyafiiyyah