Ibu Bapa Bertanggungjawab Membentuk Karakter Baik Dalam Diri Anak
Oleh: Syamsiyah Jamil
Aktivis Muslimah Malaysia, Puan Hidayah Muhammad mengatakan bahawa ibu bapa bertanggungjawab membentuk karakter yang baik dalam diri anak-anak termasuk karakter kepimpinan.
“Orang tua bertanggungjawab membentuk karakter yang baik pada anak, termasuk karakter kepimpinan,” ujarnya, Ahad (02/02/2025).
Di akaun Facebook Muslimah HTM , dalam Siri Nahdhah Fikriyah yang bertajuk Membentuk Karakter Kepimpinan dalam Diri Anak, beliau menjelaskan, “Dalam Islam, mendidik anak untuk menjadi pintar tidak mencukupi. Kesolehan, keperibadian mulia dan karakter yang baik adalah keutamaan yang perlu diterapkan dalam diri anak-anak.”
Lanjutnya, karakter kepimpinan yang penting untuk dibentuk dalam diri anak-anak boleh dalam skala besar seperti menjadi pemimpin masyarakat, atau skala kecil seperti menjadi ketua keluarga.
“Secara umumnya, anak-anak kita suatu hari nanti akan memikul peranan sebagai ketua. Anak lelaki akan menjadi ketua keluarga, manakala anak perempuan akan menjadi ibu yang mengatur rumah tangga. Oleh itu, penting untuk membentuk sifat kepimpinan agar mereka mampu menjalankan peranan ini dengan baik pada masa hadapan,” tegas ibu berideologi itu.
Beliau berkongsi empat tips yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk membentuk karakter kepimpinan dalam diri anak-anak yang mesti bermula dari rumah dan seawal usia yang mungkin.
“Pertama, anak-anak adalah peniru terbaik. Mereka belajar melalui pemerhatian, terutamanya pada ibu bapa mereka. Maka sewajarnya ibu bapa memberikan teladan yang baik,” ujarnya.
Kedua, ibu bapa perlu memberi kefahaman kepada anak-anak tentang peranan dan tanggungjawab mereka mengikut ajaran Islam dan bahawa setiap perbuatan yang dilakukan adalah atas dasar perintah dan larangan Allah SWT.
“Ketiga, ibu bapa perlu melatih anak-anak dengan memberikan tugasan di rumah mengikut kemampuan mereka. Berilah galakan kepada anak-anak untuk mencuba, lakukanlah dengan penuh kasih sayang dan berikanlah perhatian kepada meraka. Biarkan mereka belajar daripada kesilapan,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa ibu bapa perlu memotivasikan anak-anak dengan ganjaran pahala daripada Allah SWT sebagai motivasi utama selain ganjaran material dan pujian apabila mereka selesai melaksanakan tugas.
“Keempat, membesarkan dan mendidik anak memerlukan kesabaran yang tinggi dan usaha yang berterusan. Nikmatilah proses ini kerana setiap usaha mendidik anak akan dinilai sebagai pahala di sisi Allah SWT,” tutupnya.
Sumber: https://www.facebook.com/share/p/1BWvJ5PmwW/