[Kisah Inspiratif] Abu Turab, Tukang Cukur, dan Gabenor
Abu Turab an-Nakhsyabi melalui sebuah kawasan di mana terdapat seorang tukang gunting rambut. Dia kemudian berkata, “Adakah kamu akan mencukur rambutku kerana Allah?” Tukang gunting itu menjawab, “Duduklah!” Abu Turab pun duduk. Ketika tukang cukur itu sedang mencukur rambut Abu Turab, gabenor kawasan tersebut melalui kawasan mereka. Gabenor bertanya kepada para pembantunya, “Bukankah ini Abu Turab?” Mereka menjawab, “Ya.”
Kemudian gabenor itu bertanya kepada salah seorang pembantunya, “Berapa dinar yang kamu bawa?” Salah seorang pembantunya menjawab, “Saya membawa beg yang mengandungi seribu dinar.” Gabenor kemudian memerintahkan pembantunya, “Apabila Abu Turab selesai bercukur, berikan dia dinar tersebut dan minta maaf kepadanya kerana dinar yang kita bawa hanyalah sebanyak ini.”
Pembantu gabenor datang kepada Abu Turab dan berkata kepadanya, “Gabenor memberi salam kepadamu dan memberimu dinar ini. Dia meminta maaf kerana dia hanya membawa dinar ini.” Abu Turab menjawab, “Ambillah!” Pembantu itu menjawab dengan berkata, “Demi Allah, walaupun seribu dinar, saya tidak akan mengambilnya.” Abu Turab kemudian berkata kepada pembantu gabenor, “Kembalilah kepada gabenor dan katakan bahawa tukang cukur tidak mahu mengambilnya. Ambillah dinar ini untuk digunakan bagi memenuhi keperluan anda.” [Ibnu al-Jauzi, 500 Kisah Orang Soleh Penuh Hikmah]
Hikmah
Singkat, padat dan tepat. Begitulah sikap Abu Turab (w. 245 H), ketua syeikh mazhab Syafie, murid Hatim al-Asam dan Ar-Razi al-Madzbuh. Dia terkenal sebagai seorang yang zuhud dan merendah diri serta sering memberikan nasihat yang menyentuh hati. Daripada kisah singkat ini, kita boleh mengambil tiga pengajaran.
Pertama, jangan menikmati kekayaan yang bukan milik anda. Inilah sikap yang ditunjukkan oleh Abu Turab apabila gabenor ingin memberinya kekayaan. Sikapnya mengajar kepada kita untuk lebih berhati-hati dalam memperoleh harta kekayaan yang kita miliki. Lebih-lebih lagi jika yang memberi kekayaan itu adalah pegawai negeri, atau pemerintah daerah tempat kita tinggal. Kita mesti memastikan bahawa pemberian itu tidak mengandungi sebarang unsur ganjaran atau balasan/pertukaran, mahupun dasar manfaat yang ingin dicapai. Secara mudahnya, pemberian itu tidak dikategorikan sebagai rasuah.
Kedua, jangan ambil kesempatan apabila akrab dengan mereka yang berkuasa untuk mendapatkan kekuasaan dan jawatan. Islam tidak mengiktiraf nepotisme yang menafikan kredibiliti dan prinsip keadilan. Islam juga tidak mengajar penyalahgunaan kuasa demi untuk mencapai kepentingan peribadi, keluarga dan kelompok semata-mata. Dalam Islam, Allah SWT menuntut hambaNya untuk berlaku adil.
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”[TMQ an Nahl (16) : 90]
Justeru, Islam menuntut seorang pemimpin agar cakna dan peka dengan keadaan umatnya. Para ulama hendaklah mengajar dan menyedarkan umat tentang Islam dan hukum-hakamnya, dan umat Islam hendaklah mencintai Allah dan RasulNya. Semuanya dilakukan kerana mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi segala yang dilarangNya dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Sumber: https://muslimahnews.net/2024/12/14/33741/