[Soal-Jawab Seputar Gerakan Islam] Target dan Metode Dakwah Harakah Islamiah (Bahagian 3/5)
Ketiga, metode untuk meraih target.
Untuk mencapai tujuan dakwah, maka metode dakwah yang digunakan perlu selalu dikaitkan dengan target, membuat rencana-rencana untuk pelaksanaan dakwah, termasuk sarana-sarana yang diperlukan untuk mencapainya.
Bagi kelompok dakwah yang meyakini bahawa masyarakat terbentuk dari individu, mereka akan membahas mengenai pembentukan peribadi individu. Mereka juga membuat strategi dakwah yang disertai sarana-sarana tertentu agar dapat menarik perhatian individu, serta berusaha mengadakan perbaikan yang terbatas pada individu belaka. Misalnya, hal-hal yang dianggap sebagai dasar dalam usaha perbaikan individu, seperti akidah, akhlak, muamalah, dan ibadah.
Jika individu-individu tersebut telah diperbaiki, dia hendaklah berusaha memperbaiki keluarganya secara individu. Ini kerana pandangan mereka bahawa keluarga dan masyarakat terbentuk dari individu.
Dari sini, perhatian kelompok dakwah yang berlandaskan pandangan ini akan tertumpu kepada individu dan cara untuk memperbaiki perjalanan hidupnya. Dalam aspek akidah, misalnya, mereka menjelaskan rukun-rukun akidah, tolok ukur untuk mengetahui kebenaran akidah, dan sebagainya. Ini dilakukan dengan cara menanamkan keyakinan yang memuaskan akal, serta sesuai dengan fitrah manusia (naluri beragama).
Islam adalah agama fitrah. Dari segi ibadah, mereka menjelaskan bahawa di dalam ibadah terdapat kewajipan-kewajipan yang mesti dilaksanakan. Juga terdapat sunnah-sunnah nafilah, sehingga setiap muslim mampu meninggikan darjatnya dengan bertaqarrub kepada Allah Taala.
Begitu juga dengan akhlak, mereka mengajarkan individu tentang kewajipan memiliki sifat-sifat terpuji. Juga mengajarkan bahawasanya mesti senantiasa menjauhi setiap perbuatan haram atau keji (jenayah), serta hendaklah selalu berperilaku baik, dan tidak berani melanggar akidah.
Sedangkan dalam hal muamalah (interaksi transaksi), hendaklah selalu terikat dengan nilai halal-haram sehingga menghasilkan masyarakat berakhlak mulia. Berdasarkan hal ini, mereka mendidik setiap individu untuk menghasilkan perbaikan terhadap keperibadian diri, keluarga, masyarakat, dan negara.
Dengan demikian, menurut mereka, dengan aktiviti individu yang melakukan perbaikan, maka umat akan meraih kemuliaannya, serta panji-panji La ilaaha illallah dapat ditegakkan kembali. Akan tetapi langkah-langkah konkrit serta tahapan-tahapannya belum dapat mereka jelaskan.
Sedangkan kelompok dakwah berikutnya memandang bahawa masyarakat terdiri atas kelompok individu yang di dalamnya terdapat interaksi yang berkembang secara terus-menerus. Mereka juga memandang bahawasanya baik atau rosaknya masyarakat bergantung pada bentuk hubungan-hubungan tersebut.
Kelompok ini perlu memiliki suatu pandangan sempurna terhadap segala bentuk interaksi di dalam masyarakat. Apakah berdasarkan kepada idea-idea dan sistem Islam? Apakah perasaan masyarakatnya berdasarkan kepada etika Islam dalam pergaulan sehari-hari, atau kepada sistem selain Islam?
Oleh sebab itu, kelompok ini hendaklah memiliki suatu pandangan sempurna terhadap segala bentuk interaksi di dalam masyarakat. Juga memiliki gambaran sempurna terhadap sistem pemerintahan, ekonomi, sosial (pergaulan lelaki dengan wanita), pendidikan, dan politik luar negeri atau tata hubungan antarabangsa.
Selain itu, kelompok ini juga perlu mempersiapkan rancangan perlembangaan dan perundangan yang lengkap untuk sebuah pemerintahan Islam pada masa mendatang. Dengan demikian akan mampu menjelaskan bentuk dan struktur daulah, serta bidang kuasa setiap bahagian strukturnya. Perlembagaan tersebut mestilah mampu menjelaskan hubungan di antara sesama masyarakat, hubungan dengan daulah, serta hubungan daulah dan umat Islam dengan bangsa-bangsa atau negara-negara lain.
Kelompok dakwah ini hendaklah berusaha untuk mendapatkan kepercayaan masyarakat secara keseluruhan terhadap idea-idea dan sistem yang dikembangkannya di dalam masyarakat. Juga untuk meraih kepercayaan dan dukungan masyarakat terhadap kelompok gerakan dakwah tersebut, tanpa memperhatikan jumlah dan suara majoriti.
Sebabnya, umat Islam pasti menerima idea-idea dan tunduk kepada hukum-hukum Islam. Sehinggalah suatu saat mahu berjuang untuk Islam bersama-sama dengan kelompok-kelompok dakwah ini.
Wajar saja apabila pada mulanya jumlah yang mendukung sangat sedikit. Namun yakinlah, bahawa nanti jumlahnya akan bertambah dan menjadi banyak. Perkembangan ini pasti dialami oleh setiap gerakan, walaupun masing-masing mempunyai metode yang berbeza-beza.
Sumber: Abdurrahman Muhammad Khalid, Soal-Jawab Seputar Gerakan Islam.