Pentingnya Politik Islam bagi Pembentukan Generasi Gemilang
Oleh : Rahmah
Aktivis Dakwah Malaysia, Puan Hayati menyatakan bahawa pentingnya ibu memahami dan mendidik anak mengenal politik Islam bagi membentuk generasi gemilang.
“Untuk membentuk generasi yang gemilang, generasi yang cemerlang, ibu itu sendiri kena tahu tentang politik Islam. Adakah politik Islam itu tentang nak pangkah, nak cari perwakilan? Sebenarnya politik Islam bukan macam itu. Politik Islam itu ialah dia mengatur, mengurus umat Islam. Jadi, sebenarnya ilmu itulah yang kita tidak ajar, kita tidak kenalkan pada anak kita,” ujarnya pada Majlis Tautan Kasih berjudul Wanita Solehah: Perintis Generasi Gemilang pada Sabtu (8/2/2025).
Menurut Puan Hayati, para ibu hendaklah menerangkan pada anak-anak bahawa politik itu hakikatnya adalah bagaimana kita mengatur urusan umat di bawah pengaturan Islam.
“Kita perlu beritahu pada anak-anak kita sekarang ini yang kita tidak hidup dalam kehidupan Islam. Sebab dengan pengaturan itulah yang menentukan kita ini hidup di bawah pengaturan Islam atau tidak” katanya.
Beliau menjelaskan lebih lanjut dengan analogi haiwan yang diternak perlukan pengaturan, apatah lagi manusia. Bukan sahaja perlunya pengaturan, tetapi pengaturan tersebut mestilah pengaturan yang benar dan dipandu oleh wahyu.
“Macam kita bela ayam, kita tidak urus ayam kita. Tidak buat reban, tidak jaga ayam, tidak bagi makan. Macam mana keadaan ayam kita? Berterabur ke rumah jiran, berkelahi pula dengan jiran sebab ayam ke rumah jiran, ayam mati kelaparan, ayam sakit dan sebagainya. Itu baru ayam, macam mana dengan manusia? Jika manusia itu tidak diurus dengan peraturan, lebih-lebih lagi peraturan Islam yang datang dari wahyu, bagaimana keadaan manusia? Akan huru hara,” katanya.
Beliau menegaskan pentingnya politik Islam bukan semata-mata dalam pemilihan ketua atau pemimpin, tetapi lebih penting lagi adalah pemimpin yang akan mengatur urusan umat dengan syariat Islam.
“Politik Islam bukan semata-mata berkaitan siapakah yang hendak kita pilih jadi ketua, bukan, tetapi untuk mengatur kehidupan Islam. Tanpa politik Islam, syariat Islam itu tidak mungkin tegak di bumi” tegasnya.
Beliau mengingatkan antara aktiviti politik yang wajib dilaksanakan oleh Muslim adalah berdakwah mengajak kepada Islam dan melakukan amar makruf nahi mungkar agar terlepas daripada mendapat saham dosa.
“Selagi syariat Islam tidak tertegak, selagi itu kita akan mendapat saham dosa. Kalau kita berusaha untuk mengerjakan, insyaAllah kita akan terlepas daripada beban dosa. Namun seru kebaikan mudah, nak cegah kemungkaran agak sukar” ujarnya.
Beliau mengakhiri majlis dengan menyimpulkan bahawa sebaik-sebaik perhiasan dunia adalah sesuatu yang amat berharga iaitu wanita solehah. Wanita solehah tentunya akan berusaha menjadi ibu yang terbaik dan mendidik anak-anaknya menjadi generasi yang gemilang, cemerlang iaitu generasi terbaik Islam.
“Kita nak jadi wanita solehah, sebaik-baik perhiasan, dan perhiasan yang akan membentuk generasi yang hebat, nak mencetak generasi gemilang dan cemerlang iaitu generasi terbaik Islam,” simpulnya.